Topik diikuti
Pergi ke BHkuBahang final Piala Dunia bermula dengan ketenangan solat di Masjid Sultan
Bahang final Piala Dunia bermula dengan ketenangan solat di Masjid Sultan
Bahang final Piala Dunia bermula dengan ketenangan solat di Masjid Sultan
Ketika jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia berjaga malam untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia Fifa 2026, hampir 200 penyokong di Singapura memilih memulakan malam itu dengan qiamullail di Masjid Sultan, sebelum bersama-sama menyaksikan aksi kemuncak kejohanan berkenaan.
Program Beyond The Final, yang berlangsung pada awal pagi 20 Julai, menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia, termasuk golongan belia, keluarga serta warga emas.
Mereka bukan sekadar hadir untuk menonton bola sepak, bahkan mengisi malam tersebut dengan ibadah, ilmu dan ukhuwah.
Pengurus Dakwah Masjid Sultan, Ustaz Muhammad Syahid Abdul Latif, berkata idea menganjurkan program itu lahir daripada usaha mencari pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.
“Bagi kami, kejayaan program ini bukan sekadar diukur melalui jumlah kehadiran, tetapi sejauh mana ia dapat memberi manfaat dan menjadi asbab seseorang lebih dekat dengan Allah swt.”
Program dimulakan seawal 2 pagi dengan qiamullail sebelum diteruskan dengan sesi memperbetulkan dan memperindahkan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti refleksi ringkas.
Peserta kemudian menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia sebelum menutup acara dengan solat subuh berjemaah.
Bagi memastikan keselesaan peserta sepanjang program, pihak masjid menyediakan hidangan teh tarik dan roti, manakala makanan ringan lain disediakan menerusi sumbangan penaja.
Menurut Ustaz Syahid, matlamat utama program itu adalah supaya setiap peserta membawa pulang makna sebenar FINAL – iaitu Fahami, Islah, Nilai, Amal dan Lestari.
Beliau menjelaskan konsep tersebut mengajak masyarakat memahami bahawa setiap nikmat dan minat yang dikurniakan Allah swt boleh menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya, memperbaiki diri melalui ibadah dan ilmu, menyemai nilai ukhuwah, disiplin serta kesyukuran, menterjemahkan ilmu kepada amalan, dan mengekalkan amalan baik secara berterusan.
“Jika seseorang hadir kerana bola sepak tetapi pulang dengan hati yang lebih dekat kepada Allah swt, lebih yakin membaca Surah Al-Fatihah, lebih menghargai qiamullail dan lebih bersemangat menunaikan solat subuh berjemaah, maka itulah kemenangan sebenar,” katanya.
Beliau berkata program Beyond The Final merupakan antara program tontonan bola sepak pertama seumpamanya dianjurkan oleh Masjid Sultan dan mencerminkan pendekatan dakwah yang kreatif serta relevan.
“Kami melihatnya sebagai satu pendekatan dakwah yang kreatif dan relevan dengan perkembangan semasa, namun pengisian utamanya tetap berasaskan ibadah, ilmu dan ukhuwah,” jelasnya.
“Harapan kami, masyarakat akan melihat bahawa masjid sentiasa menjadi tempat yang hidup, dekat dengan masyarakat dan sentiasa mengajak kepada kebaikan.”
Program itu turut diadakan bersempena sambutan Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai, sekali gus mengetengahkan nilai keharmonian, saling menghormati dan kebersamaan dalam masyarakat majmuk.
Menurut Ustaz Syahid, Beyond The Final bukanlah program yang berdiri sendiri, sebaliknya sebahagian usaha berterusan Masjid Sultan untuk menghidupkan budaya ibadah, ilmu dan kebersamaan menerusi pelbagai inisiatif seperti qiamullail bulanan, Qiamullail & Subuh Fun Run, program NAQRA (Ngaji Al-Quran) serta pelbagai kuliah, forum, program belia dan kekeluargaan sepanjang tahun.
“Di Masjid Sultan, kami percaya dakwah perlu sentiasa dekat dengan masyarakat.
“Beyond The Final bukan sekadar tentang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia, tetapi bagaimana satu malam yang dinanti-nantikan ramai dapat diisi dengan qiamullail, memperbaiki bacaan Surah Al-Fatihah, sedikit peringatan yang menyentuh hati dan akhirnya ditutup dengan solat subuh berjemaah.
“Harapan kami, setiap yang hadir akan membawa pulang semangat FINAL – Fahami, Islah, Nilai, Amal dan Lestari – agar manfaatnya terus dirasai dalam kehidupan seharian,” kata Ustaz Syahid.
