Atlet rangkul 52 emas di Sukan SEA raih ganjaran $610,000
Atlet rangkul 52 emas di Sukan SEA raih ganjaran $610,000
Pelarasan anugerah MAP gandakan ganjaran emas kedua dan ketiga Sukan SEA
Ganjaran sebanyak $610,000 telah dianugerahkan kepada atlet Singapura yang merangkul emas di Sukan SEA ke-33 di Thailand, dalam majlis pengiktirafan pada 21 Januari.
Susulan semakan Anugerah Sukan Utama (MAP), atlet yang memenangi lebih daripada satu pingat emas di Sukan SEA 2025 kini menerima ganjaran wang yang lebih besar.
Penyelarasan ini diumumkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang turut hadir di majlis yang diadakan di The Kallang.
Cik Fu, yang juga Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), menegaskan bahawa anugerah ini bukan sahaja menghargai usaha dan pengorbanan atlet, malah memperkukuh sokongan untuk generasi atlet akan datang.
“Sementara Sport Singapore menyediakan sokongan asas yang kukuh, skim insentif seperti MAP kekal relevan dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi, dan kami berharap ia terus memberi inspirasi kepada atlet untuk mengharumkan nama Singapura di temasya sukan utama,” tambah Cik Fu.
Antara perubahan MAP termasuk penggandaan ganjaran wang tunai bagi pingat emas kedua dan ketiga seseorang atlet di Sukan SEA, daripada $5,000 kepada $10,000.
Pasukan negara mencatatkan prestasi keseluruhan yang memberangsangkan di Sukan SEA 2025 dengan membawa pulang sebanyak 202 pingat (52 emas, 61 perak dan 89 gangsa), selain mencipta 12 rekod temasya, 11 rekod kebangsaan serta 29 pencapaian terbaik peribadi.
Seramai 100 atlet yang meraih 52 pingat emas menerima anugerah MAP atas pencapaian mereka di Sukan SEA 2025.
Majlis penghargaan tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, bersama 600 atlet negara yang beraksi di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Singapura memahat sejarah dengan menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan SEA, melibatkan 926 atlet yang bersaing dalam 48 acara sukan.
Antara yang menerima ganjaran tertinggi adalah perenang kebangsaan, Letitia Sim, yang membawa pulang lebih $30,000 selepas menyapu lima pingat emas – empat daripada acara individu dan satu daripada acara berpasukan.
Beliau dihadiahkan $10,000 bagi setiap pingat emas dalam acara kuak dada individu 200 meter wanita, kuak dada individu 100 meter wanita, dan medley individu 200 meter wanita.
Beliau juga menerima $3,750 daripada jumlah $15,000 yang dibahagikan antara empat atlet bagi acara 4x100m medley wanita.
Letitia tidak menerima hadiah wang bagi emas keempatnya dalam acara kuak dada individu 50 meter wanita, kerana anugerah MAP mengehadkan pemberian hadiah wang sehingga pingat emas ketiga sahaja bagi Sukan SEA.
Anugerah MAP yang dilancarkan oleh SNOC pada 1990 merupakan skim insentif untuk menghargai pencapaian atlet di temasya sukan utama. Ia termasuk Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik.
Ganjaran wang itu ditaja oleh Tote Board.
Ganjaran yang diterima oleh setiap atlet tertakluk kepada cukai, dan 20 peratus daripada jumlah tersebut perlu disalurkan kepada Persatuan Sukan Nasional (NSA) masing-masing.
Rakan sepasukannya pula, Gan Ching Hwee, menerima $30,000 setelah meraih tiga pingat emas.
Beliau menjuarai acara gaya bebas 800 meter wanita, gaya bebas 400 meter wanita dan gaya bebas 200 meter wanita.
Pesilat, Dhani Andika Razali, dan atlet karate, Marissa Hafezan, masing-masing menerima $10,000 sebagai ganjaran pingat emas bagi acara masing-masing.
Dhani meraih pingat emas Sukan SEA pertamanya, sambil menyumbang satu-satunya emas untuk kempen Silat Singapura apabila menjuarai acara tanding kelas bawah 45kg Putra.
Marissa mengukir sejarah dengan meraih pingat emas pertama Singapura sejak 1993 dalam acara Kumite wanita.
Atlet taekwondo, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi dan Nicholas Khaw menerima ganjaran wang $15,000 yang dibahagikan sama rata antara mereka berdua.
Diyanah dan Nicholas menyumbang pingat emas pertama bagi kempen Sukan SEA 2025 apabila menjuarai acara regu campuran poomsae (seni) pada 10 Disember.
Atlet lawan pedang, Azfar Luqman Ong, menerima $3,750 daripada jumlah $15,000 yang dibahagikan antara tiga lagi rakan sepasukannya setelah menjuarai acara berpasukan epee lelaki.
Ramai atlet melahirkan rasa syukur atas sokongan yang diterima, selain meraih ganjaran wang masing-masing.
Ditemui Berita Harian (BH) di majlis itu, Dhani meluahkan kegembiraannya atas pengiktirafan dan anugerah yang diterimanya.
“Saya benar-benar teruja. Sukan SEA merupakan satu tempoh yang panjang dan mencabar, dengan pelbagai dugaan yang saya perlu harungi. Anugerah ini lambang ganjaran atas segala usaha keras saya,” kata Dhani.
Beliau menambah, ganjaran wang tersebut akan digunakan untuk membeli peralatan silat yang biasanya menelan kos tinggi.
Bagi Diyanah pula, ganjaran tersebut akan membantunya menampung kos latihan intensif dan pertandingan di luar negara, termasuk perbelanjaan penginapan dan tiket penerbangan, yang penting bagi perkembangan beliau sebagai atlet berprestasi tinggi.
Dalam panggilan bersama BH, Diyanah berkata: “Saya terharu menerima anugerah ini kerana kerja keras dan prestasi saya dihargai. Anugerah tersebut meyakinkan saya bahawa saya berada di landasan yang tepat dan ada sistem sokongan yang kukuh dalam perjalanan sukan saya,” tambah Diyanah, yang sedang menghadiri kem latihan selama sebulan di Korea Selatan.
Bagi Marissa, yang tidak dapat menghadiri majlis anugerah MAP kerana sedang menjalani latihan di Perancis, pengiktirafan dan ganjaran itu akan membantunya dalam proses pemulihan serta persiapan menghadapi kejohanan utama pada tahun 2026.
Azfar pula berkata beliau terharu menerima anugerah MAP buat pertama kali, setelah memenangi pingat emas yang pertamanya di Sukan SEA 2025.

