Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Canada kritik Presiden Fifa
Seru perubahan perkukuh tadbir urus Fifa dengan telus
LOS ANGELES: Persatuan bola sepak Amerika Syarikat dan Canada – dua daripada negara tuan rumah Piala Dunia 2026 – pada 10 Ogos menyokong satu kenyataan daripada tiga konfederasi yang mengkritik Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino.
Bola Sepak Amerika, Bola Sepak Canada, Kesatuan Bola Sepak Caribbean (CFU) dan Kesatuan Bola Sepak Amerika Tengah (Uncaf) berkata mereka “berdiri bersama, bersama rakan kami di seluruh dunia, dalam menyeru perubahan bermakna yang memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban Fifa”.
Perkembangan itu menyebabkan Amerika dan Canada bertentangan dengan satu lagi negara tuan rumah Piala Dunia 2026, Mexico, yang telah menyatakan sokongan kepada Infantino.
Infantino berdepan tekanan hebat selepas beliau mencadangkan dan kemudian membatalkan rancangan untuk mendapatkan pelaburan swasta bagi sebuah anak syarikat komersial baru, yang dikenali sebagai Fifa Forward Enterprise (FFE).
Beliau mencadangkan syarikat itu mengendalikan aspek komersial Piala Dunia.
Fifa membalas pada 8 Ogos terhadap “usaha yang tersusun dan berterusan oleh sesetengah pihak untuk melemahkan” badan induk bola sepak dunia itu serta Infantino.
Namun, ketua Fifa itu sekali lagi menerima kritikan hebat pada 10 Ogos apabila satu surat bersama daripada tiga konfederasi – Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dari Eropah, Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf), serta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) – menegaskan bahawa bola sepak “bukan milik mana-mana individu”.
“Kepimpinan dalam bola sepak bukanlah sesuatu yang boleh dimiliki. Ia bukan tentang memegang atau menuntut kuasa untuk terus memegangnya,” kata ketiga-tiga konfederasi tersebut dalam surat itu.
Catatan media sosial daripada Bola Sepak Amerika dan Bola Sepak Canada turut menyertakan pautan kepada surat tersebut. – Agensi berita.
