Seramai 304 atlet Singapura daripada 27 sukan bakal membawa harapan negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan hampir dua pertiga daripada kontinjen itu akan membuat penampilan sulung di temasya berkenaan.

Dua atlet yang dipilih untuk mengibarkan bendera Singapura di upacara pembukaan pada 19 September ialah atlet lawan pedang Kiria Tikanah Abdul Rahman dan pendayung kanu Brandon Ooi Wei Cheng.

Menjelang temasya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini, atlet Team Singapore bersama kontinjen Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 berkumpul pada 29 Ogos bagi Majlis Penyampaian Bendera Team Singapore di OCBC Square, The Kallang.

Kontinjen Sukan Olimpik Remaja Dakar pula terdiri daripada 13 atlet dalam sembilan sukan dan akan bertanding dari 31 Oktober hingga 13 November.

Bagi kontinjen Sukan Asia, pengalaman atlet seperti Shanti Pereira dalam olahraga, Ryan Lo dalam pelayaran, Stephenie Chen dalam kanu dan Amita Berthier dalam lawan pedang akan digabungkan dengan tenaga serta cita-cita atlet muda yang bakal membuat penampilan sulung.

Bagi Kiria, pemilihan membawa bendera semasa upacara pembukaan menjadi satu penghormatan istimewa selepas bertahun-tahun mewakili Singapura di pentas antarabangsa.

“Menjadi pembawa bendera Singapura adalah satu penghormatan. Selepas mewakili Singapura dalam pelbagai pertandingan selama ini, dipilih sebagai pembawa bendera adalah sesuatu yang sangat istimewa,” kata atlet berusia 26 tahun itu.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat berpasukan dalam menghadapi cabaran di Aichi-Nagoya.

“Saya bangga berdiri bersama rakan-rakan atlet Team Singapore. Sebagai satu pasukan, saya percaya kami boleh mendapatkan kekuatan daripada satu sama lain dan memberikan yang terbaik untuk Singapura,” tambahnya.

Bagi Ooi, 32 tahun, detik itu merupakan impian yang pernah dibayangkan sejak beliau menyertai temasya pertamanya ketika berusia 15 tahun.

“Sejak saya bertanding dalam temasya pertama ketika berusia 15 tahun, saya mengimpikan detik seperti ini, walaupun tidak pernah menyangka ia akan berlaku,” katanya.

Beliau, yang akan memimpin kontinjen Singapura di upacara pembukaan, berkata bendera negara turut melambangkan sokongan yang diterimanya sepanjang perjalanan sebagai atlet.

“Bagi saya, bendera Singapura mewakili sokongan tidak berbelah bahagi daripada jurulatih, rakan sepasukan, keluarga dan rakyat Singapura yang menyokong kami pada setiap langkah.”

Beliau juga teruja untuk berkongsi pengalaman Sukan Asia bersama rakan sepasukan dalam skuad kanu yang majoritinya peserta kali pertama.

“Saya tidak sabar untuk mereka, dan untuk kami semua, melalui perjalanan ini bersama-sama,” kata Ooi.

Chef de Mission Team Singapore bagi Sukan Asia, Goh Kee Nguan, berkata tumpuan pasukan sokongan adalah memastikan atlet dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada persaingan.

Katanya, di sebalik 304 atlet yang akan beraksi, terdapat pasukan besar yang terdiri daripada jurulatih, pengurus pasukan, pegawai perubatan, pakar sains sukan serta pegawai sokongan yang bekerja di belakang tabir.

“Peranan kami adalah memastikan atlet boleh memberi tumpuan kepada perkara paling penting – bertanding dengan yakin dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut mahu atlet menikmati pengalaman mewakili negara dan saling menyokong sepanjang temasya.

“Saya mahu mereka melangkah ke pentas Sukan Asia dengan mengetahui bahawa Singapura menyokong mereka,”

“Saya tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini bersama atlet, melihat mereka bertanding dengan berani, menerima pengalaman itu, menyokong satu sama lain dan, yang paling penting, menikmati keistimewaan mewakili negara,” ujarnya.