Sebelum Januari 2025, Putri Siti Nur Farhani Shamsuri, 26 tahun, langsung tidak pernah mendengar tentang sukan kabadi.
Setelah bertarung satu lawan satu dalam dunia jujitsu, termasuk bertanding di pentas Kejohanan Jujitsu Asia 2022, Sukan Asia 2023 dan Kejohanan Grand Prix Terbuka Thailand 2023, beliau tidak sangka akan menyertai sukan berpasukan seperti kabadi.
Namun, Putri berani membuat perubahan dan menukar Gi (seragam jujitsu) kepada jersi kabadi selepas dipilih untuk menyertai pasukan kabadi negara wanita bagi Sukan SEA 2025.
Walaupun baru dalam sukan itu, perjalanannya sudah penuh dengan pengalaman manis di dalam dan luar gelanggang, sambil beliau belajar membina kepercayaan dan keserasian bersama rakan sepasukan barunya.
Ketika Berita Minggu (BM) menyaksikan latihan mereka pada 11 Oktober, wartawan mendapati mereka begitu gigih mengulangi latihan pertahanan demi mendapatkan gambar dan rakaman video Putri beraksi.
Meskipun baru dalam kabadi, pengalaman jujitsu sebelumnya menjadi aset penting bagi pasukan yang mula dibentuk seawal Januari 2025.
“Selaku pemain pertahanan, saya lebih yakin membanting pihak lawannya dengan lebih mudah... Sambil itu, saya juga tahu caranya (teknik) untuk kurangkan kecederaan,” jelasnya.
Dengan pengalaman antarabangsanya, beliau juga membawa ketenangan kepada pasukan muda itu, yang mana ramai dalam kalangan mereka belum beraksi di pentas sukan antarabangsa seperti Sukan SEA.
“Tentunya, ramai orang akan meletakkan harapan tinggi kepada kami kerana kami mewakili negara. Saya memberi nasihat agar mereka jangan ragu-ragu dan menikmati saja peluang ini,” kongsinya.
Menjelang temasya Sukan SEA yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, Putri dan rakan sepasukannya bertungkus-lumus membuat persiapan.
“Setiap orang berdisiplin dan membuat pengorbanan, walaupun sekolah dan bekerja,” katanya.
Selain berlatih tiga kali seminggu, mereka perlu mencatatkan 400 push-up dan 500 pusingan larian pertahanan.
Mereka juga telah menguji keupayaan pasukan dengan menentang bakal pasukan lawan di prapertandingan Sukan SEA 2025 di Malaysia pada September, dan melahirkan keyakinan mampu membawa pulang pingat Sukan SEA pertama dalam sukan kabadi.
Sementara itu, Putri tidak sabar bagi peminat Singapura menyaksikan ‘huru-hara’ pertarungan kabadi.
“Yang membuat kabadi unik ialah gerakan lincah luar biasa, termasuk putaran badan, serta tuntutan terhadap kerjasama pasukan dan berfikir dengan pantas,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg