Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet Muay Thai satu tangan tetap cemerlang dalam gelanggang

Jake Peacock menang 11 pertarungan dan kalah hanya sekali dalam 12 pertandingan
Jan 27, 2025 | 5:30 AM
Jake Peacock ialah anak bekas pemain bola sepak kelab Newcastle dan Chelsea pada 1990-an, Gavin Peacock. Walapunpun pernah bermain bola sepak seperti ayahnya, Jake lebih tertarik kepada sukan mempertahankan diri – bermula dengan karate.
Jake Peacock ialah anak bekas pemain bola sepak kelab Newcastle dan Chelsea pada 1990-an, Gavin Peacock. Walapunpun pernah bermain bola sepak seperti ayahnya, Jake lebih tertarik kepada sukan mempertahankan diri – bermula dengan karate. - Foto FACEBOOK JAKE PEACOCK

CALGARY (Canada): Pada usia 19 tahun, Jake Peacock, hampir mengambil keputusan untuk tidak bertanding lagi dalam sukan yang diminatinya sejak bertahun lamanya iaitu seni mempertahankan diri, Muay Thai.

Keputusan itu dibuat meskipun Jake sudah memilih jalan untuk menjadi atlet mempertahankan diri sejak dulu lagi.

Jake dari Canada merupakan atlet yang dilahirkan tanpa lengan bawah. Tangan kanannya cacat berbanding tangan kiri.

Ternyata hal itu bukan penghalang bagi atlet seni mempertahankan diri itu untuk memenangi 11 pertarungan dan kalah hanya sekali dalam 12 pertandingan yang melibatkannya.

Bagaimanapun, beliau hampir ‘menggantung’ sarung tangan sukannya itu buat selamanya.

“Saya amat marah, amat marah pada sesiapa yang merenung atau memberi komen, dan mempersendakan saya.

“Akibatnya ia mula menjejas identiti saya sebagai seorang atlet seni mempertahankan diri sepanjang masa remaja saya. Padahal ketika itu saya cuba menerapkan identiti sebagai juara,” katanya.

Tekanan yang dialaminya sebagai atlet seni mempertahankan diri begitu hebat dan seolah-olah menghapuskan kegembiraan yang dirasakannya semasa berlatih.

Akhirnya, beliau menarik diri dan tidak bertanding bagi tempoh dua tahun.

“Sudah cukup rasanya dan saya benar-benar menarik diri.

“Saya tidak masuk ke gimnasium, saya tidak latih sesiapa, dan saya tidak melatih diri saya sendiri.

“Masa itu saya berusia mungkin antara 19 dengan 20 tahun dan selama dua tahun, saya tidak sertai sukan tempur itu,” singkap Jake.

Namun, beberapa tahun kemudian, beliau kembali beraksi.

Jake membuka sebuah gimnasium, melatih sesiapa sahaja yang berminat seperti yang pernah dilakukannya beberapa tahun sebelum itu.

Pada 2019, Jake kembali ke gelanggang untuk pertarungan pertamanya sekembalinya ke sukan itu.

Lebih hebat lagi, Jake bertarung secara profesional.

Apakah yang membuat beliau kembali semula ke sukan itu?

“Saya mula sedar yang saya menanam rasa marah ini, saya mempunyai isu dengan tangan saya dan lain-lain perkara, dan saya tidak letakkan kepercayaan kepada perkara yang betul.

“Tidak kira apa jua agama anda, tiada siapa yang bertarung tanpa rasa marah.

“Tapi pucuk pangkalnya, seni mempertahankan diri adalah seni dan kami hanya mempamerkan seni tersebut,” katanya.

Beliau menambah sukan Muay Thai merupakan sejenis sukan yang amat menghormati pesaingnya.

“Tiada rasa dendam, tiada perkara yang memburukkan.

“Ia hanya sukan dan ia satu seni yang kami (atlet) cuba pamerkan,” ujarnya lagi yang lahir dan dibesarkan di England.

Pada 20 Februari, Jake, 31 tahun, bakal menentang pencabar dari Jepun, Shinji Suzuki, di Arena Sukan Lusail di Qatar.

Jake kini bertanding di bawah syarikat promosi, One Championship, dan tiada yang menghalangnya dalam mengejar apa yang diinginkannya.

Malah sejak kecil beliau tidak menjadikan tangannya itu sebagai hambatan untuk menceburi apa jua yang diimpikannya.

Anak kepada bekas pemain bola sepak kelab Newcastle dan Chelsea pada 1990-an, Gavin Peacock itu juga pernah bermain sukan bola sepak seperti ayahnya.

Namun, Jake lebih tertarik kepada sukan mempertahankan diri – bermula dengan karate.

Malah, datuknya, Keith Peacock, juga merupakan legenda bola sepak dengan pasukan Charlton Athletic.

Difahamkan Jake telah menyertai sukan seni mempertahankan diri kerana ingin mempertahankan dirinya sendiri daripada dibuli.

Namun prestasinya yang luar biasa menjadikannya seorang atlet yang dihormati semasa beliau dan keluarganya berpindah ke Calgary, Canada.

Ketika itu Jake baru berusia 15 tahun.

Beliau terus menunjukkan keupayaannya dan mendapat perhatian apabila beliau menyertai Muay Thai di Canada.

Pada 5 April beliau menewaskan pesaingnya, Kohei Shinjo, dari Jepun, hasil tendangan dan pukulan tangan kirinya yang amat kuat.

“Saya tidak pernah letakkan sebarang perbezaan (ke atas diri sendiri) dengan pihak lawan.

“Saya tidak pernah letakkan had pada diri saya dan saya tidak ragu-ragu dengan keupayaan saya,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg