LONDON: Selepas 22 tahun menunggu, Arsenal akhirnya berjaya meraih trofi Liga Perdana England (EPL) sekali lagi.

Kejayaan itu melengkapkan transformasi luar biasa sentuhan pengurus pasukan, Mikel Arteta, ke atas kelab itu selama hampir tujuh tahun.

Pasukan bergelar, The Gunners, itu telah mengabaikan kata-kata sinis selepas tiga musim berturut-turut menduduki tangga kedua, dan kini dengan kemarau trofi berakhir, fikirannya boleh beralih ke masa depan.

“Ini (trofi) cantik,” kata Arteta selepas menjulang tinggi trofi EPL buat kali pertama di Selhurst Park susulan kemenangan 2-1 menentang Crystal Palace di hari terakhir musim pada 24 Mei.

“Lihatlah kegembiraan semua orang, mereka telah lama menunggu ini.

“Kami telah melalui saat-saat sukar sepanjang perjalanan tetapi semuanya berbaloi apabila anda melihat reaksi seperti itu.

“Sekarang tiba masanya untuk menikmati dan menanggalkan ‘topi’ pengurus.

“Saya fikir kami menunjukkan hubungan, komitmen dan keberanian yang luar biasa. Semua yang ada di sekeliling kami telah mendorong keinginan kami untuk melakukannya,” ujar Arteta.

Dan dengan perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Paris St-Germain (PSG) pada 30 Mei, ini mungkin permulaan tempoh penguasaan sebenar untuk Arteta dan anak didiknya.

Satu sebab utama kemenangan liga ini adalah kerana pengurus Arsenal itu dapat mengatasi bayangan mentornya, Pep Guardiola.

Bos City itu, yang meninggalkan kelab tersebut selepas 10 musim mengendalikannya, telah menjadi sebab kepada banyak kekecewaan Arsenal sejak beberapa tahun ini.

Dengan Arteta kini meraih kejayaan, masa untuk tempoh kejayaan berterusan mungkin sekarang untuk Arsenal.

Pemegang juara musim lalu, Liverpool, menamatkan musim dengan ketinggalan 25 mata di belakang The Gunners dan terdapat perdebatan tentang sama ada pengurus Arne Slot adalah orang yang tepat untuk membawa The Reds kembali merampas gelaran.

Manchester United, walaupun dihidupkan semula oleh Michael Carrick, belum kembali sebagai pencabar tetap buat masa ini manakala Chelsea telah mengalami musim yang mengecewakan.

Arteta telah menyampaikan mesej kepada pemainnya tentang bagaimana mentaliti mereka akan berubah sekarang setelah mereka menjadi pemenang liga sambil menggesa supaya menambah lebih banyak trofi ke dalam koleksi mereka.

“Saya berkata kepada pemain bahawa jersi ini kini mewakili sesuatu yang istimewa,” kata Arteta dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

“Kami adalah juara, dan itu meningkatkan keyakinan dan kehadiran serta tenaga yang berbeza.

“Tetapi satu lagi tanggungjawab dan tugas saya sekarang dan semua orang di kelab ini adalah untuk meningkatkan piawaian sekarang dan mencapai lebih banyak lagi kerana saya fikir kami mampu melakukannya,” ujar Arteta.

Arteta pernah menyatakan beliau bertekad merangkul dua trofi besar termasuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah Arsenal.

Arsenal menyokong Arteta dengan perbelanjaan sekitar £250 juta ($430 juta) pada musim panas lalu ketika mereka berusaha meningkatkan mutu dan kedalaman skuad dengan membawa masuk pemain seperti Viktor Gyokeres dan Martin Zubimendi, yang dikategorikan sebagai berbakat besar.

Arteta tentunya ingin membina legasi kejayaan berterusan dan sebaik sahaja perlawanan akhir Liga Juara-Juara nanti tamat, tumpuan pasti beralih untuk mengikatnya dengan kontrak baharu. – Agensi berita.