Walaupun acara Sukan SEA 2025 dipindahkan dari Songkhla ke Bangkok dan Chonburi, Team Singapore akan terus bersiap sedia dan menyesuaikan diri mengikut keperluan.
Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) juga akan memberikan sokongan penuh kepada atlet serta pegawai daripada sukan terlibat ketika mereka menyesuaikan diri dengan perubahan itu.
Demikian dikongsi Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga presiden SNOC, Cik Grace Fu, dalam satu hantaran Facebook pada 28 November.
“Team Singapore akan terus bersiap sedia dan menyesuaikan diri mengikut keperluan, dan SNOC akan memberikan sokongan penuh kepada atlet serta pegawai daripada sukan yang terjejas ketika mereka menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
“Kami berterima kasih kepada Thailand atas komitmen berterusan mereka menganjurkan Sukan SEA di tengah-tengah keadaan yang mencabar,” tulisnya.
Pertukaran tersebut berlaku dek banjir besar terburuk dalam tempoh beberapa tahun yang melanda kawasan Songkhla.
Seorang jurucakap kerajaan Thailand berkata kematian akibat banjir itu meningkat daripada enam kepada 55 orang pada 27 November, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di tujuh wilayah sekurang-kurangnya 82 orang.
Lantas, dengan keadaan bahaya di tempat pertandingan serta risiko penularan penyakit di daerah selatan Thailand, penganjur terpaksa melakukan penukaran pada temasya yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember nanti.
Songkhla merupakan salah satu daripada tiga kawasan utama, selain Chonburi dan Bangkok, yang sepatutnya menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA ini.
Kebanyakan sukan akan dipindahkan ke Bangkok antaranya pencak silat, catur, judo, karate, kabadi, muay thai, wushu, petanque dan bola sepak (Kumpulan B).
Manakala gusti pula akan diadakan di Chonburi.
Cik Fu turut menegaskan sokongan Singapura terhadap keputusan tersebut dan menyatakan keyakinan terhadap keputusan penganjur.
“Kami akur cabaran luar biasa yang mereka hadapi, dan kami memuji para penganjur serta pihak berkuasa atas usaha mereka mencari penyelesaian alternatif bagi atlet dan pegawai kami.
“Kami bersama penduduk Hat Yai dan wilayah Songkhla yang terjejas akibat banjir.
“Kami yakin bahawa, bersama-sama, keluarga Sukan SEA akan menempuh tempoh sukar ini dengan ketabahan dan semangat perpaduan,” ujarnya.
Singapura menghantar kontinjen terbesar ke temasya kali ini, dengan 930 atlet dijangka beraksi dalam 48 sukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg