JEDDAH: Ketua jurulatih Australia, Tony Popovic, sudah mula memikirkan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pasukannya untuk pusingan akhir Piala Dunia 2026 sejurus selepas mereka mengesahkan kelayakan automatik dengan kemenangan 2-1 di Arab Saudi pada 10 Jun.
Beliau mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada September lalu selepas pasukan yang terkenal dengan julukan Socceroos itu memulakan pusingan ketiga kelayakan Asia dengan prestasi hambar, namun sejak itu mencatat lima kemenangan dan tiga seri untuk melayakkan diri ke Amerika Utara.
“Sangat, sangat memuaskan ketika ini. Saya pasti perasaan ini akan lebih terasa dalam beberapa hari akan datang.
“Ia merupakan tempoh yang sangat mencabar sejak saya menyertai pasukan dan saya sangat menikmatinya setakat ini. Kami telah melengkapkan bahagian pertama, iaitu layak secara automatik, dan kini bahagian seterusnya adalah untuk menjadi lebih hebat dan bersedia bagi Piala Dunia,” katanya sejurus selepas wisel penamat di Stadium King Abdullah Sports City di Jeddah.
Selepas menewaskan juara Kumpulan C, Jepun, 1-0 dengan jaringan lewat di Perth minggu lalu, Socceroos hanya perlu mengelak kekalahan 5-0 kepada Arab Saudi untuk mara ke pusingan akhir buat kali keenam berturut-turut.
Mereka berjaya menyelesaikan tugas walaupun ketinggalan satu gol di hadapan penyokong tuan rumah yang lantang, menyaksikan kad merah seorang pemain Arab Saudi dibatalkan oleh video penolong pengadil (VAR) dan turut memberikan sepakan penalti lewat permainan.
Penjaga gawang Mat Ryan, yang membuat penampilan ke-100 bersama pasukan kebangsaan, berjaya menyelamatkan sepakan penalti bagi memastikan jaringan Connor Metcalfe dan Mitch Duke pada kedua-dua babak permainan memberikan Australia tiga mata penuh.
“Untuk melakukannya di sini dalam suasana seperti ini, anda juga perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, dan bukan mudah untuk menunjukkan daya tahan dan kualiti, untuk bangkit semula dan benar-benar mendahului dan memenangi perlawanan.
“Bagi Matty Ryan, kerjayanya sudah cukup membuktikan kehebatannya dan masih banyak lagi yang boleh dicapai... tetapi ia adalah hari yang tidak akan beliau lupakan,” tambah Popovic.
Bekas pemain pertahanan tengah Popovic merupakan anggota pasukan Australia yang mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2006 buat kali pertama, satu pencapaian yang ditandingi oleh pasukan Graham Arnold di Qatar pada 2022.
“Kami telah membina asas yang baik dan kini kami mahu benar-benar menjadi lebih baik, dan melakukan sesuatu yang istimewa di Piala Dunia.
“Kami perlu bermain untuk terus memperbaiki diri, memberi peluang kepada pemain lain yang layak, dan kami mahu menjadi satu pasukan yang jauh lebih baik daripada sekarang. Saya rasa itulah jangkaan yang perlu kita ada,” ujar Popovic. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg