Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal mara ke separuh akhir Piala Liga selepas selamatkan penalti penentuan Palace

Dec 24, 2025 | 1:12 PM
Penjaga gol Arsenal, Kepa Arrizabalaga (kanan), menyelamatkan sepakan penalti pemain pertahanan Crystal Palace, Maxence Lacroix, dalam sepakan penalti penentuan pada suku akhir Piala Carabao, Stadium Emirates, London, pada 23 Disember.
Penjaga gol Arsenal, Kepa Arrizabalaga (kanan), menyelamatkan sepakan penalti pemain pertahanan Crystal Palace, Maxence Lacroix, dalam sepakan penalti penentuan pada suku akhir Piala Carabao, Stadium Emirates, London, pada 23 Disember. - Foto REUTERS

LONDON: Kepa Arrizabalaga muncul sebagai wira Arsenal apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti penentuan oleh pemain Crystal Palace, Maxence Lacroix, sekali gus membantu Arsenal menewaskan Palace dan mara ke separuh akhir Piala Carabao.

Kelab yang dikenali sebagai The Gunners itu mulanya menyangka kemenangan sudah berada dalam genggaman apabila Lacroix tertendang bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-80 susulan sepakan sudut Arsenal.

Namun, Palace berjaya menyamakan kedudukan 1-1 secara dramatik pada minit kelima masa kecederaan. 

Adam Wharton menghantar tendangan percuma ke dalam kotak penalti, sebelum Marc Guehi menyambut hantaran Jefferson Lerma dengan pantas untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.

Declan Rice kemudian berpeluang menjaringkan gol kemenangan untuk Arsenal dengan sepakan terakhir perlawanan, malangnya gagal menewaskan penjaga gol hebat Palace, Walter Benitez.

Penjaga gol gantian kelab yang turut dikenali sebagai The Eagles itu adalah pemain terbaik kelab itu sepanjang perlawanan.

Benitez berjaya menggagalkan dua percubaan gol daripada Gabriel Jesus untuk mengekalkan kedudukan seri sehingga minit-minit akhir.

Nasib Lacroix bertambah malang apabila pemain pertahanan tengah Palace itu mengambil sepakan penalti dengan kedudukan 8-7 dalam penentuan penalti yang sengit.

Namun penjaga gol Arsenal, Arrizabalaga, berjaya menghalang sepakan itu dan memastikan kemenangan The Gunners.

Aksi cemerlang Arrizabalaga membawa Arsenal mara ke separuh akhir piala dan akan berdepan Chelsea dalam dua perlawanan untuk merebut tempat ke final.

Semestinya, Mikel Arteta gembira pasukannya mara ke peringkat seterusnya melalui sepakan penalti, namun cara mereka mengendalikan perlawanan mungkin mengecewakan pengurus Arsenal itu.

Arsenal sekali lagi tidak menunjukkan prestasi terbaik dan gagal menjaringkan beberapa peluang gol sebelum Lacroix melakukan gol sendiri pada minit-minit akhir.

Arteta membuat lapan perubahan dalam pasukan utama yang menewaskan Everton 1-0 hujung minggu lalu, dengan Gabriel Jesus membuat penampilan pertamanya sejak pulih daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).

Namun, persembahan kelab itu kelihatan kurang mantap.

William Saliba memberi tendangan percuma yang tidak diperlukan pada masa kecederaan yang membawa kepada gol penyamaan Palace.

Mujur, rakan sepasukannya memastikan kesilapan Saliba itu tidak menjadi punca penyingkiran pasukan daripada pertandingan.

Prestasi Arsenal baru-baru ini sedikit goyah, dengan keputusan seri menentang Sunderland dan Chelsea serta kekalahan kepada Aston Villa. 

Meskipun kini mereka memulakan siri kemenangan baru, prestasi kelab itu masih jauh daripada tahap terbaik yang ditunjukkan pada awal musim.

Bagi Palace, 2025 merupakan salah satu tahun terbaik dalam sejarah kelab.

Dengan kemenangan dalam Piala FA dan Community Shield, serta kempen Eropah pertama sedang berlangsung, Palace kini menunjukkan prestasi baik.

Pengurus Palace, Oliver Glasner, membuat tiga perubahan dalam pasukan yang tewas teruk di Leeds, tetapi prestasi The Eagles mula merosot kebelakangan ini, apabila jadual perlawanan yang padat mula menjejas skuad mereka yang agak kecil.

Namun, Glasner telah menerapkan kecekalan dalam pasukannya, dan semangat juang itulah yang membantu mereka menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan.

Palace terpaksa beraksi tanpa pemain utama Daniel Munoz akibat kecederaan, kehilangan Chris Richards akibat kecederaan serius ketika perlawanan, manakala penyerang mereka, Jean-Philippe Mateta, juga dibelenggu kecederaan.

Meskipun begitu, Glasner masih berjaya memastikan pasukannya kekal kompetitif dalam pelbagai perlawanan.

The Eagles hampir mara ke separuh akhir, dan meskipun kecewa, mereka wajar berbangga dengan semangat juang yang ditonjolkan menentang pasukan hebat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg