Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet karate, Marissa Hafezan akhiri kemarau emas Sukan SEA

Beliau bangkit dalam 7 saat terakhir untuk raih 2 mata berharga dan tewaskan lawannya dari Vietnam 5-3
Dec 12, 2025 | 7:51 PM
Marissa Hafezan, Nguyen Thi Dieu Ly, sea games, karate
Marissa Hafezan (tali pinggang biru) semasa beraksi di gelanggang dewan serbaguna Kompleks Kerajaan, Chaeng Watthana, di Bangkok, Thailand, pada 12 Disember. Beliau menewaskan peserta Vietnam, Nguyen Thi Dieu Ly, 5-3 untuk mendapatkan pingat emas di acara Kumite 55 kilogram. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walaupun bertubuh kecil dan dilihat sebagai seorang yang pemalu, Marissa Hafezan, mempamerkan sebaliknya di gelanggang karate untuk acara Kumite 55 kilogram wanita.

Naluri bertarung jelas dipamerkan sejak kali pertama beliau menjejakkan kaki ke gelanggang dewan serbaguna Kompleks Kerajaan, Chaeng Watthana, di Bangkok, Thailand, pada 12 Disember.

Tidak gentar dan takut, beliau menewaskan atlet Filipina, Montalvo Maryanne Jenelle, 7-0, di peringkat awal sebelum menumpaskan Sysoubanthong Manyvanh dari Laos 8-0 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Dalam perlawanan akhir yang sengit, Marissa bangkit dalam tujuh saat terakhir untuk meraih dua mata berharga dan menewaskan lawannya dari Vietnam, Nguyen Thi Dieu Ly, dengan keputusan 5-3.

Seakan tidak percaya, atlet berusia 19 tahun – yang mempunyai ayah asal Iran dan ibu dari Singapura – menitiskan air mata dan segera memeluk kedua ibu ayahnya itu yang turut memberi sokongan di Bangkok.

Keputusan itu sekali gus bermakna kemarau tiga dekad Singapura tanpa pingat emas dalam karate di Sukan SEA sudah dipatahkan.

Ini juga merupakan pingat pertama yang dimenangi pasukan karate negara dalam 14 tahun.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas perlawanannya, Marissa masih tidak percaya dan tidak mampu berkata-kata.

“Saya tidak tahu bagaimana ingin susun kata-kata saya.

“Terutama sekali dengan rekod yang saya baru atasi, ia membuat saya lebih berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.

Walaupun di atas kertas beliau memulakan perlawanan dengan cemerlang, meraih mata tanpa balas, Marissa tidak melihatnya sebagai perlawanan yang mudah.

Malah, menurutnya ia menguji mental dan fizikalnya.

“Menang perlawanan tujuh, lapan tanpa berbalas tidak pernah mudah.

“Tiada yang mudah pada hari ini, semuanya sangat mencabar dan saya gembira ia sudah selesai,” tambahnya.

Namun di perlawanan akhir itu, tumpuan dan tenaga Marissa jelas diuji.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama tiga minit, kedua-dua Marissa dan Dieu Ly tidak berjaya memenangi sebarang mata untuk 100 saat.

Malah, mata pertama dimenangi Dieu Ly menerusi gerakan Yuko – menumbuk kepala Marissa.

Marissa bangkit dengan garang dan mendapatkan tiga mata menerusi gerakan Ippon, apabila beliau menendang kepala lawannya.

Sejurus kemudian, Dieu Ly berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi gerakan Waza-ari – tendangan ke badan.

Namun, berbaki tujuh saat, Marissa mempamerkan semangat juang yang tinggi, dengan memenangi dua mata Yuko, sekali gus memastikan kemenangan berpihak pada Singapura.

“Di saat-saat terakhir ialah detik di mana saya rasa sangat tertekan.

“Tetapi ini yang saya sering berlatih dengan jurulatih, untuk kekal tenang walaupun saya sedang mendahului.

“Saya sering berkata pada diri saya ‘perlawanan belum habis, pingat emas belum milik saya...’ itu yang membakar semangat saya,” ujarnya.

Kemenangan itu sekali gus mengakhiri penantian 32 tahun Singapura untuk pingat emas di Sukan SEA, yang kali terakhir dimenangi Neo Ah Suan dalam acara kumite 60 kilogram di Sukan SEA 1993.

Ia juga merupakan pingat pertama yang dibawa pulang Singapura dalam sukan itu sejak Tay Qinyuan memenangi pingat gangsa di acara Kumite 55 kilogram di Sukan SEA 2011.

Kejayaan itu lebih manis apabila Marissa mengatasi kecederaan bahu terkehel pada awal April dan akhir Jun, serta penampilan pertamanya di temasya tersebut.

Turut berada di sampingnya untuk meraikan kejayaan itu ialah kedua ibu dan ayahnya – Rosmawarni Zaman Hafezan dan Siavosh Hafezan.

Sejak Marissa berusia tiga tahun, mereka sudah bermastautin di Paris, Perancis, negara yang Marissa mendapatkan pendedahannya kepada karate.

Bercakap kepada BH, Hafezan berkata:

“Bertanding di Sukan SEA ialah suasana baru untuknya kerana sebelum ini, beliau hanya berlatih dan bertanding di Eropah.

“Hanya dua minggu lalu, beliau dapat benar-benar berlatih untuk Sukan SEA.

“Ia agak tertekan untuknya tetapi Marissa seorang yang akan bekerja keras, dan hari ini membawa keputusan yang baik.”

Rosmawarni turut berbangga dengan puterinya itu sambil berkata:

“Karate ini kehidupan dan impiannya untuk menjadi yang terbaik. Kami sangat bergembira untuknya.”

Atlet karate Singapura, Marissa Hafezan (tengah) bergambar bersama ibu dan ayahnya –Rosmawarni Zaman Hafezan (kanan) dan Siavosh Hafezan.
Atlet karate Singapura, Marissa Hafezan (tengah) bergambar bersama ibu dan ayahnya –Rosmawarni Zaman Hafezan (kanan) dan Siavosh Hafezan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kejayaan Marissa bukan sahaja membanggakan keluarga, malah arena sukan karate di Singapura.

Presiden Karate-Do Union Singapura, Seah Kwang Soon, menambah:

“Kejayaan Marissa boleh menjadi sumber inspirasi kepada skuad latihan negara.

“Malah, semua berasa mereka mampu mencontohi pencapaian ini dan ia memberi mereka keyakinan tambahan untuk menghadapi acara karate lain.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg