Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet kabadi terharu impian wakili S’pura jadi kenyataan

Naib kapten Aidil yakin mampu bawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa
Nov 9, 2025 | 5:00 AM
Sejak kecil, impian naib kapten pasukan kabadi negara lelaki, Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib, adalah untuk mewakili Singapura sebagai atlet.
Sejak kecil, impian naib kapten pasukan kabadi negara lelaki, Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib, adalah untuk mewakili Singapura sebagai atlet. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

standfirst: Menjelang Sukan SEA, Berita Minggu (BM) berkongsi perjalanan dan persiapan pasukan kabadi negara, yang akan dipertandingkan buat kali pertama di temasya tersebut.
Berasal dari India, sukan kabadi semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di Singapura sejak 2014. BM menampilkan usaha atlet kabadi serta jurulatih yang akan beraksi buat julung-julung kalinya di pentas Sukan SEA 2025.

Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib, 24 tahun, tidak dapat menahan air matanya apabila impian semasa zaman kanak-kanaknya untuk mewakili Singapura akhirnya menjadi kenyataan.

Sebelum menemui minat sejatinya dalam sukan kabadi menerusi TikTok pada 2022, Aidil berjinak-jinak dalam sukan bola keranjang dan bola sepak.

Daripada termuntah-muntah sewaktu sesi latihan pertama kabadinya, Aidil kini sedang bersiap-sedia selaku naib kapten pasukan lelaki untuk beraksi di Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand dari 9 hingga 20 Disember. Ternyata, perjalanannya mencerminkan semangat dan ketabahan dirinya.

“Peluang mewakili negara merupakan pencapaian terbesar bagi seseorang atlet,” kata Aidil sambil tersenyum lebar.

Detik itu menjadi lebih manis kerana Persatuan Kabadi Tengah Singapura (KACSG) berjaya membuat rayuan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), untuk membenarkan pasukan lelaki dan wanita kabadi bersaing di Sukan SEA 2025. Ini kali pertama kabadi akan dipertandingkan di temasya Sukan SEA.

Berasal dari India, kabadi ialah sukan sentuhan lasak yang melibatkan dua pasukan.

Kabadi dalam format tujuh lawan tujuh telah menjadi acara rasmi yang menawarkan pingat di Sukan Asia sejak 1990, namun belum pernah disenaraikan dalam pentas Sukan SEA sebelum 2025.

Aidil menceritakan anggota pasukannya membaca e-mel mengandungi keputusan rayuan pasukan itu bersama-sama.

“Pada mulanya, saya kurang yakin dengan rayuan kami kerana pasukan kabadi hanya bertanding di peringkat antarabangsa selama sekitar tiga tahun, jadi kami kurang berpengalaman berbanding sukan lain.

“Namun, kami sangat gembira apabila rayuan kami diterima pada Ogos, kami bersorak gemuruh dan memeluk satu sama lain,” kongsi Aidil.

Aidil salah seorang pemain penyerang dalam pasukan kabadi Singapura lelaki.
Aidil salah seorang pemain penyerang dalam pasukan kabadi Singapura lelaki. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Keputusan itu begitu bermakna bagi 30 atlet kabadi – 15 lelaki dan 15 wanita – yang akan beraksi di Songkhla, Thailand.

Ini juga kali pertama mereka akan bertanding di pentas sukan antarabangsa utama, seperti Sukan SEA.

Pencapaian itu juga berteraskan disiplin dan usaha berterusan daripada setiap ahli pasukan.

Bagi Aidil, pelajar kursus fisioterapi tahun kedua di Institut Teknologi Singapura (SIT), beliau berlatih tiga kali seminggu bersama pasukannya dan tiga kali lagi bersendirian.

“Kami perlu cekap menyusun jadual, sebenarnya ada sedikit sahaja masa untuk rehat,” jelasnya.

Apabila wartawan Berita Minggu (BM) bertemu dengan Aidil sewaktu sesi latihan pada 11 Oktober, pergelangan tangan, lutut dan mata kakinya dilitupi pembalut.

Sambil berseloroh, Aidil menjelaskan bagaimana luka dan lebam adalah sebahagian daripada sukan lasak itu.

“Saya pernah patah hidung dan jari saya sudah beberapa kali cedera dan terbengkok. Saya sudah buat pelbagai pembedahan tetapi saya tetap cintakan sukan ini,” kongsinya.

Bagi temasya Sukan SEA kali ini, peserta akan bertarung tujuh lawan tujuh, lima lawan lima dan tiga lawan tiga.

Matlamatnya adalah bagi seorang penyerang, atau raider, masuk ke zon lawan, menyentuh seberapa ramai pihak lawan dan kembali ke zon sendiri untuk mengutip mata, dalam tempoh 30 saat.

Pasukan lawan akan cuba menangkap raider melalui pelbagai teknik seperti memerangkap, menahan dan membanting raider ke lantai untuk mengutip mata.

