Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atlet terjun tinggi ceburi sukan akuatik selepas beralih dari dunia sarkas

Jul 23, 2025 | 3:45 PM
Atlet terjun tinggi Perancis, Gary Hunt, yang akan bertanding dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025) di Singapura, pernah menjadi penghibur di sebuah taman hiburan.
Atlet terjun tinggi Perancis, Gary Hunt, yang akan bertanding dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025) di Singapura, pernah menjadi penghibur di sebuah taman hiburan. - Foto AFP

Dalam sukan terjun tinggi yang menampilkan penerjun dari platform setinggi lapan tingkat yang melakukan aksi akrobatik yang mendebarkan, tidak hairanlah sebilangan daripada mereka mempunyai latar belakang dunia hiburan.

Ambil contoh atlet terjun tinggi Perancis kelahiran Britain, Gary Hunt.

Juara dunia dua kali dalam sukan tersebut, pernah melakonkan watak ala Tarzan di taman hiburan Walygator Grand-Est di Perancis selama beberapa tahun sebelum bergelar atlet terjun tinggi.

Menariknya, sebelum pertandingan bermula, Hunt sering dilihat mengimbangi bola dengan tangannya untuk “menenangkan fikirannya”.

“Anda tidak memikirkan apa yang anda lakukan. Ia seolah-olah otak anda tidak mengawal tangan anda,” katanya kepada laman The Guardian pada 2023.

Sukan terjun tinggi ialah satu bidang akuatik ekstrem, yang melibatkan penerjun dari platform setinggi 27 meter bagi lelaki dan 20 meter bagi wanita, yang melakukan aksi akrobatik ketika terjun.

Atlet boleh mencapai kelajuan sehingga 85 kilometer sejam sebelum mencecah air.

Berbeza aksi terjun biasa, sukan terjun tinggi tidak menggunakan papan anjal atau platform - sepanjang 3 meter dan 10 meter - yang biasa dilihat dalam acara Olimpik.

Sebaliknya, atlet tersebut terjun dari platform statik, yang sering dibina di atas perairan semula jadi atau struktur sementara.

Pengadil menilai setiap terjunan berdasarkan tahap kesukaran, pelaksanaan, dan kemasukan penerjun ke dalam air.

Hunt berada di Singapura untuk bertanding dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025).

Beliau dijangka bertanding bersama 22 peserta lelaki lain dan 16 penerjun wanita di Sentosa dari 24 hingga 27 Julai.

Juara dunia wanita sebanyak empat kali, Rhiannan Iffland, yang pernah bekerja sebagai pemain trampolin akrobatik dan artis persembahan terjun di kapal persiaran, akan turut berada di Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Apabila ditanya mengenai peralihan daripada penghibur kepada atlet terjun, Iffland, warga Australia, berkata dalam satu temu bual menerusi Zoom:

“Ramai yang berasal daripada dunia persembahan, dan ramai juga yang datang daripada latar belakang sukan terjun elit.

“Ada pula mempunyai latar belakang gimnastik… Jadi ia adalah satu gabungan yang pelbagai.

“Tetapi, saya memang rasa menjadi seorang penghibur sangat membantu (dalam sukan ini).”

“Pada awal kerjaya, rasanya seperti saya sedang membuat persembahan.

“Jika anda beralih daripada kegiatan terjun dalam persembahan atau kegiatan terjun dalam sektor hiburan, kepada pertandingan, rasanya hampir sama.

“Apabila saya membuat persembahan, saya berasa saya lebih banyak bermain-main, tetapi ia juga menguji kemahiran diri.

“Saya dapat mengembangkan pelbagai kemahiran berbeza. Salah satu daripadanya ialah melakukan terjunan di bawah tekanan.

“Ini kerana dalam persembahan, saya mempunyai penonton, dan dalam pertandingan pun, saya meraih sokongan penonton.”

Iffland akan berusaha meraih pingat emas kejohanan dunia kelima berturut-turut, apabila beliau menaiki platform di Palawan Green di Sentosa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg