Daripada berlari separuh maraton hingga menyertai pertandingan kecergasan antarabangsa, beliau berada di kemuncak tahap fizikalnya pada 2024.
Namun, segalanya berubah bagi Kimberley Yong semasa percutiannya di Italy pada September 2024, apabila beliau berasa lemah, kadar degupan jantungnya tinggi, dan tangannya menggeletar.
Pada mulanya, Yong menyangka ia disebabkan jet lag (kesan akibat penerbangan jauh) dan cuaca sejuk, tetapi gejala itu berlarutan walaupun selepas beliau pulang ke Singapura.
Namun, satu pemeriksaan perubatan mengesahkan kebimbangannya bahawa beliau mengalami semula serangan hipertiroidisme (kelebihan hormon tiroid) selepas tiga tahun bebas daripada kondisi itu.
“Saya ingat saya sangat kuat, tapi ia (serangan semula) menghalang kemajuan saya. Saya rasa seperti kembali ke titik permulaan tiga, empat tahun lalu.
“Saya tak boleh berlari pun tanpa rasa nak pitam,” ujar wanita berusia 29 tahun itu, yang pertama kali didiagnos menghidap hipertiroidisme, iaitu keadaan di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon secara berlebihan, sedekad lalu.
“Saya rasa sangat kecewa... Ini sangat mengecewakan. Saya habiskan bertahun-tahun untuk bina diri saya, dan sekarang saya berada di tahap terbaik dan semuanya musnah, dan saya tidak boleh buat apa-apa untuk mengawalnya.”
Disebabkan kondisi itu, prestasi Yong merosot dengan ketara.
Ketika berlari, beliau mencatat masa 1 minit setengah lebih perlahan bagi setiap kilometer berbanding catatan biasanya, walaupun semasa melakukan larian ringan.
Semasa melakukan senaman lunges pula, beliau menggeletar walaupun hanya menggunakan berat badannya sendiri.
Pernah terlintas di fikiran Yong untuk berputus asa dan berhenti bersenam, tetapi dengan acara Hyrox Hong Kong dan Maraton Standard Chartered Singapura yang semakin hampir, beliau tetap meneruskan latihan walaupun menghadapi kesukaran.
Walaupun beliau akhirnya dibernarkan doktornya untuk mengambil bahagian dalam kedua-dua acara itu, Yong dinasihatkan supaya berhati-hati terutamanya semasa senaman kardio.
Yong mendokumentasikan perjalanannya menerusi media sosial, dan bukan sahaja berjaya mengambil bahagian dalam acara tersebut, malah menemui semangat dan tujuan baru daripada pengalaman itu.
Ia menjadi inspirasi untuk beliau melancarkan Valkyrie Race, pertandingan kecergasan khusus untuk wanita yang menguji ketahanan, kekuatan dan daya tahan mental melalui siri cabaran yang terstruktur.
“Daripada terus bersedih, saya mahu tukarkan pengalaman itu menjadi sesuatu yang memberi kekuatan. Sebab itulah slogan Valkyrie Race ialah The Warrior Within (Pahlawan Dalaman).
“Ini bukan tentang menjadi kuat, tapi tentang memilih untuk jadi kuat ketika kita berada pada titik terendah. Matlamatnya bukan untuk lahirkan juara dunia, walaupun itu sangat hebat, tetapi untuk bantu orang ambil langkah pertama.
“Saya mahu sediakan wadah untuk wanita supaya apabila mereka lihat wanita lain, mungkin seorang ibu, mungkin seseorang yang sedang pulih dari sesuatu, seseorang yang baru mula ambil langkah pertama, mereka boleh fikir, ‘Kalau beliau boleh buat, saya pun boleh’,” jelas Yong.
Edisi sulung Valkyrie Race akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei di OCBC Square, Hab Sukan Singapura, dan menampilkan beberapa cabaran termasuk burpee dan lunges sambil menggunakan dumb bell (besi bagi senaman angkat berat).
Yong, yang juga menjalankan agensi pemasaran, menyedari struktur Valkyrie Race mempunyai persamaan dengan acara kecergasan lain, tetapi menegaskan bahawa matlamat Valkyrie Race melebihi sekadar pertandingan kecergasan.
“Ramai orang fikir struktur pertandingan kami ini seperti versi mini pertandingan lain, tapi mereka tak nampak gambaran lebih besar, iaitu masyarakat yang kami bina,” ujar beliau.
Yong berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang pergerakan ini menerusi inisiatif seperti senaman masyarakat bagi mewujudkan ruang sokongan untuk wanita dan menggalakkan lebih ramai memulakan perjalanan kecergasan mereka.
Beliau juga merancang untuk mengetengahkan perniagaan milik wanita, menganjurkan seminar dan melancarkan podcast yang membincangkan isu-isu khusus bagi wanita.
“Semasa proses pemulihan, saya banyak rujuk kepada Instagram dan TikTok, dan ikuti orang yang ada pelbagai jenis penyakit. Ada yang lebih teruk daripada saya, dan kondisi saya tidak membawa maut.
“Kisah mereka memberi inspirasi kepada saya. Tapi dalam masa yang sama, saya terfikir bahawa saya hanya rasa begitu kerana saya sudah menceburi dunia kecergasan. Bagaimana pula dengan orang yang belum mula? Itulah jurang yang saya mahu tutup.
“Saya rasa kerana saya tiada sistem sokongan fizikal, saya fikir kita perlukan sesuatu macam ini di Singapura, kita perlukan wadah ini sebab saya tak mahu orang lain rasa keseorangan,” kongsi Yong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg