Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Spalleti kecewa gagal bangun potensi pasukan

Jurulatih kendalikan pasukan Italy buat kali terakhir pada 9 Jun
Jun 10, 2025 | 4:35 PM
Bekas pengurus Italy, Luciano Spalletti, membimbing pasukannya buat kali terakhir dalam kemenangan mereka menentang Moldova pada 9 Jun.
Bekas pengurus Italy, Luciano Spalletti, membimbing pasukannya buat kali terakhir dalam kemenangan mereka menentang Moldova pada 9 Jun. - Foto REUTERS

ROME: Luciano Spalletti mengendalikan pasukan Italy buat kali terakhir pada 9 Jun.

Walaupun pasukannya dapat mengucapkan selamat tinggal kepadanya dengan kemenangan, bekas pengurus itu mengakui beliau tidak meninggalkan skuad itu dalam keadaan terbaik untuk penggantinya dan beliau gagal membawa peningkatan yang diharapkan.

Kekalahan memalukan 3-0 kepada Norway pada 6 Jun menjadi titik penamat buat Spalletti, apabila kempen kelayakan Piala Dunia Italy bermula dengan kekalahan.

Kemenangan hambar 2-0 ke atas Moldova di stadium sendiri juga bukanlah penutup tirai yang diimpikan.

“Saya kecewa dengan keputusan ini,” katanya dalam sidang media terakhirnya.

“Saya tak boleh kata yang saya meninggalkan pasukan kebangsaan yang hebat, kerana malam ini pun kami tidak bermain dengan baik.”

“Saya sentiasa cuba belajar dalam apa saja yang saya lakukan... Saya tidak berjaya penuhi potensi sebenar pemain-pemain ini, dan saya perlu terima hakikat itu.”

Spalletti sendiri mengumumkan pengundurannya sehari sebelum perlawanan menentang Moldova – hanya selepas kurang dua tahun memegang jawatan, termasuk kempen Euro 2024 yang mengecewakan.

Walaupun tidak pernah berniat untuk meletakkan jawatan, beliau sekali lagi mengakui kegagalannya membawa perubahan.

“Saya gagal, dan dalam banyak hal, memang wajar saya pergi. Tapi saya tidak letak jawatan, kerana saya rasa saya masih mampu lakukannya lebih baik. Tapi kalau pihak atasan rasa saya bukan orangnya, saya akan tandatangani penamatan kontrak itu,” katanya.

Aksi terakhir Spalletti juga tidak melahirkan apa jua harapan apabila persembahan pasukannya hambar sekali lagi.

Rentak permainan perlahan dan mudah dibaca Italy gagal menembusi pertahanan Moldova, dan mereka diberikan kejutan awal menerusi jaringan penyerang Ion Nicolaescu.

Namun jaringan tersebut dibatalkan akibat ofsaid.

Ancaman pertama Italy tiba apabila percubaan pemain pertahanan mereka, Luca Ranieri, yang membuat penampilan sulung, hanya terkena palang.

Italy akhirnya berjaya menjaringkan gol lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, apabila bola yang ditepis jatuh ke kaki Giacomo Raspadori, dan beliau merembat bola masuk ke gawang untuk gol pertama perlawanan.

Italy menggandakan kelebihan lima minit selepas waktu rehat melalui jaringan Andrea Cambiaso.

Namun, persembahan Italy yang hambar itu tidak membantu meredakan ketegangan.

Penyokong Italy kini menaruh harapan agar keadaan berubah dengan kehadiran jurulatih baru, yang dikatakan berkemungkinan besar adalah Claudio Ranieri.

Setakat ini, Italy masih belum mengumumkan pengganti rasmi, namun Ranieri dikatakan calon utama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg