Atlet boling Irdina Hazly raih Anugerah Kecemerlangan Annabel Pennefather

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet boling Irdina Hazly raih Anugerah Kecemerlangan Annabel Pennefather

Anugerah sempena nama ikon hoki negara itu diberi Sekolah Sukan S’pura sebagai iktiraf pencapaian bekas atlet-pelajarnya
Feb 11, 2026 | 7:30 PM

Atlet boling Irdina Hazly raih Anugerah Kecemerlangan Annabel Pennefather

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
 Nur Irdina Hazly, Anugerah, Annabel Pennefather
Atlet boling negara, Nur Irdina Hazly, berkata Anugerah Kecemerlangan Annabel Pennefather bak satu penutup yang baik bagi perjalanannya di Sekolah Sukan Singapura. Beliau menerima anugerah itu di Sekolah Sukan Singapura pada 11 Februari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Atlet boling negara, Nur Irdina Hazly, baru sahaja menamatkan Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) yang mencabar di Sekolah Sukan Singapura (SSP) pada 2025.

Setelah berhempas pulas mengimbangi pelajaran, tanggungjawab sebagai Anggota Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Majlis Pelajar SSP dan latihan boling, Irdina kini mempunyai sedikit masa sebelum memasuki fasa paling mencabar apabila memulakan pengajian universiti pada Julai ini.

Namun, atlet berusia 18 tahun itu bersedia mengorak langkah baru dan memberi sepenuh tumpuan kepada pengajian serta latihan demi mengejar impiannya untuk menjadi antara atlet boling terbaik di dunia.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Irdina berkata cabaran untuk mengimbangi pengajian dan latihan akan menjadi lebih besar, namun, beliau bersedia meningkatkan prestasinya ke tahap lebih tinggi.

“Apabila berada di universiti nanti, saya ingin menetapkan sasaran kecil dan tidak mahu mengulangi tabiat menyiapkan segala-galanya pada saat akhir seperti yang saya lakukan pada tahun-tahun terakhir di SSP.

“Saya ingin beraksi di Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat dan meraih pingat emas di Sukan SEA dan Kejohanan Belia Dunia... itu cita-cita saya dalam boling,” ujar beliau.

Irdina berkongsi bahawa beliau telah mengemukakan permohonan ke universiti tempatan bagi jurusan sains hayat atau sains farmaseutikal.

Jikalau berjaya, anak bongsu dua beradik itu akan memulakan persekolahan pada akhir Julai atau Ogos nanti.

Namun kini, beliau hanya ingin menikmati masa lapang yang jarang diperolehnya.

Irdina berkata beliau ingin bermain bola keranjang, mengambil lesen memandu, dan menumpukan pada latihan boling bagi Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2026 di Sarawak Jun ini.

Selepas menamatkan pengajian di SSP pada September 2025, beliau telah meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA 2025 pada Disember lalu.

“Saya hanya ingin relax dan main bola keranjang iaitu hobi saya. Sebelum ini, jurulatih saya tidak benarkan kerana saya perlu tumpu pada kejohanan saya,” katanya sambil berseloroh.

Di penampilan sulungnya di Sukan SEA 2025 pada Disember lalu, Nur Irdina Hazly (dua dari kiri), meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan. Pasukannya terdiri daripada (dari kiri) Arianne Tay, Colleen Pee, dan Charmaine Chang.
Di penampilan sulungnya di Sukan SEA 2025 pada Disember lalu, Nur Irdina Hazly (dua dari kiri), meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan. Pasukannya terdiri daripada (dari kiri) Arianne Tay, Colleen Pee, dan Charmaine Chang. - Foto FACEBOOK SEKOLAH SUKAN SINGAPURA

Selain itu, Irdina juga pernah memenangi pingat perak di Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2024 dan pingat emas di Kejohanan Boling Belia Asia pada 2025.

Bagi pencapaiannya, Irdina, bekas atlet-pelajar di SSP, disampaikan Anugerah Kecemerlangan Annabel Pennefather pada 11 Februari di SSP.

Beliau ialah atlet boling pertama yang menerima penghargaan itu.

Anugerah ini bak satu penutup yang baik bagi perjalanan saya di Sekolah Sukan Singapura.

“Dahulu ketika saya hadir malam anugerah SSP, Anugerah Annabel Pennefather selalu merupakan antara anugerah terakhir yang diberikan, maka saya percaya ia sangat berprestij,” katanya.

Anugerah tahunan itu, yang mengiktiraf ikon hoki negara, Annabel Pennefather, disampaikan oleh SSP kepada dua graduan atlet-pelajar wanitanya yang meraih pencapaian sukan yang cemerlang.

Ia dilancarkan pada 2021 dan dibiayai Geran Pendidikan Forum Antarabangsa Wanita Singapura.

Selain kecemerlangan dalam bidang sukan, penerima anugerah juga perlu menunjukkan kepimpinan kukuh, semangat tinggi, integriti, dan kelakuan baik, serta semangat kemasyarakatan.

Bagi Irdina, beliau telah menunjukkan ciri kepimpinannya apabila dilantik menjadi Exco Majlis Pelajar SSP untuk 2024/2025, sebagai Timbalan Ketua Kesejahteraan.

Seorang lagi pemenang Anugerah Annabel Pennefather, ialah pemain lawan pedang, Esther Tan.

Anugerah SSP itu diberikan hanya kepada atlet yang sudah menamatkan pengajian peringkat menengah, politeknik, dan IBDP di institusi itu pada 2025.

Majlis Anugerah di SSP itu turut dihadiri Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo selaku tetamu terhormat.

Sebelum ini, Irdina pernah merangkul beberapa anugerah termasuk Pasukan Olahragawan Muda Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Singapura 2024, Anugerah Olahragawan Muda Wanita Terbaik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Singapura (SSSC) pada 2024 dan 2025, dan Anugerah Atlet Cemerlang SSP 2025.

Atlet boling negara, Nur Irdina Hazly, pernah merangkul beberapa anugerah termasuk Pasukan Olahragawan Muda Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Singapura 2024, Anugerah Olahragawan Muda Wanita Terbaik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Singapura (SSSC) pada 2024 dan 2025, dan Anugerah Atlet Cemerlang SSP 2025.
Atlet boling negara, Nur Irdina Hazly, pernah merangkul beberapa anugerah termasuk Pasukan Olahragawan Muda Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Singapura 2024, Anugerah Olahragawan Muda Wanita Terbaik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Singapura (SSSC) pada 2024 dan 2025, dan Anugerah Atlet Cemerlang SSP 2025. - Foto fail

Sementara itu, malam anugerah tersebut turut menyaksikan SSP menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Politeknik Temasek (TP) untuk menawarkan program akademik di luar kampus buat kali pertama, sekali gus memperluaskan kerjaya dua laluan untuk atlet-pelajar.

Menurut satu kenyataan SSP pada 11 Februari, MOU itu juga memperkenalkan lima program diploma berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (Stem) yang pertama, khusus untuk pelajarnya.

Bermula 2027, atlet-pelajar SSP boleh mendaftar dalam bidang Makanan, Nutrisi dan Sains Kulinari; Bioteknologi Perubatan; Sains Farmaseutikal; Kejuruteraan Kimia; serta Teknologi Veterinar di bawah Sekolah Sains Gunaan, Politeknik Temasek.

“Program diploma bersama ini akan direka bentuk mesra atlet, bagi menyokong pembangunan holistik atlet negara dalam bidang sukan dan akademik.

“Kelas akan disesuaikan dan dijadualkan pada waktu petang bagi memenuhi keperluan atlet negara yang menjalani latihan dua kali sehari.

“Merangkumi kesemua lima program diploma, atlet-pelajar juga akan diberikan fleksibiliti untuk merancang jadual akademik mengikut keperluan dan komitmen sukan mereka, termasuk pilihan untuk melanjutkan tempoh pengajian diploma sekiranya perlu,” kata kenyataan tersebut.

Antara ciri unik program yang lain ialah pengaturan pengangkutan bagi atlet ke Kompleks Sukan Kallang atau Sekolah Sukan.

Program diploma terbaru itu sekali gus melengkapi dua program diploma sedia ada yang ditawarkan SSP dengan kerjasama Politeknik Republik dan Politeknik Ngee Ann, yang dilaksanakan di sekolah sukan itu.

Politeknik Republik menawarkan Program Diploma Bersama dalam Perniagaan, manakala Politeknik Ngee Ann pula menawarkan Program Diploma Bersama dalam Pengajian Perniagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg