Adakah loceng amaran sudah berbunyi untuk Young Lions?
Selepas lima perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL), pasukan itu bukan sahaja berada di kedudukan tercorot, malah, mengalami lima kekalahan berturut-turut – menjaringkan hanya empat gol dan dibolosi 17 kali.
Walaupun empat jaringan tersebut kesemuanya dijaringkan oleh pemain import asal Brazil, mereka masih belum benar-benar menyesuaikan diri dengan pemain tempatan dan menunjukkan prestasi di bawah paras sederhana.
Posisi serangan dan penjaga gawang juga menjadi topik perbincangan, memandangkan pemain import mengisi peranan tersebut dalam sebahagian besar perlawanan setakat ini, sekali gus mengurangkan masa bermain bagi pemain tempatan.
Kekalahan 1-3 mereka di tangan Geylang International pada 25 Oktober menambah derita pasukan muda itu ketika mereka sedang giat membuat persiapan bagi Sukan SEA dari 3 hingga 18 Disember.
Ketua jurulatih, Firdaus Kassim, kini menghadapi tugas mencabar untuk mengubah haluan anak buahnya dalam tempoh sebulan.
Memandangkan Young Lions tidak akan mengambil bahagian dalam Piala Singapura – dari 1 November hingga 10 Januari – dan baru sahaja menamatkan perlawanan SPL terakhir mereka bagi 2025, kebanyakan pemain akan menumpukan perhatian kepada Sukan SEA dan meningkatkan persiapan untuk temasya tersebut.
Ketika perlawananan menentang Geylang, Young Lions bermula dengan cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-17 menerusi penyerang Brazil, Sergio Mendonca.
Geylang bangkit untuk menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Shuhei Hoshino.
Walaupun separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan seimbang dalam mencipta peluang jaringan, separuh masa kedua menceritakan sebaliknya di Our Tampines Hub.
Dua gol pantas yang dijaringkan dalam lima minit – melalui Vincent Bezecourt dan Riku Fukashiro – melengkapkan kemenangan pasukan The Eagles.
Semangat juang anak didik Noor Ali dipacu apabila kapten Young Lions, Lucas Agueiro, mengejek Nazrul Nazari, lantas mengakibatkan kekecohan dalam kalangan pemain sekitar minit ke-50.
Mendonca turut menjatuhkan diri selepas ditolak oleh Shahdan Sulaiman ketika kekecohan tersebut.
Walaupun ada yang berpendapat tindakan pemain-pemain Brazil itu sebahagian daripada ‘rencah’ permainan, mereka sewajarnya menyalurkan tenaga tersebut untuk membangkitkan semangat pasukan.
Kedua-dua pemain Brazil menunjukkan detik-detik cemerlang di permulaan musim ini, namun, seperti pemain import Young Lions yang lain, mereka gagal mengekalkan prestasi dalam setiap perlawanan.
Pertembungan menentang Geylang juga merupakan kali pertama penjaga gawang, Aizil Yazid, memulakan perlawanan.
Berpotensi menjadi penjaga gawang utama Sukan SEA, kebimbangan mula terasa apabila beliau tidak bermain untuk empat perlawanan pertama SPL, yang diterajui penjaga gawang asal Slovenia, Benjamin Zerak.
Dalam lima perlawanan pertama, Mendonca turut menerajui bahagian serangan dan memulakan empat daripadanya.
Sementara itu, Geylang terus mengukuhkan status mereka sebagai kuda hitam SPL selepas melonjak ke tangga kedua.
Menentang Young Lions, Noor Ali meneruskan taktik permainan beralih posisi yang lancar dan pantas.
Selepas kehilangan tonggak penyerang mereka, Tomoyuki Doi – yang menjaringkan 44 gol musim lalu – mereka kelihatan sudah menemui rentak.
Sumber jaringan kini diagihkan secara seimbang dalam kalangan barisan serangan, walaupun mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan pertama.
Fukashiro dan Shodai Yokoyama terus menjadi duri dalam daging pasukan lawan dengan gelecekan dan hantaran pintar mereka, manakala Hoshino pula berjaya mengatasi ‘badi’ dengan jaringan gol pertamanya menentang Young Lions.
Dari segi pertahanan, mereka juga kelihatan semakin kukuh, dengan dibolosi empat kali dalam lima perlawanan.
Walaupun mereka merupakan pasukan paling produktif dengan 97 gol musim lepas, mereka juga dibolosi sebanyak 64 gol.
Dalam perlawanan lain, Balestier Khalsa meneruskan aksi cemerlang dalam padang dengan mengatasi Tanjong Pagar United 2-1 di Stadium Bishan pada 24 Oktober.
Pemain penyerang, Daniel Goh, memberikan kemenangan kedua The Tigers musim ini menerusi satu rembatan voli yang menarik dari hujung kotak penalti pada minit ke-80.
Tanjong Pagar memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi Bruno Dybal.
Perlawanan kelihatan seimbang dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan.
Namun, larian bertenaga Masahiro Sugita – yang mengatasi Dybal – memberikan gol penyamaan pada minit ke-62.
Keputusan itu meletakkan Balestier di tangga ketiga SPL dengan lapan mata manakala Tanjong Pagar di tangga ketujuh dengan tiga mata.
Seperti yang sering dipamerkan anak buah Noh Alam Shah musim ini, terdapat detik-detik yang menarik, namun kealpaan dalam tumpuan dan disiplin akhirnya menyaksikan mereka tewas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg