RIYADH (Arab Saudi): Francis Ngannou dari Cameroon kembali ke gelanggang seni bela diri campuran (MMA) dengan jayanya apabila beliau menumbangkan Renan Ferreira dari Brazil pada pusingan pertama pertarungan heavyweight mereka dalam acara Liga Pejuang Profesional (PFL) pada 19 Oktober.
Selepas beberapa tendangan awal oleh kedua-dua atlet itu, Ngannou, yang tidak pernah bertarung dalam MMA sejak Januari 2022, membawa perlawanan yang digelar ‘Battle Of The Giants’ (Pertarungan Gergasi) itu ke lantai.
Beliau akhirnya dapat berada di belakang lawannya yang berasal dari Brazil, dan melepaskan satu siri tumbukan yang menamatkan pertarungan dengan baki 88 saat dalam pusingan pertama.
Ngannou sambil menangis kemudian menujukan kemenangannya kepada anak lelakinya, Kobe, yang meninggal dunia pada usia 15 bulan pada April.
Difahamkan bahawa Kobe meninggal akibat masalah di otak.
Kemenangan Ngannou ke atas Ferreira begitu emosi buat Ngannou, 38 tahun.
Ia kemenangan kelas heavyweight PFL Super Fights pertama beliau.
“Saya hanya melakukan pertarungan ini kerana dia (Kobe). Saya mahu bertarung untuknya… Saya harap mereka boleh ingat namanya, kerana tanpa Kobe, kami tidak akan berada di sini malam ini,” katanya dalam satu temu bual selepas pertarungan dalam gelanggang.
“Ia memang sukar. Bukan kem latihan sahaja, malah apa yang saya lalui beberapa hari lalu penuh dengan emosi.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa tanpa memikirkannya. Saya cuba menjadi kuat dan memberikan segala-galanya untuk terus bergerak tetapi ia adalah sukar,” ujarnya.
Dalam satu sidang media selepas pertarungan itu, Ngannou akur yang beliau menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada pertarungan tersebut akibat kesedihan yang dialami.
“Saya pernah fikir yang saya lasak dan kemudian saya mendapati yang saya tidak begitu.
“Kehidupan boleh membawa kita ke laluan berbeza dan kemudian ia menjejas anda dengan teruk, dari hadapan.
“Dan kemudian sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan berlaku ke atas diri saya. Agak sukar untuk beri tumpuan semasa dalam pertarungan.
“Memang sukar sejak dari mula lagi. Anda fikir ia tidak akan berakhir, tapi anda perlu teruskan kehidupan juga.
“Mungkin saya akan mengambil masa lama untuk bersedih, tapi untuk berapa lama lagi? Apa yang penting sekarang ialah meneruskan kehidupan – kehidupan yang baru,” tambah Ngannou.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi kerana memberi beliau peluang bertarung di pentas besar itu.
Acara itu berbeza daripada format biasa PFL, iaitu satu musim biasa dan playoff, dengan mengadakan satu siri “pertarungan hebat” yang mempertaruhkan tali pinggang kejuaraan sedang Ngannou kembali semula ke sukan yang menaikkan namanya, selepas beliau menceburi dunia tinju.
Kebangkitan Ngannou daripada kemiskinan zaman kanak-kanak di Cameroon hingga ke puncak MMA, apabila beliau memenangi gelaran heavyweight Ultimate Fighting Championship (UFC) pada Mac 2021, menjadikan beliau sangat popular dan salah seorang ejen bebas yang paling dicari dalam sukan itu apabila kontrak UFC-nya tamat.
Beliau kemudian mengambil bahagian dalam perlawanan tinju yang menyediakan ganjaran mewah menentang peninju kelas berat, Tyson Fury dan Anthony Joshua, dan tewas dalam kedua-dua pertarungan itu.
Apabila Ngannou menyertai PFL, ia adalah satu kemenangan besar bagi PFL dalam persaingannya dengan UFC untuk mendapatkannya.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan dalam acara sama, Cris Cyborg menjadi juara kelas featherweight wanita PFL Super Fights selepas mengalahkan Larissa Pacheco.
“Saya rasa amat gembira memenangi tali pinggang kejuaraan PFL ini.
“Bagi saya, ia pertarungan bersejarah buat saya di Arab Saudi. Terima kasih Arab Saudi. Saya rasa amat gembira berada di sini,” kata Cyborg.
Selain itu, Fabian Edwards dari Birmingham dikalahkan Johnny Eblen, yang berjaya mengekalkan gelaran kelas middleweight Bellator, manakala Zafar Mohsen menewaskan Husein Kadimagomaev dalam kelas featherweight.
Paul Hughes pula memperoleh kemenangan terbesar dalam kerjayanya apabila beliau mengalahkan AJ McKee dalam kelas lightweight.
Sedang populariti MMA terus berkembang di Arab Saudi, acara itu adalah yang terbaru daripada enam acara PFL yang diadakan di negara itu pada 2024, tiga daripadanya merupakan sesi berbayar bagi setiap tontonan.
Acara itu menekankan peranan Arab Saudi yang semakin berkembang sebagai hab pertandingan MMA antarabangsa utama, perkongsian yang didorong oleh PFL dan Persekutuan Seni Bela Diri Campuran Arab Saudi.
Pada 2024 sahaja, penyertaan dalam MMA telah meningkat 21 peratus di Arab Saudi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg