ABU DHABI: Namanya pernah disebut-sebut bagi banyak pertarungan besar dalam gelanggang seni bela diri campuran (MMA).
Tetapi perjalanan, atlet MMA dari Russia, Khamzat ‘Borz’ Chimaev, dalam syarikat Ultimate Fighting Championship (UFC) tidak begitu lancar seperti yang diinginkannya.
Walaupun berusia 30 tahun pada Mei – dan masih agak muda dalam MMA – ada segelintir yang berpendapat Chimaev telah mensia-siakan beberapa tahun semasa kemuncaknya kerana atlet belum pernah kalah itu tidak bersaing secara kerap seperti yang diingininya.
Dengan rekod 14 kemenangan tanpa sebarang kekalahan, Chimaev membuat penampilan UFC pada 2020 dengan menentang pesaing dari Wales, John Phillips.
Selepas meraih kemenangan dalam pusingan kedua, Chimaev meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga presiden UFC, Dana White, supaya mengaturkan pertarungan segera baginya.
Hasratnya dipenuhi seminggu berikutnya.
Sekitar 10 hari kemudian, beliau kembali ke gelanggang UFC dan menewaskan seorang lagi pencabar dari Ireland, Rhys McKee, memenanginya melalui kalah mati teknikal (TKO) dalam pusingan pertama.
Pada masa itu, syarikat UFC tahu mereka mempunyai bintang yang terus bersinar.
Chimaev menyusul dengan kemenangan selanjutnya ke atas pesaing lain termasuk Gerald Meerschaert dari Amerika Syarikat dan Li Jingliang dari China sebelum beliau mendapat ujian paling sukar dalam kerjayanya menentang Gilbert Burns dari Brazil pada 2022.
Dalam perlawanan kelas ‘welter’ atau sederhana berat badan itu, Chimaev mencatat kemenangan hasil keputusan juri sebulat suara.
Namun sejak itu, beliau hanya bertarung dalam gelanggang sebanyak tiga kali – menewaskan Kevin Holland dari Amerika dalam pertarungan ‘catchweight’ atau kategori tanpa had berat badan, bersama atlet dari Nigeria-Amerika, Kamaru Usman, di Abu Dhabi pada 22 Oktober, dan yang terkini menundukkan pesaing Australia, Robert Whittaker menerusi TKO pada 27 Oktober.
Berikut tiga perkara yang menjejas Chimaev sepanjang kerjaya.
Pada awal 2024, terdapat laporan bahawa Chimaev didakwa tidak dapat memasuki Amerika Syarikat – sebahagian besarnya disebabkan kaitannya dengan pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov.
Pada 2023, salah seorang jurulatih Chimaev mendedahkan beliau menghadapi masalah visa kerana kewarganegaraan Chechnya dan pasport Russia – yang mungkin menjadi sebab utama beliau memutuskan untuk meninggalkan Sweden dan berhijrah ke Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 2020, difahamkan Kadyrov telah dikenakan sekatan kerana “penglibatannya dalam pencabulan hak asasi manusia”.
Sokongan berterusan Chimaev terhadap Kadyrov mungkin membayangkan beliau tidak akan dibenarkan bertanding di Amerika dalam masa terdekat.
Difahamkan bintang UFC itu berlatih bersama pemimpin Cechnya itu, dan juga melatih anak lelaki pemimpin itu.
Selama bertahun lamanya, bintang yang tidak pernah tewas itu telah bertarung dengan beberapa masalah kesihatan serta kecederaan semasa kerjayanya di UFC.
Beliau bersara pada 2021 kerana komplikasi paru-paru selepas bertarung dengan Covid-19.
Namun persaraannya tidak lama kerana beliau kemudian kembali ke gelanggang pada akhir 2021 untuk menumpaskan Li hanya dalam satu pusingan.
Bekas juara ‘welterweight’ Leon Edwards dari England telah dijadual untuk menentang Chimaev lebih tiga tahun lalu.
Namun, pertarungan mereka dibatalkan pada tiga kesempatan berasingan selepas mereka berdua menghadapi isu dengan jangkitan Covid-19.
Sejak menandatangani kontrak dengan UFC pada 2020, Chimaev telah menyaksikan enam pembatalan pertarungan melibatkannya.
Salah satu daripadanya adalah pertarungannya dengan Whittaker yang sepatutnya dijadualkan pada Jun lalu selepas Chimaev jatuh sakit, tapi kemudian ditangguhkan sehingga 27 Oktober.
“Kami sentiasa merancang sesuatu tetapi Allah mempunyai rancangannya sendiri untuk kami,” tulis Chimaev dalam satu kenyataan ringkas.
Enam tahun lalu, Chimaev dilaporkan meluangkan selama lapan jam di sebuah penjara Ireland selepas beliau ke negara itu untuk bersemuka dengan pesaing, Conor McGregor.
“Ya saya telah ke Ireland dan menunggunya di lapangan terbang.
“Mula-mula, mereka menghalang saya untuk seketika, dan kemudian mereka menyuruh saya pergi.
“Apabila saya hendak keluar dari lapangan terbang, mereka menghalang saya lagi.
“Pada masa itu, ada lelaki berpakaian seragam, dan memberitahu saya ‘anda tidak boleh pergi ke mana-mana’.
“Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan pada masa itu, bahasa Inggeris saya amat teruk dan kini ia masih kurang baik... Mereka menghantar saya ke balai polis dan menahan saya selama lapan jam.
“Tiada apa-apa soal siasat langsung. Saya hanya ditahan dalam lokap.
“Saya menunggu mungkin lapan atau sembilan jam. Saya melakukan tekan tubi dan senaman lain.
“Kemudian selepas beberapa ketika, mereka memberitahu saya, ‘Anda perlu kembali ke Sweden’.”
Tidak jelas mengapa Chimaev tidak dibenarkan berada lebih jauh dari lapangan terbang Dublin. – Agensi berita.
“
Ya saya telah ke Ireland dan menunggunya (pesaing dari Ireland, Conor McGregor) di lapangan terbang. Mula-mula, mereka menghalang saya untuk seketika, dan kemudian mereka menyuruh saya pergi. Apabila saya hendak keluar dari lapangan terbang, mereka menghalang saya lagi. Pada masa itu, ada lelaki berpakaian seragam, dan memberitahu saya ‘anda tidak boleh pergi ke mana-mana’. Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan pada masa itu, bahasa Inggeris saya amat teruk dan kini ia masih kurang baik... Mereka menghantar saya ke balai polis dan menahan saya selama lapan jam.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg