Topik diikuti
Pergi ke BHkuArteta puji Odegaard selepas Arsenal tundukkan Napoli
Arteta puji Odegaard selepas Arsenal tundukkan Napoli
NAPLES: Mikel Arteta, pengurus Arsenal, memuji kapten pasukannya, Martin Odegaard, selepas gol pemain itu memastikan kemenangan 1-0 ke atas Napoli pada 9 September, meskipun Arteta berkata keputusan tersebut tidak mencerminkan persembahan ‘luar biasa’ The Gunners, julukan Arsenal.
Naib juara musim lalu itu membuka kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan di Stadium Diego Armando Maradona menerusi rembatan deras Odegaard pada minit ke-75.
Arsenal melakukan 26 percubaan, satu rekod kelab di gelanggang lawan dalam kejohanan itu.
Odegaard memulakan musim 2026-27 dengan prestasi sensasi, menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan, termasuk gol kemenangan berturut-turut menentang Chelsea dan Napoli.
Ia perubahan ketara buat kapten Arsenal itu, yang hanya menjaringkan satu gol dalam 36 penampilan musim lalu.
“Pertama sekali, dia perlu sentiasa bersedia untuk bermain. Tahun lalu, dia terlepas banyak perlawanan akibat kecederaan,” kata Arteta.
“Sekarang, dia kembali tajam dan mempunyai hubungan yang berbeza dengan pemain di sekelilingnya. Itu membantu.
“Sekarang, dia boleh berada di kedudukan berbeza, terutama ketika menyerang. Apabila kami meletakkannya di posisi itu, dia sangat berbahaya.”
Beliau menambah: “Kami memerlukan pemain dengan sikap seperti itu untuk menentukan perlawanan.
“Dia bermain dengan penuh keyakinan. Jika satu gerakan tidak menjadi, dia mencuba lagi, terus mencari peluang dan berani mengambil risiko.
“Dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, dia semakin kerap berada di kedudukan itu dan jelas dia yakin untuk menjaringkan gol. Malam ini, dia menghasilkan gol yang luar biasa.”
Arsenal memulakan musim dengan cemerlang, memenangi ketiga-tiga perlawanan Liga Perdana England (EPL) selepas menewaskan Manchester City dalam Perisai Masyarakat pada Ogos.
“Saya sangat gembira,” kata Arteta, yang berasakan keputusan itu tidak menggambarkan sepenuhnya mutu persembahan pasukannya di Naples.
“Cara kami menyerang sejak minit pertama, bersaing dan mencipta begitu banyak peluang.
“Sudah tentu, keputusan sepatutnya mencerminkan kemenangan lebih besar. Jika kami sedikit lebih tepat, kemenangan ini pasti jauh lebih besar.
“Tetapi apa yang kami lakukan hari ini di stadium menentang lawan seperti ini, benar-benar luar biasa.”
Bagi Napoli, kekalahan itu satu lagi tamparan buat jurulatih baharu Massimiliano Allegri, dengan pasukannya mengalami kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas kepada Como dan Inter Milan dalam Serie A.
Kecederaan dua pemain tengah utama Scott McTominay dan Andre-Frank Zambo Anguissa merumitkan keadaan buat Allegri, yang menyasarkan tiga mata menentang Bologna pada 13 September.
“Untuk kembali ke landasan kemenangan, kami memerlukan kemenangan meyakinkan menentang Bologna, dan itu bukan mudah,” kata Allegri.
“Sudah tentu kami terkilan dan kecewa selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
“Saya menyukai persembahan kami dari segi teknikal, tetapi pada separuh masa kedua, kami kekurangan tenaga. Pemain tengah Billy Gilmour dan Kevin De Bruyne baru sahaja bermain dalam aksi pertama mereka.
“Kami perlu kekal tenang. Jika kami bertahan pada detik-detik tertentu seperti malam ini, mungkin kami tidak akan tewas kepada Como dan Inter.” – Agensi berita.
