Topik diikuti
Pergi ke BHkuDetik-detik penting Arsenal jadi juara
Detik-detik penting Arsenal jadi juara
Penantian 22 tahun Arsenal berakhir apabila ia menjuarai EPL 19 Mei selepas Manchester gagal atasi Bournemouth. Kekecewaan di tempat kedua tiga musim berturut-turut kini terubat sudah
Detik-detik penting Arsenal jadi juara
LONDON: Penantian selama 22 tahun Arsenal akhirnya berakhir apabila kelab tersebut kembali menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana England (EPL) pada 19 Mei.
Kekecewaan menamatkan saingan di tempat kedua selama tiga musim berturut-turut kini boleh dilupakan selepas skuad kendalian Mikel Arteta atau The Gunners berjaya menghalang pencabar terdekat, Manchester City, daripada dinobatkan sebagai juara.
Berikut merupakan sorotan detik penting yang membantu mengubah Arsenal daripada sekadar pasukan ‘hampir menang’ kepada juara liga.
Arsenal perkukuh skuad dengan pembelian musim panas
Melihat kepada prestasi kukuh skuad Liverpool yang mengesahkan kejuaraan musim lalu dengan baki empat perlawanan, Arsenal menanam tekad untuk memperkasa skuad mereka sepanjang musim panas.
Secara keseluruhan, lapan pemain baru dibawa masuk, manakala pemain tengah, Thomas Partey, yang tamat kontrak, menjadi satu-satunya pemain tonggak utama yang berhijrah ke kelab lain.
Penyerang Sweden, Viktor Gyokeres, menjadi tumpuan utama pemindahan pemain selepas dibawa masuk dari kelab Portugal, Sporting, dengan nilai £64 juta (sekitar $110 juta), sekali gus memberi penyokong The Gunners penyarung jersi nombor sembilan yang sekian lama mereka dambakan.
Sementara itu, pemain tengah, Martin Zubimendi, menyertai pasukan Arsenal daripada kelab Sepanyol, Real Sociedad, manakala barisan pertahanan diperkukuh melalui pemindahan pinjaman Piero Hincapie daripada kelab Jerman, Bayer Leverkusen.
Noni Madueke daripada Chelsea dan Eberechi Eze daripada Crystal Palace pula berhijrah dari kelab lama mereka untuk menyertai Arsenal.
Perbelanjaan melebihi £250 juta dengan hasil pulangan kecil daripada jualan pemain adalah satu pelaburan yang amat besar.
Namun, dengan kejuaraan liga yang kini disahkan dan final Liga Juara-Juara (UCL) yang bakal menyusul, pelaburan besar tersebut jelas berbaloi.
Martinelli jaringkan gol penyamaan, sekat kemenangan City
Perlawanan ini berlangsung pada minggu kelima musim ini, namun gol penyamaan Gabriel Martinelli, pada minit ke-93 menentang City pada 21 September 2025, yang dirasakan amat penting ketika itu, kini kelihatan jauh lebih utama.
Ia merupakan perbezaan tiga mata yang amat berharga dalam persaingan merebut kejuaraan, yang akhirnya memihak kepada Arsenal.
Pada waktu itu, Arsenal lebih rasai kelegaan selepas mereka menghalang skuad kendalian Pep Guardiola daripada mencatat kemenangan besar, sekali gus merapatkan jurang dengan Liverpool, kepada lima mata.
Selepas mendahului awal permainan menerusi Erling Haaland, City dilihat lebih selesa untuk bertahan sepanjang sebahagian besar separuh masa kedua – Guardiola malah beralih kepada formasi lima pertahanan – kerana yakin mampu menyekat barisan serangan Arsenal yang kelihatan kurang kreatif.
Jika mereka mampu bertahan beberapa minit sahaja lagi, keputusan perlawanan ini pasti berbeza, sekali gus memperlihatkan dimensi baru dalam taktik Guardiola yang menampilkan aksi bertahan hebat menentang pencabar kejuaraan.
Sebaliknya, prestasi kukuh skuad baru Arsenal pula yang mendapat pujian apabila cetusan kreativiti yang dicari akhirnya menjelma pada masa kecederaan, hasil gabungan pemain gantian, Eze dan Martinelli, untuk membolehkan pasukan tuan rumah mengikat kedudukan seri.
Kebangkitan saat akhir Gabriel di Newcastle
Seminggu kemudian, Arsenal sekali lagi meraikan kemenangan pada masa kecederaan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kunjungan ke St James’ Park lazimnya tidak menyebelahi skuad kendalian Arteta, dengan rekod tiga kekalahan tanpa sebarang gol dalam lawatan sebelum ini.
Oleh itu, apabila Nick Woltemade meletakkan Newcastle di depan pada separuh masa pertama dalam perlawanan yang tegang – di mana penalti Arsenal turut dibatalkan oleh Video Pembantu Pengadil (VAR) – penyokong The Gunners sudah menjangkakan keputusan buruk dalam perlawanan pada 28 September itu.
Namun, apabila Mikel Merino menanduk masuk gol penyamaan Arsenal pada minit ke-84, dan ketika Gabriel Magalhaes menanduk masuk gol kemenangan menerusi sepakan sudut pada minit ke-96, seluruh penyokong, pemain, dan kakitangan The Gunners terus meraikannya dengan penuh kegembiraan.
Susulan kekalahan mengejut Liverpool di tangan Crystal Palace pada hari sebelumnya, Arsenal kini tiba-tiba hanya berada dua mata di belakang peneraju liga pada ketika itu, Liverpool.
Hatrik Eze benam Spurs, letak Gunners 6 mata di depan
Dua bulan berlalu dan selepas merekodkan 10 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan – termasuk lapan perlawanan tanpa bolos – Arsenal berada di prestasi terbaik.
Keputusan seri 2-2 di Sunderland menamatkan rekod bersih itu, namun, The Gunners, turun dalam aksi derbi London menentang Tottenham Hotspur pada November dengan peluang meraih kelebihan enam mata, selepas City tumpas 1-2 kepada Newcastle di Tyneside.
Hasrat Spurs untuk menyekat harapan kejuaraan kelab lawan itu terkubur awal apabila Arsenal mendahului 2-0 sebelum masa rehat, dan menambah gol ketiga seawal beberapa saat selepas separuh kedua bermula.
Richarlison merapatkan jurang buat Spurs, namun The Gunners tetap memegang kelebihan.
Detik gemilang perlawanan selayaknya menjadi milik Eze, apabila beliau mengesahkan kemenangan pasukan selepas melengkapkan hatrik senior pertamanya, sekali gus memberi Arsenal kelebihan mata terbesar selepas mengharungi 12 perlawanan dalam mana-mana kempen EPL.
Kekalahan derbi burukkan lagi permulaan hambar City pada 2026
Sebaik sahaja pemain Manchester United, Patrick Dorgu, meluru di depan Rico Lewis untuk melepaskan rembatan melepasi Gianluigi Donnarumma sebelum meraikan golnya, aksi derbi Manchester itu boleh dianggap sudah berakhir.
United mendahului dengan dua gol di Old Trafford, manakala City terus dirundung malang apabila permulaan hambar mereka pada 2026 berterusan.
Selepas berjaya merapatkan jurang persaingan sepanjang tempoh Krismas, skuad kendalian Guardiola gagal memenangi sebarang perlawanan daripada empat aksi liga pertama mereka pada 2026.
Keputusan seri tanpa jaringan di Sunderland disusuli pula dengan keciciran mata di padang sendiri ketika menentang Chelsea dan Brighton.
Keadaan itu membolehkan Arsenal untuk mempunyai kelebihan tujuh mata di kedudukan teratas liga.
Gabriel terselamat daripada kad merah selepas tanduk Haaland
Menjelang April, jurang mata antara Arsenal dengan City masih kekal enam mata.
Namun, kelebihan satu perlawanan dalam tangan City apabila Arsenal tiba di Stadium Etihad bermakna kedua-dua pasukan boleh mengatakan bahawa kejuaraan kini berada dalam genggaman masing-masing.
City akhirnya muncul pemenang dalam perlawanan yang mendebarkan itu hasil jaringan Haaland pada minit ke-20 separuh masa kedua.
Namun, detik paling penting mungkin berlaku di penghujung perlawanan apabila pertembungan antara Haaland dengan Gabriel sepanjang perlawanan, akhirnya mencetuskan pergaduhan.
Kedua-dua pemain bertelingkah sebelum pemain pertahanan tengah Arsenal itu menandukkan kepalanya ke arah Haaland.
Tindakan Haaland yang tetap berdiri teguh berkemungkinan besar telah menyelamatkan Gabriel daripada dilayangkan kad merah.
Meskipun sikap Haaland itu dipuji, ia sebenarnya memberi kelebihan besar kepada Arsenal.
Ini kerana jika Gabriel dibuang padang akibat salah laku ganas, skuad kendalian Arteta terpaksa beraksi tanpa salah seorang tonggak pertahanan utama mereka untuk tiga perlawanan seterusnya.
Kesilapan Guehi bawa padah buat City di Everton
Kemenangan City ke atas Burnley pada 23 April meletakkan mereka di kedudukan teratas liga menerusi jumlah jaringan.
Namun, menjelang perlawanan City seterusnya menentang Everton, Arsenal mempunyai kelebihan dua perlawanan dan telah mendahului dengan enam mata.
Jika City memenangi perlawanan dengan Everton, kedudukan mata akan kembali seimbang.
Meskipun begitu, tiada tanda-tanda tekanan kedudukan liga telah menjejas prestasi City di Hill Dickinson.
Apabila Jeremy Doku meletakkan City di depan persaingan sejurus sebelum rehat, rata-rata menjangkakan kemenangan akan memihak kepada mereka.
Keadaan tersebut kekal tidak berubah sehingga Marc Guehi mengawal bola di dalam kawasan penalti sendiri pada minit ke-68.
Satu hantaran ke belakang (backpass) yang terlalu lemah selepas itu telah mengubah keseluruhan keputusan perlawanan.
Thierno Barry meluru bijak untuk menjaringkan gol penyamaan buat Everton dan rentak permainan mula berubah.
Skuad kendalian David Moyes kemudian menjaringkan tiga gol dalam tempoh 13 minit.
Walaupun City berjaya bangkit pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan seri 3-3 demi meraih satu mata, keciciran dua mata berharga itu nyata kembali memberi kelebihan buat Arsenal.
Tindakan penting Raya, kontroversi VAR
Kunjungan ke stadium West Ham yang sedang bergelut untuk mengelak daripada tersingkir dari liga kelihatan seperti ujian paling getir buat Arsenal dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Aksi pada 10 Mei itu wajib dimenangi skuad kendalian Arteta bagi mengelak City kembali merapatkan jurang, namun, mereka bergelut untuk meruntuhkan benteng kental pasukan, The Hammers.
Perlawanan masih terikat tanpa jaringan apabila pemain tengah West Ham, Matheus Fernandes, meluru untuk menyambut bola, melakukan hantaran bersama Pablo, dan mendapati dirinya berada sangat dekat dengan gawang dan hanya perlu menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Fernandes cuba menewaskan penjaga gol itu, namun Raya bertindak tangkas melunjurkan kaki kanannya untuk melakukan aksi menyelamat luar biasa dari jarak dekat, sekali gus memastikan kedudukan kekal seimbang menjelang 10 minit terakhir perlawanan.
Tindakan Raya itu kelihatan jauh lebih berharga apabila Leandro Trossard menjaringkan gol pertama Arsenal pada minit ke-83.
Namun, perlawanan masih belum berakhir dan dengan masa yang semakin suntuk, West Ham mempertingkatkan serangan untuk memburu gol penyamaan.
Gabriel melakukan hadangan besar untuk menyekat rembatan Callum Wilson, namun penyerang West Ham itu mendapat satu lagi peluang menerusi sepakan penjuru
Wilson merembat kencang bola melepasi pemain untuk menjaringkan gol penyamaan yang memukau pada masa kecederaan.
Atau sekurang-kurangnya, itulah yang beliau fikirkan.
Namun, selepas penelitian VAR, gol tersebut dibatalkan kerana kekasaran terhadap Raya, selepas Pablo didapati meletakkan tangannya pada dada penjaga gol itu dan memegang lengan kirinya.
Beberapa potensi pelanggaran peraturan yang lain, termasuk tuntutan penalti terhadap kekasaran oleh Trossard dan Declan Rice turut dinilai namun tidak diendahkan.
Ini bermakna, ketika West Ham – dan kemungkinan besar Manchester City – berang dengan keputusan itu, Arsenal sebaliknya menarik nafas lega kerana masih dapat mempertahankan kemenangan. – Agensi berita.
