LONDON: Atlet lompat galah Britain, Molly Caudery, berkata beliau “telah mencapai impian” selepas melompat setinggi 4.85 meter – paling tinggi di dunia dalam 2024 – di Kejohanan Tertutup Britain.
Ketinggian tersebut adalah rekod peribadi atlet berusia 23 tahun dari Cornwall, England, itu yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022.
Usaha Caudery di Birmingham itu meletakkan beliau antara pilihan bagi memenangi Kejohanan Tertutup Dunia pada Mac di Glasgow, Scotland.
“Ia sungguh menakjubkan. Sukar dipercayai bahawa saya telah membuka tirai musim kompetitif saya sebegini,” katanya.
“Saya sangat bersyukur dan saya sedang menikmati setiap detiknya,” tambah beliau.
Caudery, yang menduduki tempat kelima di Kejohanan Dunia musim panas lalu di Budapest, mencatat permulaan hebat pada 2024 setelah meningkatkan prestasi terbaik peribadinya setinggi 0.10m daripada 4.75m yang beliau capai pada final di Hungary pada Ogos 2023.
“Jangkaan saya telah meningkat tinggi dan saya sudah mencapai lebih daripada yang saya mahu capai,” ujarnya.
“Tetapi itu meletak saya di tempat yang begitu baik bagi Kejohanan Tertutup Dunia di Glasgow.
“Saya rasa mempunyai penonton di negara sendiri di sana nanti – sorakan mereka di sini hari ini menakjubkan – dan saya fikir berada di sana kelak akan menjadikan pengalamannya lebih hebat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg