Topik diikuti
Pergi ke BHkuArteta tandatangan kontrak baru bersama juara bertahan Arsenal
Arteta tandatangan kontrak baru bersama juara bertahan Arsenal
LONDON: Pengurus kelab, Mikel Arteta, berkata ini “hanyalah satu permulaan” kepada kejayaan Arsenal selepas beliau menandatangani kontrak baharu bersama juara Liga Perdana England (EPL) itu sehingga 2030.
Kontrak pengurus asal Sepanyol itu sepatutnya tamat pada penghujung musim ini, namun tempoh Arteta bersama skuad The Gunners kini berlanjutan sehingga sedekad sejak kedatangannya di Stadium Emirates di London, pada Disember 2019.
Arteta menjadikan gaji pengurus ternama sebagai penanda aras bagi menentukan nilai kontrak baharunya.
Ini termasuk pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, dan bekas pengurus Manchester City, Pep Guardiola, yang masing-masing dilaporkan menerima gaji melebihi £20 juta (kira-kira $33.8 juta) setahun.
Kontrak baharu berkenaan merangkumi peningkatan gaji daripada £10 juta setahun ketika ini, di samping bonus tambahan sebanyak £5 juta.
“Kelab ini unik – karakternya serta perasaan yang dibawanya amat istimewa, dan saya berasa sangat beruntung kerana perjalanan kita bersama dapat diteruskan,” kata Arteta.
“Kita telah membina ikatan yang istimewa dan mencipta kenangan yang akan kekal selamanya dan apa yang membuat saya lebih teruja ialah ini hanyalah satu permulaan kepada apa yang kita mampu capai bersama.”
Pengurus berumur 44 tahun itu telah memenangi satu kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA sepanjang memimpin Arsenal, selain bergelar naib juara Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada akhir Mei.
Pengunduran Pep Guardiola daripada City pada penghujung musim lalu menjadikan Arteta sebagai pengurus paling lama berkhidmat dalam liga teratas England ketika ini.
Ketua Eksekutif The Gunners, Richard Garlick, percaya faktor berkenaan bakal memberi mereka kelebihan berbanding pasukan lain dalam liga.
“Mikel adalah satu-satunya pengurus dalam liga ketika ini yang pernah memenangi kejuaraan Liga Perdana,” kata beliau.
“Jika anda lihat kepada pasukan lain dalam kelompok enam teratas tradisional, kesemuanya telah mengalami pertukaran pengurus.
“Kami kini mempunyai seorang pengurus yang telah bersama kami untuk tempoh yang agak lama serta diberi ruang untuk membina dan membangunkan pasukan mengikut peredaran masa.
“Apa yang membuatkan kami teruja sekarang ialah asas kukuh sudah pun dibina, dan dari sana kami akan terus melangkah lebih jauh.”
Dengan matlamat Arsenal untuk terus melakar kejayaan, Garlick menambah:
“Kami tidak boleh sekadar berpuas hati. Kami tidak boleh berpeluk tubuh, mendabik dada, dan berkata tugas kami sudah selesai.
“Ini baru permulaan, bukan penghujung perjalanan kami. Inilah masanya untuk kami terus melangkah dan menyerlahkan keyakinan yang dibawa oleh kejayaan ini.
“Kami mahu menguasai arena bola sepak bagi tempoh beberapa tahun mendatang. Kami berada pada kedudukan yang sangat kukuh untuk melakukannya, namun kami perlu terus mencari kelebihan yang mampu memberi kita keunggulan tersebut.” – Agensi berita.