LONDON: Kelab Liga Perdana England (EPL) setakat ini telah membelanjakan lebih £1 bilion ($1.72 bilion) bagi jendela pemindahan kali ini.

Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur, masing-masing telah membuat perbelanjaan besar bagi pemindahan pemain dengan nilai £100 juta atau lebih pada Julai, dengan setiap kelab mencatat rekod baharu.

Nilai £100 juta bagi menandatangani Sandro Tonali, daripada Newcastle United ke Spurs kelihatan sangat tinggi, namun ia telah diatasi menyusuli pemindahan Elliot Anderson, daripada Nottingham Forest ke Manchester City dengan nilai £116 juta. 

Namun, Chelsea terus melepasi angka tersebut kepada £117 juta apabila menandatangani Morgan Rogers, daripada Aston Villa – sekali gus memecahkan rekod nilai pemindahan bagi pemain Britain.

Sebelum ini, Liverpool melengkapkan pemindahan penyerang Sweden, Alexander Isak, daripada Newcastle United dengan bayaran rekod di Britain bernilai £125 juta pada hari terakhir tempoh pemindahan musim panas lalu, 1 September 2025.

Perbelanjaan besar itu melanjutkan trend pemindahan musim sejuk lalu, yang menyaksikan kelab-kelab di seluruh dunia membelanjakan 2.2 bilion euro ($3.25 bilion) secara keseluruhan.

Meskipun angka sejagat itu kelihatan besar, keupayaan kewangan kelab EPL tetap tidak mampu ditandingi mana-mana liga lain.

Dengan taruhan bernilai berbilion dolar itu, bagaimanakah kelab membuat persiapan bagi memastikan urusan pemindahan pemain berjaya dimuktamadkan?

Pada Februari lalu, sekitar 100 pegawai kelab, pencari bakat dan ejen berhimpun di Villa Park, Birmingham, bagi menghadiri satu acara menjalin rangkaian.

Sambil menikmati kopi dan pastri di ruang tamu William McGregor yang terletak di Trinity Road Stand, wakil daripada pelbagai kelab termasuk Liverpool, West Ham, Birmingham, Preston, Derby, Aston Villa dan Manchester City beramah mesra dengan ejen.

Acara itu adalah sebahagian daripada usaha membuat persiapan menghadapi pemindahan pemain musim panas serta menilai semula pemindahan musim sejuk yang lalu.

Dalam acara tersebut, Ketua Bakat Baharu dan Pinjaman Pemain Aston Villa, Adam Henshall, membentangkan bagaimana kelab itu menguruskan proses pinjaman pemain mereka.

Beliau memperincikan data, risiko serta ganjaran yang dipertimbangkan sebelum melepaskan bakat muda mereka.

Acara tersebut dianjurkan oleh TransferRoom, sebuah wadah dalam talian yang menghubungkan kelab dengan ejen bagi memulakan atau mempercepat proses pemindahan. 

Sekitar 800 kelab telah mendaftar dengan wadah tersebut.

Aston Villa, Chelsea, Crystal Palace, Manchester City, Manchester United, Roma dan Borussia Dortmund, adalah antara lebih 200 kelab yang bertemu dengan 55 agensi di Madrid bagi ‘hari urus niaga’ pada 4 Ogos, bagi memuktamadkan pelbagai pemindahan.

Ia turut menganjurkan sesi pertemuan dalam talian.

Langkah itu bertujuan membantu kelab menghadapi urusan pemindahan yang dijangka semakin rancak dijalankan pada separuh kedua Ogos.

Ini memandangkan kebanyakan kelab tidak dapat menyelesaikan sebahagian besar urus niaga lebih awal berikutan Piala Dunia 2026.

Sementara itu, kelab di Liga Bola Sepak England (EFL) mendapati mereka perlu menunggu kelab teratas memuktamadkan keputusan masing-masing bagi merancakkan pasaran pemindahan, meskipun perancangan awal telah dibuat rapi.

Secara idealnya, kelab meletakkan sasaran untuk membuat persiapan sekurang-kurangnya satu musim pemindahan lebih awal. 

Di peringkat liga utama, kelab sudah mendapat bayangan tentang pemain yang berkemungkinan besar berpindah, sekali gus membolehkan mereka merancang lebih awal.

Keadaan ini sangat berbeza di peringkat liga bawah kerana mereka berdepan dengan realiti perit bahawa jika seseorang pemain menunjukkan prestasi cemerlang, mereka berkemungkinan besar akan ‘disambar’ kelab lain.

Secara asas, semua pemain terbuka untuk dijual, dan keadaan ini memaksa pengarah sukan serta pengurus kelab supaya sentiasa bersiap sedia mengendalikan sebarang krisis. 

Kebanyakan kelab di divisyen bawah EFL turut mengambil pendekatan menangguhkan langkah menandatangani pemain demi menjimatkan kos.

Tindakan membawa masuk pemain pada penghujung musim pemindahan bermakna kelab dapat menjimatkan bayaran gaji bagi tempoh beberapa minggu.

Selain itu, tahap penggunaan data dalam proses pengambilan pemain juga berbeza secara ketara mengikut peringkat liga. 

Meskipun terdapat pelbagai platform analisis pemain di pasaran, kos langganan yang tinggi menyebabkan sebahagian kelab di liga bawah tidak mampu menanggung perbelanjaan tersebut.

Perancangan menghadapi tempoh pemindahan musim panas bagi semua kelab lazimnya bermula lebih awal, iaitu sejurus sahaja tempoh pemindahan musim sejuk ditutup.

“Ia biasanya bermula dua minggu selepas pasaran Januari ditutup,” kata bekas Pengurus Portsmouth, Blackpool, Oxford dan Shrewsbury, Michael Appleton.

“Semakin kita menghampiri musim pemindahan, semakin kerap mesyuarat akan diadakan.

“Pada awal Mac, saya biasanya duduk berbincang dengan pasukan pengambilan pemain sekali seminggu.

“Namun, apabila semakin hampir dengan musim pemindahan, ia berubah menjadi setiap beberapa hari dan menjelang pembukaan musim, ia mungkin berlaku setiap hari.”

Bagaimanapun, banyak perkara bergantung kepada jalinan rangkaian sesebuah kelab.

Dalam sesetengah keadaan, kelab mungkin menghubungi agensi seawal 12 bulan sebelum memuktamadkan pemindahan untuk membincangkan terma kontrak atau anggaran kos pemindahan.

Namun, bagi sesetengah pemindahan lain, ia hanya mengambil masa beberapa hari dari saat perhubungan awal dibuat sehingga urus niaga selesai.

Meskipun begitu, semua kelab akan cuba mengumpul seberapa banyak maklumat yang mungkin mengenai senarai pemain sasaran mereka, walaupun sedar mereka tidak akan dapat menandatangani kesemua pemain yang diingini. – Agensi berita.