KUALA LUMPUR: Bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov, membuka pintu kem latihan terkenalnya di Dagestan kepada atlet muay thai remaja Malaysia, Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar, dengan menawarkannya peluang keemasan mengasah kemahirannya di bawah jurulatih terbaik.
Khabib, yang kagum akan bakat anak muda kelahiran Sarawak itu, bukan sahaja memuji Johan sebagai seorang yang berbakat, malah menyokong rancangannya beralih daripada muay thai kepada seni bela diri campuran (MMA).
“Saya tahu beliau masih muda dan seorang atlet yang sangat bagus. Saya doakan yang terbaik buat beliau. Johan memberitahu saya beliau mahu berpindah ke sukan MMA pada masa depan, selepas menamatkan sukannnya (muay thai) pada masa ini.
“Jika beliau mahu beraksi dalam MMA, beliau sentiasa dialu-alukan untuk berlatih bersama kami di Dagestan untuk meningkatkan prestasi gustinya. Kehadirannya sentiasa dialu-alukan,” kata Khabib kepada media pada satu sidang media baru-baru ini.
Pada 6 September, Johan menumbangkan Josue Cruz dari Mexico dalam pusingan pertama pertandingan ONE 168: Denver.
Johan, 17 tahun dan lebih dikenali sebagai Jojo, menewaskan Cruz di Arena Bali di Amerika Syarikat dengan tumbukan tangan kirinya pada saat-saat akhir pusingan itu bagi pertandingan kategori Catchweight 64 kilogram.
Meskipun beliau sendiri dibelasah, Johan tidak berputus asa.
Selepas perlawanan itu Johan berkata: “Lawan saya melepaskan beberapa tumbukan baik. Saya sendiri berdarah di hidung, namun saya terus mara. Saya tidak berputus asa.”
Johan mendedahkan dalam catatan Facebook bahawa tangannya patah sebelum pertarungan itu.
“Ini tangan Jojo yang cedera sebelum pertarungan. Saya hampir menarik diri, tapi alhamdulillah, Tuhan beri saya kekuatan,” ujarnya.
Johan mendapat AS$50,000 ($65,165) daripada ONE Championship sebagai hadiah kemenangannya itu.
Sementara itu, Khabib berkata untuk melahirkan juara MMA bertaraf dunia, Malaysia perlu membina asas kukuh melalui jurulatih berpengalaman dan sistem latihan mantap, sekali gus mencerminkan kejayaan Team Khabib di Dagestan.
“Saya menjejaki MMA di seluruh dunia dan saya sedar atlet dan pejuang muay thai yang anda ada di sini. Dan Malaysia memerlukan lebih ramai jurulatih berkelayakan dan rangka kerja kukuh untuk memupuk bakat MMA terbaik.
“Di Dagestan, kami mempunyai sistem hebat dengan jurulatih berkemahiran tinggi, dan kami telah melahirkan juara dalam pelbagai sukan tempur. Untuk membangunkan pejuang peringkat teratas, anda perlu membina sistem kukuh dengan kedua-duanya, pejuang bagus dan jurulatih cemerlang,” katanya.
Baru-baru ini Johan berpeluang bertemu Khabib, yang bergelar ‘Helang’, dan mendapat beberapa panduan berharga mengenai MMA semasa satu sesi latihan.
Johan, yang memenangi enam daripada tujuh perlawanannya, termasuk lima knockout dalam One Championship, menyifatkan Khabib sebagai seseorang yang luar biasa dengan aura yang meninggalkan kesan ke atas sesiapa sahaja yang menemuinya.
Pejuang yang hanya tewas sekali, kepada atlet Vietnam Nguyen Tran Duy Nhat pada Jun, berkata latihannya bersama Khabib ringkas namun ia satu pengalaman di luar dugaan.
Meskipun daripada disiplin kombat dan aksi berbeza, Johan percaya teknik Khabib, 36 tahun, akan membantunya mengubah strategi perlawanannya.
“Berlatih dengan beliau merupakan satu pengalaman positif,” kata Johan dalam media sosialnya.
Khabib adalah seorang atlet UFC yang belum pernah kalah, dengan rekod 29 kali menang, dan bersara sebelum namanya tertera dalam Dewan Kemasyhuran UFC pada 2022.
Beliau bersara pada 2020 selepas mengalahkan Justin Gaethje di UFC 254 di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Khabib, yang lahir di Dagestan, mengunjungi Malaysia bagi acara ‘Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024’ baru-baru ini.
Semasa di Malaysia, Khabib juga bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg