Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan SEA: Marissa Hafezan menang pingat emas karate pertama S’pura dalam 3 dekad

Akhiri kemarau pingat karate 14 tahun di Sukan SEA
Dec 12, 2025 | 4:04 PM
Marissa Hafezan (tengah) dipeluk oleh ibunya, Cik Rosmawarni Zaman Hafezan sejurus selepas memenangi pingat emas.
Marissa Hafezan (tengah) dipeluk oleh ibunya, Cik Rosmawarni Zaman Hafezan sejurus selepas memenangi pingat emas. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Hari ketiga Sukan SEA 2025 menyaksikan Team Singapore menambah pungutan pingat mereka.

Ini termasuk sukan yang sudah lama tidak dimenangi atlet negara bagi pingat emas – sehingga tiga dekad – antaranya karate melalui Marissa Hafezan dan senapang patah menerusi Low Jiang Hao.

Beberapa keputusan mengejutkan turut berlaku di renang dan badminton, di mana pemain nombor satu Singapura, Loh Kean Yew, gagal melepasi saingan suku akhir perseorangan lelaki apabila tewas kepada pemain Indonesia, Zaki Ubaidillah.

Marissa, 19 tahun, mengukir sejarah dengan memenangi pingat emas pertama Singapura sejak 1993, selepas beliau menang di final acara Kumite 55 kilogram wanita di Sukan SEA 2025, Thailand.

Ini juga merupakan pingat pertama yang dimenangi pasukan karate negara dalam 14 tahun.

Marissa menumpaskan atlet Vietnam, Nguyen Thi Dieu Ly dalam satu perlawanan sengit di dewan serbaguna Kompleks Kerajaan, Chaeng Watthana pada 12 Disember.

Sebelum itu, beliau membuka tirai kejohanan dengan mudah apabila menewaskan atlet Filipina, Montalvo Maryanne Jenelle, 7-0 di pusingan pertama pada pagi 12 Disember.

Beliau kemudian meneruskan rentak garangnya apabila menewaskan atlet Laos, Sysoubanthong Manyvanh, 8-0, di separuh akhir.

Marissa Hafezan semasa beraksi di gelanggang. Beliau menewaskan peserta Vietnam Nguyen Thi Dieu Ly
Marissa Hafezan semasa beraksi di gelanggang. Beliau menewaskan peserta Vietnam Nguyen Thi Dieu Ly - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kemenangan itu sekaligus mengakhiri penantian 32 tahun Singapura untuk pingat emas di Sukan SEA, yang kali terakhir dimenangi Neo Ah Suan dalam acara Kumite 60 kilogram di Sukan SEA 1993.

Ia juga merupakan pingat pertama yang dibawa pulang Singapura dalam sukan itu sejak Tay Qinyuan, yang memenangi pingat gangsa di acara Kumite 55 kilogram di Sukan SEA 2011.

Sebelum itu di perlawanan pingat gangsa, seorang lagi atlet negara, Chua Sheng Da, gagal menandingi atlet Filipina, Manantan John Matthew di acara Kumite 67 kilogram lelaki di mana beliau tewas 1-2.

Sementara itu, duo renang seni Singapura, Debbie Soh dan Yvette Chong, turut meraih emas pertama dalam acara duet.

Pasangan tersebut mencatatkan keputusan peribadi terbaik, 474.5046, mendahului Voranan Toomchay dan Patrawee Chayawararak dari Thailand (381.8808), serta Hilda Julyandra dan Talitha Subeni dari Indonesia (358.8963).

Team Singapore turut menamatkan kemarau pingat selama 32 tahun di acara senapang patah skeet.

Jiang Hao berjaya meraih 51 mata untuk merangkul emas dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki.

Kali terakhir penembak Singapura menduduki podium teratas dalam acara tersebut ialah pada 1993, apabila Peter Lee memenangi emas dalam acara skeet sasaran terbuka.

Pada malam hari pula, pasukan renang Singapura sekali lagi melalui hari ketiga yang bercampur baur dengan memenangi dua emas dan dua gangsa dalam enam acara.

Ratu renang Singapura, Quah Ting Wen, gagal mempertahankan gelaran 100 meter gaya bebas wanitanya, apabila mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga (55.6 saat).

Sementara itu, walaupun Russel Pang hanya meraih pingat gangsa di acara 1,500 meter gaya bebas, beliau berjaya memecahkan rekod negara dan peribadi dengan masa 15 minit 28 saat.

Rekod sebelum ini dipegang Glen Lim (15 minit 30 saat) di Sukan SEA Filipina pada 2019.

Walaupun menduduki tempat ketiga di acara 1,500 meter, Russel Pang berjaya memecahkan rekod negara dan peribadi dengan masa 15 minit 28 saat.
Walaupun menduduki tempat ketiga di acara 1,500 meter, Russel Pang berjaya memecahkan rekod negara dan peribadi dengan masa 15 minit 28 saat. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ratu gaya bebas, Gan Ching Hwee, kemudian meneruskan dominasinya di acara tersebut dengan memenangi 400 meter gaya bebas wanita dalam masa 4 minit 11 saat.

Renang Singapura mengakhiri malam mereka dengan gemilang selepas memenangi perlumbaan berganti-ganti 4x100 meter medley.

Pasukan yang terdiri daripada Quah Zheng Wen, Chan Chun Ho, Jonathan Tan, dan Mikkel Lee menamatkan saingan dengan masa 3 minit 38 saat.

Sementara itu, gelanggang badminton menyaksikan kejutan selepas pemain nombor satu negara, Kean Yew, tewas kepada pemain Indonesia, Zaki Ubaidillah, di peringkat suku akhir lelaki perseorangan.

Di Gimnasium Hamasat Rangsit, Kean Yew menghadapi kesukaran menentang pemain nombor 48 dunia itu apabila tumpas dalam perlawanan pertama 19-21 serta 10-21 di perlawanan kedua dalam tempoh 46 minit.

Sehingga akhbar dicetak, Singapura sudah memenangi 51 pingat – 15 emas, 16 perak, dan 20 gangsa. Thailand pula menangi 137 pingat (65 emas, 44 perak, 28 gangsa), Vietnam 84 pingat (24 emas, 17 perak, 43 gangsa) dan Indonesia 72 pingat (20 emas, 28 perak, 24 gangsa).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg