BILBAO (Sepanyol): Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji kebolehan pemain-pemain gantiannya selepas kelab tersebut meraih kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao semasa pembukaan saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini pada 16 September.
Dalam aksi lain, dua sepakan penalti Kylian Mbappe membantu Real Madrid mencatat kemenangan tipis ke atas Marseille, manakala Juventus dan Borussia Dortmund terikat dalam perlawanan sengit 4-4.
Tottenham Hotspur turut mencatat kemenangan pada malam pembukaan liga tersebut.
Arsenal memulakan saingan di wilayah Basque, utara Sepanyol, dengan baik apabila Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard menjaringkan gol lewat permainan bagi menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
Martinelli baru sahaja memasuki padang apabila beliau menjaringkan gol pada minit ke-72.
Kelab yang dikenali sebagai The Gunners itu kemudian menjamin kemenangan pada lewat perlawanan menerusi jaringan seorang lagi pemain gantian, Trossard.
“Kami tahu 20 hingga 25 minit pertama sangat mencabar, terutama dengan cara permainan mereka yang begitu bersungguh-sungguh.
“Pada separuh masa kedua kami lebih menguasai permainan dan lebih berbahaya.
“Sesuatu yang selalu kami bincangkan ialah pemain gantian mesti memberi kesan dalam permainan, dan Gabi (Martinelli) serta Leo (Trossard) masuk untuk membawa perbezaan itu,” kata Arteta.
Di Stadium Santiago Bernabeu, Real Madrid bangkit menewaskan Marseille 2-1, walaupun bermain dengan 10 pemain pada penghujung perlawanan selepas Dani Carvajal dilayangkan kad merah.
Marseille mengejutkan penyokong tuan rumah apabila Timothy Weah menjaringkan gol pendahuluan pada pertengahan separuh pertama.
Juara Eropah 15 kali itu menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Mbappe menyempurnakan sepakan penalti pertama selepas Rodrygo dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Satu lagi sepakan penalti Mbappe pada penghujung perlawanan memastikan kemenangan untuk Real Madrid.
Di Stadium Tottenham Hotspur, London Utara, Spurs yang layak ke Liga Juara-Juara selepas memenangi Liga Europa musim lalu, menewaskan Villarreal 1-0.
Perlawanan itu diputuskan oleh gol sendiri daripada penjaga gol Villarreal, Luiz Junior, yang tersalah kawal hantaran daripada pemain tengah, Lucas Bergvall, sekali gus memberi Spurs permulaan yang diidamkan.
“Ia perlawanan yang seimbang, dan kami berjaya meraih kemenangan tipis,” pengurus Spurs, Thomas Frank, kepada Amazon Prime.
Di Stadium Allianz, Turin, perlawanan Juventus menentang Dortmund mengimbau kembali final 1997 yang dimenangi Dortmund, dan pertembungan itu benar-benar mendebarkan apabila ia berakhir dengan seri 4-4 yang mengagumkan.
Menariknya, separuh pertama perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan, dengan Dortmund mendahului apabila penyerang, Karim Adeyemi, menjaringkan gol pertama tujuh minit selepas separuh masa kedua.
Kenan Yildiz menyamakan kedudukan untuk Juventus selepas minit ke-60, namun Dortmund kembali mendahului melalui gol kedua Felix Nmecha.
Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic, menyamakan kedudukan 2-2, tetapi Yan Couto meletakkan Dortmund kembali di hadapan, dan Ramy Bensebaini menambah gol penalti pada minit ke-86, hampir memastikan kemenangan pasukan Bundesliga itu.
Namun, Vlahovic menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-94 sebelum membuat hantaran kepada Lloyd Kelly yang menanduk masuk gol pada minit keenam masa tambahan, menamatkan malam yang penuh aksi itu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg