LONDON: Apabila pasukan terbaik England dan Perancis bertemu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) atau dikenali oleh peminat sebagai UCL pada 30 Mei, ia akan menandakan penghujung yang mendebarkan bagi musim yang meletihkan buat kededua kelab.

Acara kemuncak di Puskas Arena, Budapest akan menjadi perlawanan ke-63 musim ini bagi Arsenal.

Bagi Paris St-Germain (PSG) pula, ia adalah perlawanan ke-56 mereka, tidak termasuk tujuh perlawanan di Piala Dunia Kelab pada musim panas lalu.

Dengan Piala Dunia 2026 kian hampir, jadual semakin padat bagi pemain elit di kededua kelab tersebut.

Namun, pemain kelab Perancis itu memasuki pertandingan dalam keadaan lebih segar dan bertenaga.

Ketua Jurulatih PSG, Luis Enrique, telah memberi rehat kepada ramai pemain pentingnya dalam liga musim ini.

Ia boleh dilakukan kerana persaingan dalam liga Perancis tidak terlalu kuat, dan PSG mempunyai ramai pemain simpanan yang bermutu – hasil sokongan kewangan besar yang disediakan oleh pemilik Qatar.

Disebabkan kedudukan ke-11 mereka dalam fasa liga UCL, PSG telah bermain 16 perlawanan UCL untuk mencapai perlawanan akhir (termasuk memenangi dua perlawanan fasa kalah mati menentang pesaing Monaco), manakala Arsenal bermain 14 perlawanan.

Berbanding pemain PSG, 11 pemain utama pilihan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, telah bermain jauh lebih banyak dalam liga musim ini, hampir 7,000 minit (tepatnya 6,726 minit).

Beberapa perangkaan pemain secara individu sangat menonjol. 

Kapten PSG, Marquinhos, telah bermain dalam 14 perlawanan Eropah musim ini – sama dengan jumlah keseluruhan penampilannya dalam liga, iaitu 11 kali sebagai pemain pertama dan tiga kali sebagai pemain ganti. 

Dari 13 Februari hingga 19 April, Marquinhos langsung tidak bermain dalam liga, beliau hanya duduk di bangku simpanan dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Namun dalam tempoh sama, beliau bermain penuh dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara. 

Penyerang PSG, Ousmane Dembele, hanya bermain penuh 90 minit sekali sahaja dalam 22 perlawanan liga.

Begitu juga rakan sepasukan beliau, Khvicha Kvaratskhelia, yang hanya bermain sepenuh masa dua kali dalam 28 perlawanan.

Walaupun menerima kritikan daripada segelintir peminat bola, pada 12 Mei, Dembele memenangi anugerah pemain terbaik musim Ligue 1 untuk tahun kedua berturut-turut, dengan mencatat 10 gol dan tujuh bantuan gol.

Dembele hanya memulakan 11 perlawanan liga (sembilan ketika anugerah itu diraih), dan tampil dalam 22 daripada 34 perlawanan, namun beberapa kecederaan menyebabkan beliau terlepas 10 perlawanan.

Dasar kerap menukar pemain oleh Luis Enrique – beliau menggunakan 28 pemain berbanding 25 oleh Arteta – memang ada kelemahannya, walaupun tidak terlalu ketara.

Tiga daripada enam kekalahan liga mereka, menentang Marseille pada September, Monaco pada November dan Lyon pada April, berlaku sejurus selepas perlawanan Liga Juara-Juara.

Pemain tengah, Warren Zaire-Emery, bermain paling lama dalam perlawanan liga berbanding mana-mana pemain PSG dengan 2,453 minit.

Namun, enam pemain Arsenal mencatatkan masa bermain yang lebih banyak daripada itu. 

Anggapan bahawa Liga Perdana England (EPL) adalah liga terbaik di Eropah bukan sekadar pendapat orang yang memihak kepada England, malah Uefa sendiri mengiktiraf EPL sebagai liga nombor satu di Eropah, manakala Ligue 1 Perancis berada di tempat kelima. 

Perlu diingat bahawa PSG bermain 58 perlawanan musim lalu dalam perjalanan mereka memenangi empat trofi, termasuk kejuaraan Liga Juara-Juara pertama mereka, di mana mereka menewaskan Arsenal 3-1 dalam separuh akhir.

Selain itu, Ligue 1 juga empat perlawanan lebih sedikit daripada EPL, kerana Ligue 1 hanya mempunyai 18 pasukan berbanding 20 di EPL.

Namun, pemain utama Arsenal telah bekerja keras.

Penjaga gol, David Raya, bermain semua perlawanan musim ini sehingga beliau diistirahatkan pada hari terakhir menentang Crystal Palace apabila gelaran sudah terjamin.

Declan Rice, William Saliba, Gabriel dan Martin Zubimendi masing-masing telah memulakan sekurang-kurangnya 30 perlawanan liga untuk Arsenal, sesuatu yang hanya dicapai oleh Zaire-Emery sahaja bagi pihak PSG. 

Malah Jurrien Timber, yang telah cedera sejak pertengahan Mac dan masih tidak pasti dapat bermain untuk perlawanan akhir, tetap mencatatkan lebih banyak masa bermain daripada Zaire-Emery.

Daripada 10 pemain dengan masa bermain liga terbanyak daripada mana-mana kelab musim ini, hanya dua berasal daripada PSG, iaitu Zaire-Emery dan Illia Zabarnyi.

Cara Arsenal mendekati perlawanan itu, setelah mereka meraih gelaran tanpa bermain apabila Manchester City seri dengan Bournemouth pada 26 Mei, akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Ramai daripada 11 pemain terkuat mereka diistirahatkan pada hari terakhir ketika mereka menewaskan Palace 2-1.

PSG mengakhiri musim Ligue 1 lebih awal apabila mereka menewaskan Lens 2-0 pada 13 Mei dengan masih berbaki satu perlawanan lagi untuk menjuarai liga.

Lens, pesaing terdekat mereka, tamat di tempat kedua dengan enam mata di belakang PSG. – Agensi berita.

Dengan Piala Dunia 2026 sudah semakin hampir, tiada rehat bagi pemain elit di kededua kelab tersebut. Namun, pemain kelab Perancis itu memasuki pertandingan dalam keadaan lebih segar dan bertenaga. Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique, telah memberi rehat kepada ramai pemain pentingnya dalam liga musim ini.