LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji tahap kematangan pasukannya selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham pada 18 Oktober.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai petanda positif buat pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu yang berjaya menamatkan tempoh kesukaran di Craven Cottage.
Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh Leandro Trossard pada minit ke-58 hasil jaringan jarak dekat selepas sepakan sudut, sekali gus memberikan kemenangan kelima berturut-turut kepada Arsenal dalam semua pertandingan.
Kemenangan itu meletakkan Arsenal tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City, manakala juara bertahan, Liverpool, ketinggalan empat mata selepas tewas 2-1 kepada Manchester United pada 19 Oktober.
Musim lalu, Arsenal hanya meraih satu mata daripada aksi di tempat lawan menentang Newcastle dan Fulham, serta di tempat sendiri menentang West Ham.
Namun kali ini, mereka berjaya meraih kesemua sembilan mata daripada tiga perlawanan tersebut, termasuk kemenangan pertama mereka di Craven Cottage dalam tiga kunjungan terakhir ke kelab di barat London itu.
Arteta percaya bahawa kemenangan serupa menghantar mesej jelas bahawa Arsenal benar-benar bersedia mencabar kejuaraan musim ini – selepas tiga musim berturut-turut sekadar menjadi naib juara.
Gol Trossard berpunca daripada sepakan sudut Bukayo Saka yang ditanduk Gabriel Magalhaes, sebelum Trossard menjaringan gol jarak dekat.
Itu merupakan gol ketujuh Arsenal dari sepakan sudut musim ini, dan yang ke-63 sejak musim 2021-22 – iaitu 16 lebih banyak daripada mana-mana pasukan lain.
“Kami memang beri tumpuan besar dalam aspek ini,” kata Saka.
“Kami letakkan standard yang tinggi untuk diri sendiri.”
Beberapa minit selepas membantu mencipta gol, Saka kelihatan seperti telah memenangi sepakan penalti apabila beliau dijatuhkan oleh pemain gantian Fulham, Kevin, dalam kotak penalti.
Pengadil Anthony Taylor pada awalnya memberikan penalti, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan VAR (video pembantu pengadil) menunjukkan Kevin terlebih dahulu menyentuh bola sebelum mengasari Saka.
Namun, tidak semua berita menggembirakan buat Arteta.
Penyerang dari Sweden, Viktor Gyokeres, yang dibeli daripada Sporting Lisbon musim panas lalu, masih ketandusan gol, kini sudah melalui tujuh perlawanan tanpa jaringan.
Prestasinya di EPL masih belum mencerminkan ketajamannya semasa di Portugal.
Berbeza pula dengan Erling Haaland dari Manchester City, yang terus mempamerkan ketajaman dengan dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Everton.
Jaringan tersebut menjadikannya penjaring terbanyak EPL dengan 11 gol dalam lapan perlawanan, dan 23 gol keseluruhan untuk kelab dan negara musim ini.
Dalam aksi di Anfield pula, Ruben Amorim meraih kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak menjadi pengurus Manchester United, selepas tandukan lewat Harry Maguire memberikan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool.
Itu merupakan kekalahan keempat berturut-turut buat skuad Arne Slot dalam semua pertandingan.
Liverpool bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-78 menerusi Cody Gakpo selepas gol awal minit kedua oleh Bryan Mbeumo memberikan United permulaan sempurna.
Namun Maguire muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-84 – gol kemenangan pertama United di Anfield sejak jaringan Wayne Rooney pada Januari 2016. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg