Atlet seni bela diri campuran (MMA) Singapura, Tiffany Teo, memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Asia selepas menjuarai final kategori tradisional 60 kilogram (kg) wanita pada 22 September.

Di Nagoya City Inae Sports Centre, Teo menewaskan Khilola Sobirova dari Uzbekistan untuk melengkapkan kempen sulungnya yang cemerlang di Sukan Asia.

Kemenangan itu turut menebus kekalahan Teo kepada lawan sama dalam final Kejohanan Seni Bela Diri Campuran Asia (AMMAC) 2026 pada Mei.

Selepas kemenangan itu, Teo mengalirkan air mata sebelum suaminya yang juga jurulatihnya, Sim Kai Xiong, mengangkatnya ke atas bahu.

Kemenangannya itu dicapai pada masa tambahan selepas kededua atlet masing-masing memenangi satu pusingan.

Tidak lama selepas perlawanan itu, Teo, yang mempunyai kesan darah pada pakaiannya, memberitahu wartawan bahawa beliau “benar-benar berasa sangat terharu”.

“Saya tidak pernah menangis selepas sesuatu pertarungan. Jadi, mewakili Singapura di Sukan Asia memberikan tekanan tambahan yang besar, dan saya meletakkan harapan tinggi terhadap diri sendiri.

“Apabila segala-galanya memuncak pada saat itu, perasaan saya benar-benar meluap-luap. Walaupun saya mengalirkan air mata, ia adalah air mata kegembiraan,” ujar Teo.

Kemenangan itu menghadiahkan Singapura pingat pertama dalam MMA, yang julung kali dipertandingkan di Sukan Asia.

Atlet MMA itu berharap kemenangannya akan meningkatkan lagi perhatian terhadap sukan tersebut di Singapura.

“Salah satu sebab utama saya memutuskan untuk bertanding dalam Sukan Asia adalah untuk membantu mengembangkan sukan ini. Usia saya semakin meningkat.

“Saya mungkin hanya mempunyai beberapa tahun lagi untuk terus bersaing secara kompetitif.

“Saya telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih sedekad dan menganggap diri saya sebagai perintis sukan MMA, namun agak menyedihkan melihat sukan ini tidak begitu mendapat sambutan sejak kebelakangan ini,” kata Teo.

Sebelum ini, selepas mara ke separuh akhir, Teo sudah terjamin sekurang-kurangnya pingat gangsa kerana kededua atlet yang tewas pada peringkat itu menerima gangsa bersama.

Namun, kemenangan Teo ke atas Suchika Tariyal dari India dalam separuh akhir pada 21 September bukanlah mudah.

Kedudukan kededua atlet seri selepas dua pusingan pertama sebelum Teo menang pusingan masa tambahan menerusi keputusan pengadil. Namun, Suchika dan pasukannya mencabar keputusan itu.

Mengikut peraturan, rakaman video pusingan masa tambahan diteliti semula oleh barisan pengadil berbeza, yang kemudian membatalkan kemenangan Teo dan memutuskan perlawanan seri.

Pemutus seri berdasarkan berat badan kemudian digunakan mengikut peraturan Persatuan Seni Bela Diri Campuran Asia (AMMA).

Teo akhirnya diumumkan sebagai pemenang kerana lebih ringan ketika sesi timbang berat sebelah pagi, iaitu 58.8kg berbanding 59.85kg bagi lawannya.

Teo, yang membuat penampilan sulung MMA profesional pada 2016, melalui perjalanan panjang sebelum meraih kemenangan bersejarah di Nagoya.

Atlet bertubuh kurus itu mencatat lapan kemenangan dan dua kekalahan dalam pertarungan bersama pertubuhan MMA, One Championship, dari 2016 hingga 2022.

Beliau kemudian tidak beraksi selama hampir tiga tahun sebelum kembali bertanding pada Jun 2025 bersama organisasi MMA China, JCK MMA.

Pingat emas Teo di Aichi-Nagoya membuka hari ketiga pertandingan Sukan Asia.

Dalam pasukan Singapura yang terdiri daripada 304 atlet, perenang Gan Ching Hwee meraih perak bersejarah dalam acara 1,500 meter (m) gaya bebas, manakala atlet wushu Zeanne Law memenangi gangsa dalam acara taijiquan-taijijian wanita.

Pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou, Singapura memenangi 16 pingat, iaitu tiga emas, enam perak dan tujuh gangsa.