Daripada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang penuh rasa ingin tahu, Tara Alayna Weilin Muhammad Khalid, kini menumpukan perhatian ke pentas antarabangsa setelah menempa nama sebagai atlet BMX nasional.
“Saya selalu berbasikal di kawasan Tampines. Bila ternampak orang mengayuh BMX, saya sangat teruja.
“Sebagai seorang kanak-kanak berusia enam tahun ketika itu, saya tidak pernah lihat aksi seperti itu... mereka lakukan pelbagai aksi yang sangat hebat dan berani,” kata atlet BMX yang kini berusia 17 tahun itu.
Setelah bertahun menjalani latihan tanpa trek BMX khas di Singapura, beliau berharap peluang bertanding di luar negara dapat mengasah lagi kemahiran dan daya saingannya.
Tara kini berhasrat menyertai siri Piala Dunia BMX pada masa depan, yang dilihat sebagai peluang menebus kekurangan masa latihan di trek tempatan.
Beliau merupakan antara 346 atlet-pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim pada 1 Ogos di Politeknik Temasek.
Atlet-pelajar BMX itu antara 99 atlet yang menerima biasiswa di bawah kategori Prestasi Tinggi Bawah 18 Tahun.
Dalam acara tersebut, sebanyak $1 juta telah diagihkan dalam bentuk biasiswa.
Sejak ia diperkenal 15 tahun lalu, program tersebut telah menyalurkan lebih 5,000 biasiswa dengan jumlah keseluruhan melebihi $12 juta, bagi menyokong pembangunan atlet-pelajar Singapura.
Presiden Yayasan Olimpik Antarabangsa, Encik Ng Ser Miang, melahirkan rasa bangganya terhadap ketekunan atlet-pelajar Singapura semasa acara tersebut.
“Ramai daripada anda membahagikan masa antara pelajaran, latihan dan pertandingan dengan penuh ketabahan.
“Anda lalui hari-hari yang panjang, menempuh cabaran dan melakukan pelbagai pengorbanan demi mencapai impian yang masih jauh di hadapan.
“Dan semua ini anda lakukan dengan rendah hati, keberanian dan cinta mendalam terhadap sukan,” katanya.
Cabaran mengimbangi pelajaran juga tidak asing bagi Tara, pelajar di Sekolah Sukan Singapura, yang menyifatkan jadualnya sebagai sangat padat.
Setiap hari bermula awal bagi dirinya, dan apabila pulang lewat, beliau perlu memberi tumpuan pula pada kerja sekolah dan ulang kaji pelajaran.
“Melalui jadual seperti ini kian lama tidak menjadi lebih mudah bagi saya, tetapi saya sudah terbiasa.
“Mujur saya suka rutin ini kerana ia beri saya struktur dan rasa bersedia untuk apa yang akan datang,” kata Tara.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, yang memberikan kata-kata perangsang kepada para atlet pelajar muda.
“Saya harap anda akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan menjadi inspirasi kepada masyarakat dengan usaha serta keazaman anda,” ujarnya.
Bagi Tara, menjadi sumber inspirasi adalah sebahagian daripada misinya.
Beliau kini dalam proses mendapatkan lesen kejurulatihan dan berhasrat menyumbang kembali kepada masyarakat BMX.
Di samping itu, beliau turut berharap lebih ramai akan turun ke satu-satunya trek BMX – apabila ia sudah dibina nanti – The Bricks yang akan terletak di Choa Chu Kang dan dijangka dibuka pada hujung 2025.
Trek tersebut juga dijangka memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan berbasikal menjelang Sukan SEA 2029 yang akan berlangsung di Singapura.
Tara juga bersedia memberi nasihat kepada sesiapa sahaja yang ingin menceburi sukan BMX.
“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Anda tidak perlu masuk ke dunia sukan dengan niat untuk ke Olimpik atau Sukan SEA terus.
“Mulakan sebagai hobi, dan nikmatilah prosesnya. Jangan terlalu fokus pada keputusan... yang penting adalah pengalaman yang dilalui,” pesan Tara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg