Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat muda sinari skuad S’pura bagi Piala Raja Thai

Dalam skuad 12 pemain, separuh muka baru di pentas antarabangsa; usia purata 22 tahun
Sep 1, 2024 | 5:00 AM
Ketua jurulatih pasukan nasional sepak takraw lelaki Singapura, Salleh Nanang (kanan), memberi arahan kepada pemain semasa satu sesi latihan di Heartbeat@Bedok pada 26 Ogos.
Ketua jurulatih pasukan nasional sepak takraw lelaki Singapura, Salleh Nanang (kanan), memberi arahan kepada pemain semasa satu sesi latihan di Heartbeat@Bedok pada 26 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Setelah memaparkan persembahan yang berani dalam Piala Dunia Sepak Takraw Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) pada Mei – walau sukan itu dihimpit pelbagai ketidakpastian di tanah air – ketua jurulatih nasional, Salleh Nanang, mendambakan lebih banyak peningkatan dalam prestasi anak didiknya.

Bagi mencapai matlamat itu, Salleh, 62 tahun, memilih membariskan pemain muda berbanding yang berpengalaman dalam pasukan negara yang bakal beraksi dalam Piala Raja Thai 2024 pada dari 1 hingga 8 September di Korat, Thailand.

Dalam skuad Singapura seramai 12 pemain, separuh daripadanya adalah muka baru di pentas antarabangsa.

Enam pemain itu ialah Putera Ahmad Syukry Mohamed Ronzienoor, 18 tahun; Mohammad Fairuz Azahari, 20 tahun; Raziq Rosli, 23 tahun; Tan Kee Ler, 21 tahun; Mohammad Hadi Haerdianshah Haerdeno, 18 tahun; dan Abdul Hammirruddin Noor, 25 tahun.

Mereka akan disertai Muhammad Khairishamy Shamsudin, 27 tahun; Khairul Fahmi Yazid, 25 tahun; Akmal Musyarraf Rostam, 23 tahun; Zaihirrman Zaharudin, 26 tahun, dan Youri Adli Fathullah Ahmadi, 18 tahun.

Pasukan itu akan diketuai kapten Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal, 23 tahun, yang telah beraksi dalam beberapa kejohanan utama.

Skuad itu, yang mempunyai usia purata 22 tahun, berbeza berbanding awal sebelum ini.

Ketika itu, dalam kejohanan sulungnya, Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Kuala Lumpur sejak dilantik pada Mac, beliau menampilkan veteran seperti Farhan Amran, 43 tahun.

Meskipun pasukan pulang tanpa sebarang pingat, Salleh berkata keputusan yang diraih pemain merupakan “satu pencapaian dan permulaan yang baik” apabila berjaya mencuri set permainan menentang lawan hebat.

Singapura dapat merampas satu set ketika menentang Filipina dalam acara regu dan Vietnam dalam acara regu berpasukan walaupun akhirnya tewas 1-2.

Ia hanya mampu mencatat satu kemenangan dalam acara regu ketika menang 2-1 ke atas Korea Selatan untuk melayakkan diri ke suku akhir namun tumpas kepada juara Malaysia.

Singapura juga pada satu ketika mendahului pasukan gergasi Thailand dalam satu set permainan acara berganda tetapi kesilapan sendiri memberikan lawan kemenangan 2-0.

“Satu perkara ketara yang kami perlu perbaiki adalah apabila menerima bola daripada servis lawan.

“Satu lagi adalah pemain tidak seharusnya leka apabila mendahului permainan sebab kesilapan inilah yang akan meleret sehinggakan kalah,” kata Salleh, bekas pemain nasional.

Di Piala Raja, pasukan negara berpeluang menebus kesilapan lalu.

Singapura diundi bersama Korea Selatan dan Vietnam dalam Kumpulan D bagi kategori perdana acara berpasukan.

Ia juga bakal bersaing dalam kategori perdana acara regu yang dianggotai India, China, Malaysia dan Brunei.

Dengan membawa muka baru dalam skuad, Salleh berharap tenaga pemain mudanya berupaya memberikan saingan sengit kepada lawan.

“Selama ini, apabila kami menyertai kejohanan, pasukan lain akan pandang rendah dan lihat Singapura sebagai lawan mudah.

“Tetapi kali ini, mereka akan lebih menghormati Singapura dan fikir dua kali sebelum bertemu kami,” kata beliau.

“Dengan pemain muda yang saya ada, saya tidak begitu bimbang malah rasa lebih tenang. Ini kerana saya yakin, bukan untuk mendapat kemenangan, tetapi pada pemain untuk beraksi dengan baik.

“Kalau boleh, kita harus berdaya saing dengan kelima-lima pasukan ini, dan cuba menang dua atau tiga pasukan supaya dapat tahu sama ada perkembangan kami jauh atau tidak,” tambahnya.

Salleh dibantu oleh bekas kapten pasukan Singapura, Nurhisham Adam, dan kededua ikon sepak takraw negara itu dilantik oleh Jawatankuasa Persediaan Temasya Sukan Utama (MGPC).

Mereka telah menghadiri pelbagai pertandingan akar umbi dan Sukan Nasional Sekolah untuk mengenal pasti bakat baru dan semakin meningkat naik.

Skuad muda yang dibentuk itu diharap dapat menjadi pelapis pemain Singapura untuk tahun mendatang.

“Jika jodoh saya dengan pasukan dan MGPC panjang, saya ingin mempersiapkan skuad untuk Sukan SEA 2029 di Singapura,” kongsi Salleh.

Danish mengalu-alukan penyertaan pemain muda dalam skuad negara.

“Saya sangat suka dengan cara pasukan sepak takraw Singapura sekarang kerana kami mendedahkan pemain baru dan muda, seperti saya, untuk mendapatkan pengalaman di luar negara.

“Saya percaya pengalaman ini sangat penting kerana ia akan membuka mata pemain kepada permainan antarabangsa berbanding domestik,” kata tekong, yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja pada 2023.

Beliau turut menggesa rakan sepasukannya supaya menunjukkan semangat juang, disiplin dan kerja berpasukan di Korat.

“Sepak takraw adalah sukan berpasukan dan kami banyak bergantung pada satu sama lain…

“Pemain tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan ini dan bersedia mengharungi cabaran yang bakal kami hadapi menentang negara lain,” tambah Danish, yang menyasar membawa pulang sebutir pingat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg