LONDON: Memulakan musim lalu dengan julukan ‘hampir juara’, Arsenal kini memiliki langkah dan gaya sang juara.

Banyak yang dapat dilihat di Stadium Emirates – termasuk papan tanda baharu di atas gerbang masuk ke stadium yang menunjukkan mesej ringkas berwarna emas: ‘Juara’.

Didorong kejayaan menjulang gelaran Liga Perdana England (EPL) musim lalu – yang pertama dalam 22 tahun – pasukan pimpinan Mikel Arteta dan penyokong menyasarkan kejayaan mengekalkan mahkota juara musim baru ini, bermula dengan pertarungan menentang Coventry City yang baru naik ke EPL musim ini.

Di akhir wisel penamat, penyokong The Gunners melaungkan ungkapan, “juara England” selepas pasukan itu membuka tirai musim dengan selesa – kemenangan 3-0.

Kapten Martin Odegaard berkata mentaliti pasukannya kini bukan untuk mempertahankan gelaran mereka, tetapi untuk meneruskan penguasaan mereka dalam bola sepak England.

“Kami rasa kami tidak perlu mempertahankan apa-apa. Kami mahu melakukannya sekali lagi dan itulah pemikirannya ,” katanya kepada hos rancangan, Match of the Day.

“Tahun lepas (2025) sudah berakhir... Kini kami mahu melakukannya sekali lagi dan kami mahu terus berjuang,” tambahnya.

Berdepan dengan pasukan ‘baru’ dalam EPL tidak menjamin kemenangan selepas pasukan pimpinan Arteta berasa kepahitan – tewas dalam perlawanan pembukaan musim 2021 di padang Brentford.

Tetapi sejak itu, Arteta telah mengubah mentaliti pasukannya itu untuk mencatatkan kemenangan selesa ke atas Coventry di hadapan penyokong mereka di Emirates.

Beliau menjadi pengurus kelima mencapai 150 kemenangan dalam EPL, dalam kurang daripada 250 perlawanan – selepas Pep Guardiola, Jose Mourinho, Jurgen Klopp dan Sir Alex Ferguson.

Arteta telah berusaha menyemarakkan suasana di Emirates dengan mewujudkan kubu untuk menakutkan pasukan pelawat.

“Hari ini adalah permulaan musim... dan tiga gol itu jelas platform yang baik untuk semua orang meraikan kemenangan.

“Tetapi saya fikir kita semua juga perlu belajar mengenai masa lalu bahawa satu gol juga dapat membantu pasukan.

“Dan sudah tentu dalam suasana seperti ini di stadium, ia satu kegembiraan untuk menyaksikan (permainan) dan bermain bola sepak,” tambahnya.

Kai Havertz, Martin Odegaard dan Bukayo Saka, yang disenaraikan dalam kesebelasan utama ternyata tidak mengecewakan.

Masing-masing menemui sasaran bagi membantu juara EPL itu membuka tirai musim dengan langkah penuh yakin.

Dalam masa 23 minit, Arsenal mendahului 2-0 – yang terpantas mereka mendahului dengan margin itu sejak perlawanan menentang Wolves pada 2023.

Arsenal telah cuba membawa masuk penyerang elit semasa jendela perpindahan untuk menguatkan serangan mereka.

Christos Tzolis, misalnya, telah menunjukkan bahawa beliau boleh memainkan peranan sebagai penyerang yang penting musim ini.

Tzolis dibawa masuk dengan harga £34 juta ($58.9 juta) selepas beraksi cemerlang bersama Club Brugge, yang menyaksikan beliau menjaringkan 17 gol dan mencatatkan 23 assist (bantuan gol) ketika mereka dinobatkan sebagai juara Belgium.

Dalam tempoh singkatnya di Arsenal setakat ini, Tzolis telah mengujakan penyokong dengan persembahannya semasa pramusim dan mencatat dua bantuan gol dalam kemenangan Perisai Masyarakat ke atas Manchester City.

Sekali lagi, beliau tidak mengecewakan – pantas bergerak di sayap kiri dengan hantaran lintangnya turut membuka peluang kepada Saka untuk menyumbatkan gol kedua Arsenal. – Agensi berita.