Cuma ada syaratnya – raider itu perlu melakukan setiap serangan dalam satu nafas sambil sebut perkataan “kabadi”.

Sebagai salah seorang pemain penyerang, atau raider, Aidil (ditahan di tengah) perlu masuk ke zon lawan, menyentuh seberapa ramai pihak lawan dan kembali ke zon sendiri untuk mengutip mata sambil mengelak pertahanan lawan yang akan cuba menghalangnya.
Sebagai salah seorang pemain penyerang, atau raider, Aidil (ditahan di tengah) perlu masuk ke zon lawan, menyentuh seberapa ramai pihak lawan dan kembali ke zon sendiri untuk mengutip mata sambil mengelak pertahanan lawan yang akan cuba menghalangnya. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Ia menghiburkan untuk melihat pemain dari pelbagai negara menyebut ‘kabadi’ dalam telor berbeza.

“Sukan ini sangat lasak tetapi ia sangat menyeronokkan... Penyerang boleh menendang pihak lawan untuk mengutip mata dan raider seringkali dibanting sehingga mereka terlayang,”

Aidil menambah bahawa strategi juga penting dalam kabadi.

“Ada pesaing yang akan memaksa kami ketawa atau sebut perkataan lain semata-mata untuk gagalkan serangan kami,” kongsi Aidil.

Aidil dan pasukan kabadi negara akan berusaha menentang Malaysia, Thailand, Indonesia dan Myanmar sebaik mungkin di Sukan SEA nanti, biarpun mereka sedar lawan mereka bukan calang-calang.

“Pasukan Singapura mungkin yang paling muda berbanding pesaing kami yang jauh lebih berpengalaman... mereka juga lincah walaupun bertubuh besar, ” ujar Aidil.

Pasukan lawan juga memiliki kemudahan lebih lengkap dan mempunyai akademi tersendiri, seperti tuan rumah Sukan SEA 2025, Thailand.

Atlet kabadi Singapura juga masih muda, berusia antara 18 dan 26 tahun. Pasukan negara wanita pula turut mula dibentuk seawal Januari 2025.

Anggota termuda ialah pemain pertahanan pasukan lelaki, Rayan Zuhayr Nurul Hatta, 18 tahun.

Pelajar daripada Maktab Rendah Anderson Serangoon itu bukan sahaja membuat persiapan untuk pertandingan kabadi, malah juga untuk menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’ pada November ini.

Baginya, sokongan dan tolak ansur daripada keluarganya, jurulatih dan ahli pasukan menjadi kunci kejayaannya untuk cemerlang di dalam dan luar gelanggang.

“Saya menghargai sokongan emosi daripada ibu saya sepanjang ini. Sebagai guru bahasa Melayu, beliau memberi saya kaedah memahami bahasa Tamil yang biasanya digunakan dalam pengajaran sukan kabadi.

“Bimbingan jurulatih (Sivanessan Kitnasamy) juga sangat bermakna kepada saya, beliau mengajar sukan kabadi bersungguh-sungguh tidak kira budaya atau bangsa kami...” kongsi Rayan yang mula bermain kabadi sejak peringkat menengah tiga.

“Akhir kata, saya menerima tanggungjawab sebagai atlet dan pelajar, jadi saya perlu memberi seratus peratus usaha demi rakan sepasukan saya,” tegasnya.

Rayan Zuhayr Nurul Hatta, merupakan ahli pasukan kabadi nasional lelaki paling muda. Meskipun berusia 18 tahun, Rayan dianggap seperti pemain pertahanan yang handal dan penting bagi pasukannya.
Rayan Zuhayr Nurul Hatta, merupakan ahli pasukan kabadi nasional lelaki paling muda. Meskipun berusia 18 tahun, Rayan dianggap seperti pemain pertahanan yang handal dan penting bagi pasukannya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Menjelang penampilan sulung pasukan kabadi di Sukan SEA 2025, mereka telah menyertai beberapa kejohanan di luar negara.

Pasukan negara lelaki mula bertanding di peringkat antarabangsa pada 2023, dan merangkul pingat pertama selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Kabadi Terbuka Antarabangsa Koni Badung Sport Tourism 2024 di Indonesia.

Pada September 2025, pasukan lelaki dan wanita memenangi pingat gangsa semasa menentang Malaysia, Thailand, Indonesia dan Timor Leste dalam prapertandingan Sukan SEA 2025.

“KACSG telah bekerja keras selama hampir 10 tahun untuk mendapatkan peluang seperti ini, saya sangat bersyukur kami dapat beraksi dalam Sukan SEA.

“Walaupun kami kurang berpengalaman, kami bekerja keras untuk merapatkan jurang dari segi bakat, dan saya yakin kami boleh membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa,” tegas Aidil.

View post on Instagram
 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg