Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengerusi Spurs, Levy, letak jawatan lepas 25 tahun pimpin kelab

Pengunduran pengerusi paling lama dalam EPL undang pelbagai reaksi
Sep 5, 2025 | 3:51 PM
Pengerusi Eksekutif Tottenham Hotspur, Daniel Levy, tokoh kontroversial yang sering menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong Spurs, menghadapi banyak kritikan serta bantahan sepanjang tempoh sukar dan mencabar bagi pasukan Liga Perdana England itu. 
Pengerusi Eksekutif Tottenham Hotspur, Daniel Levy, tokoh kontroversial yang sering menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong Spurs, menghadapi banyak kritikan serta bantahan sepanjang tempoh sukar dan mencabar bagi pasukan Liga Perdana England itu.  - Foto REUTERS

LONDON: Pengerusi Eksekutif Tottenham Hotspur, Daniel Levy, berkata beliau “amat bangga” dengan kerjanya, sedang beliau melepaskan jawatan itu pada 4 September, selepas hampir 25 tahun memimpin kelab tersebut.

Langkah beliau itu, yang mengejutkan ramai dan menamatkan era kepimpinannya yang penuh kontroversi, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong.

Levy, 63 tahun, adalah tokoh yang dikenang kerana kejayaan membina stadium baru bernilai 1.2 bilion paun ($2.08 bilion) yang merupakan pusat latihan canggih bagi Spurs.

Namun, beliau juga merupakan tokoh kontroversial yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong Spurs, serta menghadapi banyak kritikan dan bantahan sepanjang tempoh sukar dan mencabar bagi pasukan Liga Perdana England (EPL) itu.

Levy, pengerusi paling lama berkhidmat dalam EPL, mendapat kritikan teruk daripada pelbagai pihak sejak beberapa musim lalu.

Beberapa pelantikan pengurus yang gagal, dan dasar pemindahan pemain kelab tersebut, mencetuskan kemarahan penyokong dan menambah tekanan terhadap Levy, yang dituduh lebih mementingkan keuntungan kelab daripada kejayaan Spurs di padang.

Spurs mengalami musim paling mengecewakan dalam liga utama sejak 1976-77, menduduki tempat ke-17, sebelum mengakhiri kempen dengan memenangi piala Liga Eropah, sekali gus layak ke Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, kejayaan itu – yang menamatkan kemarau piala Spurs selama 17 tahun – masih tidak cukup untuk menyelamatkan pengurus Ange Postecoglou daripada kemarahan Levy, apabila jurulatih Australia itu dipecat selepas dua musim yang penuh cabaran.

Levy kemudian melantik Thomas Frank dari Brentford untuk menggantikan Postecoglou, keputusan penting terakhir dalam era kepimpinannya.

“Saya amat bangga dengan kerja yang saya lakukan bersama pasukan eksekutif dan semua kakitangan.

“Kami sudah membina kelab ini menjadi satu pasukan hebat di peringkat dunia, yang bersaing pada tahap tertinggi,” kata Levi dalam satu kenyataan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang bersama saya selama ini. Perjalanan ini tidak mudah tetapi kemajuan besar sudah dicapai. Saya akan terus menyokong kelab ini dengan penuh semangat,” tambahnya.

Vinai Venkatesham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Spurs pada April, manakala Peter Charrington menyertai lembaga pengarah pada Mac dan akan memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif yang baru diwujudkan.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Daniel dan keluarganya atas komitmen dan kesetiaan mereka kepada kelab ini selama bertahun-tahun.

“Ini adalah era kepimpinan baru bagi kelab ini, di dalam dan luar padang,” kata Charrington.

Sejak Levy menjadi pengerusi Spurs pada 2001, kelab tersebut hanya berjaya meraih dua piala – Piala Liga pada 2008, sebelum penantian panjang selama 17 tahun yang berakhir dengan kejayaan menewaskan Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Eropah musim lalu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg