Atlet boccia Singapura, Nurulasyiqah Mohd Taha, mencatat sejarah dengan meraih pingat individu pertamanya dalam Piala Dunia, pada 12 Jun.
Beliau berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara Individu Perempuan BC3 pada Kejohanan Piala Dunia Boccia Beijing 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 15 Jun.
Menurut kenyataan media Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC), Nurulasyiqah, 40 tahun, berdepan cabaran sengit sepanjang kejohanan itu.
Bermula pada 7 Jun, beliau tewas tipis kepada pemain nombor 4 dunia dari Perancis, Sonia Heckel.
Namun, semangatnya tidak pudar apabila beliau berjaya menewaskan pemain nombor 5 dunia dari Brazil, Evani Calado, dan melangkah ke peringkat kalah mati.
Dalam pusingat tersebut, Nurulasyiqah menewaskan Jamieson Leeson dari Australia untuk mara ke separuh akhir, tetapi tewas kepada Sunhee Kang dari Korea Selatan.
Semasa perlawanan merebut pingat gangsa, beliau berjaya mengatasi Yuen Kei Ho dari Hong Kong.
Nurulasyiqah turut meluahkan rasa terima kasih kepada pengendali tanjakan (‘ramp’) dan rakan pertandingan beliau, Nur Azizah Ahmad Rumzi.
“Saya amat berterima kasih kepada pengendali tanjakan dan rakan pertandingan atlet, Nur Azizah, yang telah berlatih dengan saya sejak 2017,” kata Nurulasyiqah.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan mendapatkan pingat gangsa itu adalah hasil usaha bersama dan kejayaan Nur Azizah juga.
Fokus mereka kini adalah untuk mengekalkan kemahiran serta rentak yang dibina selepas kembali daripada kejohanan tersebut.
Kejayaan Nurulasyiqah itu menandakan kemunculan semula yang hebat di pentas antarabangsa, selepas tiga tahun tidak aktif akibat sekatan Covid-19.
Beliau kembali menunjukkan prestasi cemerlang tahun lalu apabila memenangi pingat emas dalam Kejohanan Boccia Challenger Pajulahti 2024 di Finland, pingat emas beliau yang pertama sejak 2014 dalam Kejohanan Boccia Dunia Terbuka Montreal.
Kemudian, bersama rakan sepasukannya, Aloysius Gan, mereka mencipta sejarah dengan membawa pulang pingat pertama Piala Dunia Pasangan untuk Singapura dalam Kejohanan Piala Dunia Boccia New Taipei City 2024.
Mereka memulakan kempen BC3 Pairs dengan meraih pingat perak – pencapaian terbaik Singapura dalam kategori ini di Piala Dunia Boccia sebelum Piala Dunia Boccia Beijing 2025.
Dalam kejohanan Piala Dunia di Beijing pula, kerjasama Nurulasyiqah bersama Aloysius Gan, 18 tahun, terus cemerlang.
Gandingan itu berjaya menewaskan beberapa pasangan hebat, termasuk ke atas pasangan China dan pasangan nombor 2 dunia dari Korea Selatan.
Dalam separuh akhir, mereka menewaskan pasukan Brazil sebelum tewas tipis kepada Jepun dalam final, untuk mendapatkan pingat perak.
Gan mendedikasikan pingat perak itu kepada bapanya dan jurulatihnya, serta mengucapkan terima kasih atas sokongan dan bimbingan yang diterima.
Beliau juga menunjukkan prestasi hebat dalam acara Individu Lelaki BC3 dengan menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan.
Gan hampir mendapat tempat di podium tetapi tewas kepada Jules Menard dari Perancis dalam perlawanan merebut pingat gangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg