Topik diikuti
Pergi ke BHkuAtlet bola keranjang 3x3 S’pura tekad perkemas pertahanan, pasukan sasar naik podium
Atlet bola keranjang 3x3 S’pura tekad perkemas pertahanan, pasukan sasar naik podium
Pada usia hanya 19 tahun dan berbekalkan pengalaman sekitar lapan bulan sahaja dalam format 3x3, Mohamed Faizal Mohamed Zahid tidak kekurangan keyakinan menjelang penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Namun, pemain bola keranjang itu sedar bahawa terdapat satu aspek yang perlu dipertingkatkan jika beliau mahu membantu Singapura bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik di Asia: pertahanannya.
“Secara individu, perkara yang saya banyak usahakan ialah pertahanan.
“Saya masih agak baru dalam 3x3 dan kekurangan saya adalah pertahanan saya. Saya boleh melakukannya, tetapi saya perlu membina tabiat yang betul supaya dapat melakukannya secara konsisten apabila berada di gelanggang,” kata atlet setinggi 1.98 meter itu.
Bagi Zahid, cabaran itu menjadi lebih penting dalam format 3x3 yang pantas, di mana pemain sentiasa terlibat dalam aksi dan mempunyai ruang yang sangat kecil untuk melakukan kesilapan.
Keazaman dan kerja kerasnya kini akan diuji apabila Singapura memulakan kempen menentang Jepun, diikuti Thailand pada 22 September, sebelum menentang Korea Selatan pada 23 September.
Namun, Zahid tidak gentar berdepan tekanan di pentas besar.
Tahun ini (2026), beliau sudah mendapat pendedahan di peringkat tertinggi 3x3 menerusi kejohanan Pro Tour, selain pernah beraksi di World Tour dan beberapa kejohanan Challenger.
Pengalaman itu memberinya gambaran jelas mengenai tahap yang bakal dihadapinya di Jepun.
“Saya sudah bermain di tahap tertinggi 3x3, jadi saya tahu apa yang perlu dijangka.
“Tetapi persoalannya ialah bagaimana saya membuat persiapan untuk menghadapinya. Memandangkan saya pernah berada dalam situasi ini, untuk Sukan Asia, saya lebih fokus kepada perkara yang boleh saya lakukan daripada memikirkan apa yang bakal berlaku,” katanya.
Keyakinan itu turut disokong pengalaman di Sukan Komanwel 2026, apabila bola keranjang Singapura membuat penampilan sulung dalam temasya tersebut.
Zahid dan rakan sepasukannya mara sehingga ke pusingan play-in sebelum tewas tipis kepada New Zealand, sekali gus menamatkan saingan di tempat keenam daripada 12 pasukan.
Bagi Zahid, keputusan itu memberikan bukti bahawa Singapura mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai pemain profesional 3x3.
“Membawa pengalaman itu ke Sukan Asia amat penting kerana sekarang terdapat had umur. Jika kami mampu melakukannya ketika tiada had umur, mengapa kami tidak boleh melakukannya apabila ada had umur?” katanya.
Salah satu perlawanan yang paling dinanti-nantikan Zahid di Sukan Asia ialah pertemuan dengan Korea Selatan di peringkat kumpulan.
Beliau tertarik untuk menguji kemampuan Singapura menentang skuad yang menurutnya merupakan antara pencabar kuat di Asia, lebih-lebih lagi dengan Korea Selatan muncul naib juara Piala Asia 3x3 tahun ini dengan barisan pemain bawah 23 tahun.
“Kalau mereka boleh dapat tempat kedua di Piala Asia, mereka sememangnya cabaran besar dan saya mahu lihat apa yang boleh kami lakukan ketika menentang mereka,” kata Zahid.
Bagi Zahid sendiri, sasaran peribadinya di Aichi-Nagoya cukup jelas - memperbaiki pertahanan dan meninggalkan gelanggang dengan keyakinan bahawa beliau sudah memberikan segala-galanya. Kata anak muda itu:
“Untuk Sukan Asia ini, matlamat utama saya ialah melakukan yang terbaik dalam pertahanan dan meninggalkan gelanggang dengan mengetahui bahawa saya sudah memberikan yang terbaik.”
Namun, azam peribadi itu datang bersama cita-cita pasukan yang lebih besar.
Keempat-empat pemain yang mewakili negara - Michael Kesevan-Kankam, 21 tahun; Ching Zhen Yu, 22 tahun; Liam Richard Arman Blakney, 21 tahun; dan Zahid - berkongsi impian yang sama iaitu untuk menamatkan saingan di podium.
“Apabila kami bersaing di Sukan Asia, keempat-empat kami berkongsi matlamat yang sama. Kami memang mahu mendapat tempat di podium,” katanya.
Tatkala Zahid dan rakan-rakannya melangkah ke gelanggang, beliau mahu rakyat Singapura melihat lebih daripada sekadar keputusan di papan mata.
“Saya harap mereka melihat semangat juang kami dan bagaimana kami cuba membuat negara bangga. Setiap kali kami masuk ke gelanggang dan melihat bendera, apa yang kami mahu ialah membuat negara bangga,” ujar Zahid.
