Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat muda, pengalaman Jerman sukar dibendung Denmark

Mutu pasukan tuan rumah lebih menyerlah, bakal jadi penentu keputusan perlawanan kalah mati
Jun 29, 2024 | 2:00 PM
Gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda berbakat seperti Florian Wirtz (jersi putih) memberi pasukan Jerman keseimbangan yang baik untuk memacu saingan pasukan itu dalam kejohanan Euro 2024.
Gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda berbakat seperti Florian Wirtz (jersi putih) memberi pasukan Jerman keseimbangan yang baik untuk memacu saingan pasukan itu dalam kejohanan Euro 2024. - Foto AFP

Pasukan Jerman melayakkan diri ke peringkat kalah mati Euro 2024 daripada Kumpulan A dengan rekod hampir sempurna – dua menang dan satu seri, dengan menjaringkan lapan gol dan melepaskan hanya dua gol.

Ia berlatarkan persembahan memberangsangkan pasukan yang dipimpin Julian Nagelsmann itu.

Dengan gandingan pemain muda seperti Jamal Musiala dan Florian Wirtz dan pemain berpengalaman seperti Toni Kroos dan kapten Ilkay Gundogan, pasukan Jerman mempunyai keseimbangan yang baik dari segi keberkesanan dan kreativiti.

Persembahan mereka sejauh ini mengingatkan kembali akan pasukan Jerman pada tahun-tahun sudah – mereka pasti dapat mencari jalan untuk mara ke pusingan akhir, malah menjadi juara.

Mentelah mereka akan mendapat sokongan penyokong sendiri sebagai tuan rumah di Stadium BVB, Dortmund, apabila menentang Denmark pada peringkat kalah mati pada 30 Jun, bermula 3 pagi (waktu Singapura).

“Saya amat teruja melihat persembahan pasukan Jerman,” kata bekas penyerang England yang bertugas sebagai pengulas di kejohanan Euro 2024, Ian Wright.

“Mereka, bagi saya, adalah sebuah pasukan yang hampir lengkap. Stabil di bahagian pertahanan, mantap di bahagian midfield dan mempunyai kreativiti pada tenaga penggempur.

“Cuma mereka tidak mempunyai seorang penyerang semula jadi. Kai Havertz, bagi saya, lebih sesuai bermain sebagai Nombor 10. Tetapi sejauh ini beliau melakukan tugas baik dan itu sudah mencukupi,” tambah Wright, yang menyarung jersi England sebanyak 33 kali dan menjaringkan sembilan gol.

Nagelsmann, bagaimanapun, tidak mahu pasukannya dilabel sebagai pasukan pilihan. Menurutnya, setiap pasukan yang mara ke peringkat kalah mati adalah setara.

“Lawan kami, Denmark, mempunyai pemain hebat yang telah memenangi piala di seluruh Eropah.

“Pengalaman adalah segala-galanya dalam kejohanan seperti ini dan kami harus berwaspada akan ancaman Denmark, yang mempunyai gandingan pemain muda berbakat dan pemain berpengalaman,” ujarnya.

Persembahan Jerman yang menyerlah sejauh ini meningkatkan jangkaan ramai mengenai peluang mereka menjulang piala kejohanan Eropah ini sekali lagi, setelah kali akhir memenanginya pada 1996.

Namun kapten Jerman, Gundogan, berkata beliau dan rakan-rakannya tidak melihat lebih jauh daripada perlawanan ini. Sebaliknya, mereka sedar tugas mencabar yang menanti.

“Kami harus tenang. Bermain di depan penyokong sendiri sebagai tuan rumah memberi tekanan berbeza, jangkaan berbeza.

“Sebagai sebuah pasukan, kami bersedia menangani tekanan itu. Tetapi kami harus sentiasa bersikap tenang kerana terdapat cukup bakat dalam pasukan ini untuk mara ke peringkat seterusnya,” ujar beliau.

Pengalaman memberi kesan besar kepada Denmark, dengan pemain seperti penjaga gawang dan kapten Kasper Schemeichel serta pemain midfield Christian Eriksen cemerlang sejauh ini.

Namun, Denmark tahu mereka perlu meningkatkan persembahan mereka setelah hanya mampu mencatatkan tiga keputusan seri dalam perlawanan Kumpulan C.

Penyerang muda Denmark, Rasmus Højlund, berkata meskipun beliau rasa bertanggungjawab bagi kekurangan gol – mereka hanya berupaya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan – beliau menekankan ia bukanlah soal individu.

“Dalam bola sepak, terutama dalam kejohanan seperti ini, tidak penting siapa menjaringkan gol, asalkan pasukan dapat melakukan jaringan dan mara ke peringkat seterusnya.

“Itulah tumpuan saya – bekerja keras sebagai penyerang, sama ada menjaringkan gol atau merintis peluang jaringan untuk rakan-rakan. Yang penting, kami menang,” ujar pemain Manchester United itu.

Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand, berkata beliau faham sekiranya ramai tidak memberi pasukannya peluang dalam perlawanan menentang Jerman.

Namun, beliau mengingatkan keadaannya sama pada 1992 dalam perlawanan akhir antara Denmark dan Jerman.

Denmark menang dan muncul juara.

“Kami harus yakin akan kebolehan kami sendiri. Denmark mampu menyaingi sesiapa pun sekiranya kami bermain pada tahap maksimum.

“Kami pernah melakukannya dalam perlawanan paling penting pada 1992. Dan mungkin kami boleh mendapat inspirasi dan motivasi daripada sejarah,” katanya.

Bagaimanapun, melihat pada kekuatan dua pasukan ini di atas kertas dan persembahan mereka sejauh ini, inspirasi dan motivasi sahaja mungkin tidak mencukupi bagi Denmark mengatasi Jerman.

Akhirnya, mutu akan menentukan keputusan perlawanan malam ini.

Ramalan saya: Jerman 3, Denmark 1.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg