Di Sukan SEA kali ini, sekitar 60 peratus atlet negara membuat penampilan sulung mereka – dengan usia purata sekitar 21 tahun – dan separuh daripada mereka berjaya membawa pulang pingat.
Dengan jumlah 202 pingat yang dimenangi atlet Singapura di Sukan SEA ke-33 di Thailand, ia merupakan isyarat bahawa atlet muda sudah bersedia untuk mengambil alih daripada atlet senior, melambangkan masa depan yang cerah bagi sukan Singapura.
Ia juga merupakan Sukan SEA yang menampilkan gabungan potensi luar biasa atlet muda dan kecemerlangan atlet berpengalaman.
Hal ini, antara lain, dikongsikan oleh ketua pentadbir sukan tempatan semasa sidang media menilai prestasi keseluruhan Team Singapore di Sukan SEA Thailand ini yang diadakan di Hotel Grand Fourwings Convention, Bangkok, pada 20 Disember.
Bercakap kepada wartawan di sidang media itu, chef-de-mission, Lawrence Leow, berkata:
“Jumlah 202 pingat yang dimenangi oleh atlet dan atlet muda jelas petanda positif buat Singapura... prestasi mereka sangat memberangsangkan.
“Saya percaya ia menandakan bahawa atlet muda kita sudah bersedia untuk mengambil alih peranan daripada atlet senior.
“Ia seolah-olah satu proses peralihan generasi yang sedang berlaku.”
Turut berada di sidang media itu ialah Ketua Institut Sukan Berprestasi Tinggi, Dr Su Chun Wei; dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Mark Chay.
Dr Su turut menggariskan beberapa atlet muda yang mempamerkan persembahan cemerlang antaranya atlet sukan layar Anya Zahedi, dan atlet renang, Julia Yeo.
“Kejayaan atlet muda membawa pulang pingat menjadi asas kepada kejayaan sukan masa depan kita, terutamanya ketika Singapura bersiap sedia untuk temasya Sukan SEA 2029 yang bakal diadakan di negara sendiri.
“Kita mahu menyaksikan prestasi luar biasa daripada Team Singapore.
“Sukan SEA ini memberikan pendedahan yang amat berharga kepada atlet-atlet muda ini, sekali gus membina asas bagi kejayaan masa depan,” ujar beliau.
Sementara itu, terdapat beberapa atlet muda 20 tahun dan ke bawah yang bersinar di temasya ini.
Antaranya atlet silat, Dhani Andika Razali (20 tahun); atlet karate, Marissa Hafezan (19 tahun); atlet lawan pedang, Elle Koh (18 tahun); atlet tenis meja, Izaac Quek (18 tahun); atlet renang, Julia Yeo (14 tahun); pasangan adik beradik sukan layar, Nia Zahedi (16 tahun) dan Anya Zahedi (12 tahun).
Selain itu, beberapa rekod juga terhasil di temasya kali ini.
Marissa meraih pingat emas pertama Singapura menerusi acara kumite dalam tiga dekad.
Atlet wushu, Siti Khadijah Mohamad Shahrem, 24 tahun, juga meraih pingat pertama dalam acara wushu sanda wanita, memenangi pingat gangsa.
Pasukan bola keranjang 3x3 lelaki meraih pingat perak pertama Singapura dalam temasya Sukan SEA.
Atlet 400 meter lumba lompat pagar, Calvin Quek, 29 tahun, dan atlet terjun cantik, Avvir Tham, 21 tahun, turut memenangi pingat emas buat kali pertama dalam 60 tahun bagi acara masing-masing.
Ratu pecut negara, Shanti Pereira, 29 tahun, juga mengukir sejarah dengan menjadi wanita Singapura pertama mengekalkan gelaran 100m dan 200m.
Atlet renang, Gan Ching Hwee, 22 tahun, pula memenangi acara 200m, 400m, 800m gaya bebas buat kali ketiga berturut-turut.
Rakan sepasukannya, Letitia Sim, 22 tahun, pula menamatkan temasya ini sebagai atlet paling banyak memenangi pingat bagi Singapura, dengan lima emas dan lima rekod temasya.
“Sepanjang beberapa minggu lalu, kami telah menyaksikan banyak detik dan persembahan yang menginspirasikan yang benar-benar mencerminkan dedikasi, ketahanan dan potensi besar atlet-atlet kita.
“Selain daripada kejayaan-kejayaan ini, terdapat juga pengajaran yang amat bernilai.
“Detik-detik mengimbas ini penting bagi kita meneruskan usaha bersama untuk meningkatkan piawai dalam seluruh ekosistem sukan kita,” kata Chay.
Walau demikian, Chay turut menekankan bahawa olahraga perlu tampil menunjukkan kemampuan mereka untuk menyumbang pungutan pingat yang lebih besar.
Menggariskan olahraga dan renang sebagai dua sukan utama di setiap temasya, Chay berkata:
“Pingat emas dan beberapa pingat lain yang dimenangi atlet olahraga (di Sukan SEA ini) memang harus dipuji, saya tidak menafikan pencapaian mereka.
“Tetapi jika kita benar-benar ingin memburu emas dan meningkatkan pungutan pingat, olahraga perlu ‘turut sama beraksi’.
“Olahraga merupakan sukan utama yang ada di setiap temasya, termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia, jadi kita perlu melahirkan lebih ramai atlet (olahraga) bertaraf dunia.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg