Atlet seni bela diri campuran (MMA), Tiffany Teo, memenangi pingat emas pertama Singapura di Sukan Asia selepas meraih kemenangan dalam pertandingan akhir kategori tradisional wanita 60 kilogram (kg) pada 22 September.

Teo, 36 tahun, berjaya menewaskan Khilola Sobirova dari Uzbekistan, sekali gus melengkapkan kempen penampilan sulung yang gemilang di Sukan Asia di Pusat Sukan Inae Bandar Raya Nagoya.

Ia juga merupakan kejayaan manis bagi atlet Singapura itu, yang akhirnya berjaya menewaskan lawan yang pernah mengalahkannya pada Mei lalu dalam perlawanan akhir Kejohanan Seni Bela Diri Campuran Asia 2026.

Kejayaan meraih pingat emas oleh Teo di Aichi-Nagoya menandakan permulaan aksi hari ketiga Sukan Asia.

Sehingga kini, kutipan pingat kontinjen Singapura yang dianggotai 304 atlet itu merangkumi pingat perak bersejarah acara 1,500m gaya bebas yang dimenangi Gan Ching Hwee serta pingat gangsa daripada atlet wushu Zeanne Law dalam acara taijiquan-taijijian wanita.