BUDAPEST: Berlatar perangan yang melanda Ukraine dan keadaan lebih mencabar untuk berlatih, Yaroslava Mahuchikh memenangi pingat emas pertamanya dalam acara lompat tinggi wanita Kejuaraan Atletik Dunia di Budapest, Hungary, pada Ahad.
Atlet berusia 21 tahun itu melepasi ketinggian 2.01 meter bagi memenangi emas tunggal Ukraine dalam kejuaraan tersebut.
Beliau gagal dalam tiga percubaan untuk melepasi 2.07 meter.
“Saya sangat berbangga memenangi emas ini untuk negara saya,” kata Mahuchikh, yang solekan biru dan kuning matanya sepadan dengan warna bendera Ukraine.
“Saya tidak sabar untuk pulang dan menunjukkan pingat ini kepada jurulatih saya.”
Mahuchikh terpaksa lari dari kampung halamannya di Dnipro akibat pencerobohan Russia itu.
Atlet lompat tinggi nombor satu dunia dari Australia, Eleanor Patterson, mendapat pingat perak setelah melepasi ketinggian 1.99 meter, manakala rakan senegara, Nicola Olyslagers, mendapat tempat ketiga.
Presiden Atletik Dunia, Sebastian Coe, menjelaskan cabaran yang dihadapi atlet Ukraine, yang terpaksa tinggal dan berlatih di luar negara setelah pencerobohan Russia ke atas negara mereka sejak Februari 2022.
Coe berkata keadaan itu membuat beliau sedih, dan menekankan bahawa pendiriannya terhadap Russia dan Belarus tidak berubah.
Dua negara itu dilarang menyertai pertandingan atletik.
“Saya merupakan bekas atlet, saya dapat buat persiapan dalam keselamatan di bandar (tempat saya tinggal). Saya dapat, apabila perlu, melancong ke luar (negara).
“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya bagi atlet di Ukraine yang berhadapan dengan landskap sedemikian. Ia keadaan yang tidak tertahan,” ujar beliau dalam satu sidang media bagi menutup kejuaraan tersebut.
Dalam pada itu, juara Olimpik bagi lempar lembing dari India, Neeraj Chopra, mencatat sejarah bagi negaranya.
Beliau memenangi pingat emas pertamanya dengan lontaran sejauh 88.17 meter, sekali gus menjadi atlet India pertama berjaya dalam kejuaraan itu.
Arshad Nadeem dari Pakistan memenangi perak, manakala Jakub Vadlejch dari Republik Czech mendapat pingat gangsa. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg