BUDAPEST: Kali terakhir Arsenal mara ke final Liga Juara-Juara, mereka tewas, dan kemudian mengambil masa 20 tahun yang panjang untuk kembali ke peringkat itu.

Selepas kekalahan penentuan penalti yang mengecewakan di tangan Paris Saint-Germain (PSG) pada 30 Mei di Budapest, matlamat mereka bukan sahaja untuk bangkit secepat mungkin, malah merangkul trofi itu.

Selepas memenangi Liga Perdana England buat kali pertama dalam 22 tahun, pasukan Mikel Arteta telah membuktikan mereka kembali dalam kalangan elit, tetapi perlawanan menentang PSG juga mendedahkan ruang untuk diperbaiki.

Arteta menegaskan pasukannya boleh menamatkan kekecewaan mereka, selepas kekalahan kelima berturut-turut dalam final Eropah, jika mereka bangkit dengan bijak dan cepat.

“Jika mahu mencapai tahap lebih tinggi, kami perlu menunjukkan cita-cita besar kerana kami mampu melakukannya, tetapi ia memerlukan tindakan yang sangat bercita-cita tinggi, sangat pantas dan sangat bijak,” kata Arteta.

Kegagalan penalti daripada Eberechi Eze dan Gabriel selepas keputusan seri 1-1 selama 120 minit menamatkan impian mereka untuk menulis lembaran baru dalam sejarah pasukan.

Arteta menarik perhatian bahawa penyerang PSG lebih berkaliber dan berkualiti untuk memberi isyarat bahawa kedua-dua pasukan tidak setanding dalam bahagian itu.

“Apa yang mereka mampu lakukan dengan bola, dengan tindakan individu, saya belum melihatnya,” kata jurulatih asal Sepanyol itu, membayangkan pasukannya sendiri harus mengukuhkan kedudukan pada musim panas jika mereka mahu menjadi kuasa dominan di England dan Eropah.

Beliau mendapati pasukannya tidak berada dalam “keadaan” yang baik, selepas musim yang melelahkan dengan banyak bergantung kepada pemain teras yang kecil.

Tahun lalu Arsenal membawa masuk Eze, Viktor Gyokeres, Martin Zubimendi dan Noni Madueke tetapi Arteta bermula dengan meletakkan keempat-empat pemain di bangku simpanan pada perlawanan akhir.

Sepanjang enam setengah musimnya sebagai jurulatih, Arsenal telah berusaha dengan pelaburan yang terhad dan membangunkan pemain muda seperti Buyako Saka.

Kai Havertz bermula di barisan hadapan dan menjaringkan gol, tetapi Arsenal masih boleh menggunakan pilihan yang lebih kuat di samping Saka.

Terutamanya jika dibandingkan dengan barisan hadapan PSG, yang menampilkan Ballon d’Or Ousmane Dembele, penyerang terbaik musim ini dalam Liga Juara-Juara, Khvicha Kvaratskhelia, dan pemain Perancis Desire Doue.

PSG menjaringkan 45 gol dalam pertandingan itu, menyamai rekod sepanjang zaman yang dicipta oleh Barcelona pada 1999 hingga 2000.

Musim ini Arsenal sangat kuat dari segi pertahanan, tidak tewas walau satu perlawanan pun dalam pertandingan sebelum perlawanan akhir, dan hanya dibolosi tujuh gol termasuk penalti Ousmane Dembele yang memaksa masa tambahan.

Bagaimanapun, mereka hanya menguasai 25 peratus perlawanan menentang PSG dan satu percubaan tepat dalam 120 minit.

“Hari ini kita boleh menyatakan bahawa kita adalah yang terbaik di Eropah,” kata pemain tengah PSG, Vitinha, menekankan bahawa pasukannya mesti terus bergerak maju.

Perkara positifnya ialah Arteta menyedari kelemahan pasukannya dan langkah yang perlu diambil.

“Kami perlu melakukan yang lebih baik, untuk memperbaiki dan mencari kekuatan yang berbeza untuk mendapatkan hasil yang kami inginkan,” katanya. – AFP.