Sukan SEA ke-33 melabuhkan tirainya pada 20 Disember, dengan perarakan penuh cahaya yang mewarnai malam di Bangkok, Thailand.
Team Singapore turut meraikan upacara tutup tirai di negara seribu senyuman itu dengan kegembiraan dicampur sedikit kerisauan.
Mereka melalui kempen ketiga terbaik di Sukan SEA luar negara dengan meraih 202 pingat – 52 emas, 61 perak dan 89 gangsa.
Walaupun mereka menghantar kontinjen terbesar mereka dalam sejarah Sukan SEA kali ini – 926 atlet, dengan 60 peratus daripadanya merupakan penampilan sulung – ketua pentadbir sukan tempatan mengakui wujud persaingan serantau yang semakin sengit.
Terdapat keperluan untuk memperbaik prestasi menjelang edisi 2029 yang akan diadakan di Singapura, tambah mereka.
Dalam sidang media bagi merumuskan prestasi Team Singapore di Sukan SEA Thailand yang diadakan di Hotel Grand Fourwings Convention pada 20 Disember, mereka turut menekankan dua sukan yang gagal memberikan prestasi memuaskan, iaitu badminton dan bola sepak.
Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) menyifatkan prestasi Singa Muda amat mengecewakan, walaupun mereka sudah diberi peluang kedua untuk membuktikan keupayaan.
“Saya tidak akan mengatakan terdapat sebarang penyesalan (menurunkan mereka di Sukan SEA) kerana kami perlu memberi peluang kepada atlet untuk menyerlah.
“Namun, amat dikesali apabila atlet tidak dapat memanfaatkan peluang tersebut, dan keputusan yang terhasil mencerminkan keadaan itu,” kata Setiausaha Agung SNOC, Mark Chay.
Singa Muda gagal meraih sebarang kemenangan di Sukan SEA ini selepas tewas kepada Timor-Leste dan Thailand.
Mengulas mengenai kempen Sukan SEA kali ini, Ketua Institut Sukan Berprestasi Tinggi, Dr Su Chun Wei, berkata:
“Banyak sukan yang secara tradisinya kita cemerlang, terutamanya di peringkat Sukan Asia dan Olimpik, kini menghadapi persaingan yang sangat sengit di rantau ini.
“Ia tidak lagi mudah untuk memenangi pingat emas dan memecahkan rekod baru dalam Sukan SEA bagi kebanyakan sukan ini.”
Dr Su – yang turut ditemani chef-de-mission, Lawrence Leow dan Chay di sidang media itu – menambah:
“Namun, ia menandakan bahawa kita akan terus melabur dalam atlet muda, dengan mempercayai struktur dan proses sistemik kita untuk membangunkan bakat baru sejak awal dan memastikan mereka kekal kompetitif untuk jangka masa panjang.
“Justeru, kita mempunyai visi bahawa masa depan sukan negara cerah bersama atlet muda Team Singapore, dan mereka akan terus bersaing serta mencapai kejayaan dalam pelbagai edisi Sukan SEA.
Sukan SEA ke-33 menutup tirainya pada 20 Disember dalam satu upacara penutup yang gah di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand.
Thailand mendahului carta pingat, diikuti Indonesia, Vietnam dan Malaysia sementara Singapura ditempatkan di kedudukan kelima.
Bagi Team Singapore, terdapat 12 rekod temasya, 11 rekod nasional dan 29 pencapaian peribadi terbaik dihasilkan di Sukan SEA ini.
Pada Sukan SEA 2023, Singapura menamatkan temasya dengan 51 pingat emas, 43 perak dan 64 gangsa.
Kali ini, Singapura menurunkan kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan SEA, dengan 926 atlet bertanding dalam 48 sukan, termasuk 548 atlet yang membuat penampilan sulung.
Kontinjen ini mempunyai usia purata sekitar 23 tahun, manakala atlet kali pertama mempunyai usia purata 21 tahun.
Lebih membanggakan, ramai atlet muda tampil menonjol, dengan separuh daripada peserta penampilan sulung berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat.
Ini termasuk atlet sukan layar, Anya Zahedi, 12 tahun yang menang pingat perak dan atlet renang, Julia Yeo, 14 tahun yang menang pingat emas.
Antara atlet yang turut mengukir sejarah ialah atlet 400 meter lompat pagar, Calvin Quek, 29 tahun dan atlet terjun cantik, Avvir Tham, 21 tahun, turut memenangi pingat emas buat kali pertama dalam 60 tahun bagi acara masing-masing.
Atlet karate, Marissa Hafezan, turut meraih pingat emas pertama Singapura di acara kumite dalam tempoh tiga dekad.
Sukan yang beraksi dengan cemerlang antaranya renang (19 emas), lawan pedang (8 emas), tenis meja dan sukan layar (kedua-duanya empat emas).
Sementara itu, Leow, yang juga merupakan Presiden Persatuan Badminton Singapura (SBA), turut melahirkan kekecewaannya terhadap prestasi badminton Singapura yang hanya memenangi dua pingat gangsa.
Prestasi pasukan badminton Singapura “tidak mencapai standard”, memandangkan tiada atlet yang mara ke separuh akhir kejohanan.
“Kami kecewa dengan keputusan ini, ia tidak menepati jangkaan kami iaitu untuk memenangi empat pingat,” kata Leow.
Leow menambah bahawa pemain perseorangan lelaki pilihan utama, Loh Kean Yew, “tidak menepati harapan”, manakala persembahan pemain pilihan ketiga, Jason Teh, “sangat mengecewakan”.
Loh tersingkir di peringkat suku akhir manakala Teh kalah satu pusingan lebih awal.
“Bukan hanya prestasi di atas gelanggang yang perlu dilihat. Kami perlu menilai keseluruhan ekosistem, cara kami membangunkan bakat, dan semua aspek berkaitan,” tambah beliau.
“
“Banyak sukan yang secara tradisinya kita cemerlang, terutamanya di peringkat Sukan Asia dan Olimpik, kini menghadapi persaingan yang sangat sengit di rantau ini. Ia tidak lagi mudah untuk memenangi pingat emas dan memecahkan rekod baru dalam Sukan SEA bagi kebanyakan sukan ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg