SNOC semak anugerah sukan: Atlet raih 3 emas Sukan SEA terima $30,000
SNOC semak anugerah sukan: Atlet raih 3 emas Sukan SEA terima $30,000
Ia lebih tinggi berbanding $20,000 sebelum ini; Tiada insentif diberi kepada pemenang pingat perak, gangsa di Sukan SEA
Atlet Team Singapore yang memenangi tiga pingat emas perseorangan dalam edisi yang sama di Sukan SEA kini akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah $30,000, iaitu $10,000 bagi setiap pingat emas.
Ia satu peningkatan daripada jumlah sebelum ini sebanyak $20,000, menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).
Bagi Sukan Komanwel, atlet yang memenangi dua pingat emas perseorangan akan menerima $80,000, meningkat daripada $60,000.
Manakala pemenang dua pingat emas di Sukan Asia pula akan menerima $400,000, berbanding $300,000 sebelum ini.
Semakan ini dibuat selepas SNOC menjalankan penilaian terhadap Program Anugerah Sukan Utama (MAP).
Bagi pemenang berbilang pingat emas, hanya tiga pingat emas pertama yang dimenangi di Sukan SEA, serta dua pingat emas pertama di Sukan Komanwel dan Sukan Asia, akan diiktiraf bagi tujuan anugerah MAP.
Ganjaran wang tunai MAP yang disemak semula ini akan berkuat kuasa bagi tempoh 2025 hingga 2028, dan diumumkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang juga Presiden SNOC, di majlis anugerah MAP SNOC tahunan pada 21 Januari.
Beberapa Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dan atlet yang dihubungi Berita Harian (BH) turut menyambut baik ganjaran tersebut, termasuk sumbangan mandatori atlet kepada NSA yang telah diselaraskan pada kadar 20 peratus bagi semua temasya sukan utama, satu lagi perubahan baru.
Ia sekali gus akan membantu NSA dalam menyokong latihan dan pertandingan di luar negara dan pemulihan atlet, kata mereka.
Namun, mereka mengalu-alukan atlet pingat perak dan gangsa di Sukan SEA juga dapat diiktiraf dalam MAP.
Dalam ucapannya, Cik Fu, merakamkan penghargaannya kepada tajaan Tote Board, Singapore Airlines, Singtel, dan Yonex-Sunrise atas sokongan mereka sepanjang ini bagi MAP, dan berkata:
“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong kecemerlangan, menggalakkan kejayaan berpasukan, serta memperkukuh ekosistem sukan secara menyeluruh.”
Cik Fu menambah bahawa dengan Sport Singapore menyediakan sokongan kukuh kepada atlet negara di peringkat awal, MAP menjadi pelengkap dalam memotivasikan atlet, mengiktiraf pencapaian, serta memperkukuh budaya prestasi tinggi.
“MAP mencerminkan satu falsafah bersama bahawa kecemerlangan wajar diraikan dan diiktiraf, dan kejayaan juga harus dimanfaatkan untuk membangunkan generasi atlet seterusnya,” tambah beliau.
Selain daripada anugerah bagi atlet perseorangan, terdapat beberapa perubahan bagi acara dan sukan berpasukan.
Bagi acara berpasukan, jumlah anugerah telah diselaraskan kepada 1.5 kali ganda berbanding acara perseorangan.
Manakala anugerah bagi sukan berpasukan pula akan dipertingkat kepada tiga kali ganda daripada acara perseorangan.
Sebagai contoh, pemenang pingat emas acara berpasukan di Sukan Asia kini akan menerima ganjaran sebanyak $600,000, meningkat daripada $400,000 sebelum ini – dan tiga kali ganda daripada $200,000 bagi sukan perseorangan.
Majlis penghargaan tersebut turut dihadiri Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, dan sekitar 600 atlet negara yang beraksi di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Seramai 100 atlet yang memenangi 52 pingat emas menerima Anugerah MAP atas pencapaian mereka di Sukan SEA lalu, dengan jumlah ganjaran insentif sebanyak $610,000.
Singapura menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan SEA, dengan seramai 926 atlet bertanding dalam 48 acara sukan.
Pasukan negara mencatatkan prestasi keseluruhan yang memberangsangkan dengan membawa pulang sebanyak 202 pingat (52 emas, 61 perak dan 89 gangsa), selain mencipta 12 rekod temasya, 11 rekod kebangsaan serta 29 pencapaian terbaik peribadi.
Sebelum ini di Parlimen pada 13 Januari, Encik Neo telah menjawab pertanyaan mengenai semakan terhadap MAP, khususnya cadangan agar pemenang pingat perak dan gangsa di Sukan SEA turut diiktiraf.
Setakat ini, tiada anugerah diberikan bagi kumpulan tersebut di Sukan SEA.
Encik Neo menjelaskan bahawa struktur anugerah MAP mengambil kira tahap persaingan serta kekerapan penganjuran temasya sukan utama.
“Sukan Olimpik, Komanwel dan Asia mempunyai tahap persaingan yang lebih tinggi dan dianjurkan setiap empat tahun, berbanding Sukan SEA yang diadakan setiap dua tahun,” katanya ketika itu.
Walau demikian, beliau berkata cadangan tersebut akan diambil kira dan dikemukakan untuk pertimbangan dalam semakan yang sedang dijalankan.
Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat dan penaja tampil ke hadapan bagi menyokong atlet negara serta menyumbang kepada MAP.
Atletik Singapura berkata bahawa perbahasan mengenai perkara tersebut di Parlimen mencerminkan peningkatan pada minat orang ramai terhadap kebajikan atlet.
Berkongsi kepada BH, Atletik Singapura berkata:
“Kami mengiktiraf bahawa pemenang pingat perak dan gangsa menyumbang kepada kekuatan, kepelbagaian kekuatan serta kredibiliti sukan Singapura.
“Pada masa yang sama, sebarang peluasan di peringkat anugerah perlu dipertimbangkan dengan teliti bagi memastikan kejelasan, keadilan dan kelestarian merentas semua sukan.”
Presiden Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Encik Abdullah Shafiie Mohamed Sidik, turut bersetuju dan berpendapat, “mereka berlatih dan memberi usaha yang sama seperti pemenang pingat emas.”
Beliau menambah bahawa Persisi menghargai pemberian 20 peratus daripada atlet dan tidak meminta jumlah lebih daripadanya, kerana kerja keras oleh atlet perlu dihargai.
“Sumbangan tersebut akan menyokong latihan pesilat, seperti latihan intensif dan di luar negara.
“Kami bersyukur atas setiap jumlah yang diberikan kepada organisasi kami,” katanya.
Karate-do Union of Singapore juga berkongsi perasaan yang sama, dan berkata bahawa sumbangan tersebut boleh digunakan untuk menampung kos penyertaan pertandingan di luar negara serta memudahkan peluang pertukaran antarabangsa yang bermakna.
Untuk ratu pecut negara, Shanti Pereira, yang bakal beraksi di Komanwel (Julai hingga Ogos) dan Asia (September hingga Oktober), beliau menyambut baik semakan anugerah itu dan berpendapat ia merupakan satu langkah yang sangat positif.
Bercakap kepada BH, beliau gembira atlet diberi pengiktirafan atas usaha mereka.
“Memenangi satu pingat emas sahaja sudah merupakan satu pencapaian yang amat sukar.
“Jika sesuatu sukan itu membolehkan atlet memenangi beberapa pingat emas, kejayaan sedemikian adalah luar biasa. Inisiatif ini menonjolkan kepentingan pencapaian tersebut.”
Pereira membawa pulang $20,000 selepas menjuarai perlumbaan 100m dan 200m wanita di Sukan SEA lalu.
Apabila ditanya apakah yang akan beliau lakukan dengan ganjaran tersebut, beliau hanya berseloroh dan berkata, “rahsia”.
Bagi atlet muda negara, Marissa Hafezan, yang memenangi pingat emas di karate pada temasya lalu, beliau bersyukur dengan pengiktirafan tersebut dan ia menunjukkan bahawa usaha keras dan potensi mereka sebagai atlet diiktiraf.
“Ia memberi saya keyakinan yang lebih besar dalam persiapan bagi kejohanan akan datang serta membantu diri saya tumpukan perhatian kepada proses pemulihan dan perkembangan diri,” katanya, yang membawa pulang $10,000 atas pencapaiannya.

