MANCHESTER: Pengurus pasukan, Ruben Amorim, enggan mengulas panjang, namun pemain bek, Diogo Dalot, memberi komen yang jelas.
Kehilangan Bruno Fernandes disifatkannya sebagai satu tamparan yang “amat besar” buat Manchester United.
Bek kanan Portugal itu berkata beliau sendiri tidak mengetahui sejauh mana tahap kecederaan yang memaksa rakan sepasukannya dalam kelab dan negara itu dikeluarkan pada waktu rehat, ketika United tewas 1-2 kepada Aston Villa pada 22 Disember.
“Ia sangat besar,” kata Dalot selepas perlawanan itu.
“Kami tidak tahu betapa seriusnya kecederaan itu, tetapi untuk seorang sepertinya terpaksa dikeluarkan... sedangkan kami tahu betapa kuatnya beliau.”
Untuk meletakkan perkara tersebut dalam perspektif, sepanjang kerjayanya bersama United, Fernandes hanya pernah terlepas dua perlawanan akibat kecederaan pada penghujung musim 2023-24.
Itupun kerana beliau sedang menangani masalah lutut agar dapat beraksi dalam final Piala FA. Beliau juga hanya sekali terlepas perlawanan kerana sakit.
Fernandes merupakan nadi utama dan pemain paling kreatif United. Walaupun beraksi dalam peranan yang kurang menyerang pada musim ini, beliau masih mencatat lima gol dan tujuh bantuan gol.
Sebelum perlawanan di Villa Park, terdapat hanya empat perlawanan Liga Perdana England (EPL) di mana United menjaringkan gol tanpa penglibatan Fernandes.
Tidak hairanlah Amorim tidak mahu terlalu memikirkan ketiadaan kaptennya itu.
“Saya tidak mahu bercakap tentang perkara yang kita tidak boleh kawal,” katanya.
“Saya rasa beliau akan terlepas beberapa perlawanan, tetapi saya tidak pasti. Beliau biasanya sentiasa cergas, jadi mungkin boleh pulih dengan agak cepat,” tambahnya.
Bagaimanapun, Amorim mengesahkan, Fernandes pasti terlepas perlawanan menentang Newcastle di Old Trafford pada 26 Disember, selepas mula rasa tidak selesa pada hujung separuh masa pertama akibat kecederaan hamstring (otot di belakang paha).
Fernandes meneruskan perlawanan hingga tamat separuh masa pertama, namun tidak kembali untuk separuh masa kedua.
Apabila beliau akhirnya menuju ke bangku simpanan, pergerakannya kelihatan sangat perlahan.
Masalah Amorim kini berganda.
Pertama, bagaimana hendak menggantikan Fernandes? Kedua, berapa lamakah tempoh ketiadaannya?
Selepas perlawanan menentang Newcastle, United bakal mengharungi empat perlawanan dalam tempoh dua minggu, diakhiri dengan perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Brighton.
Selepas itu, menanti pula pertemuan EPL dengan Manchester City dan Arsenal.
Setakat musim ini, skuad Amorim hampir tidak dibelenggu kecederaan.
Namun kini beliau kehilangan pemain paling penting itu pada waktu yang sama Bryan Mbeumo, Amad Diallo dan Noussair Mazraoui memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika, yang berpotensi berlarutan sehingga sehari selepas perlawanan menentang Manchester City di padang sendiri pada 17 Januari.
Selain itu, dua pemain pertahanan berpengalaman, Matthijs de Ligt dan Harry Maguire, masih belum menunjukkan tanda akan kembali daripada kecederaan yang telah menyebabkan mereka terlepas perlawanan, empat bagi De Ligt dan enam bagi Maguire.
Memburukkan lagi keadaan adalah Kobbie Mainoo, yang telah menyuarakan ketidakpuasannya kerana tidak diturunkan dalam perlawanan liga musim ini, turut terlepas beraksi di Villa Park akibat kecederaan betis, dan Amorim mengakui beliau “berkemungkinan” tidak bersedia untuk menentang Newcastle.
“Kami perlu mencari pendekatan dan penyelesaian berbeza,” akui Amorim. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg