Mengimbangi tuntutan sebagai atlet berprestasi tinggi dengan pengajian universiti di Perth, hidup bersendirian dan kerja sambilan bukanlah tugas yang remeh.
Namun, menggalas beban tugas itu amat berat ke atas tubuh pelari Singapura, Amir Rusyaidi Osman, seorang pelari Singapura, sehingga beliau diserang keradangan jantung pada Mac 2024.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Amir meluahkan perasaannya:
“Saya kurang sihat ketika itu tetapi tetap memaksakan diri untuk meneruskan latihan. Saya juga kerap berulang-alik antara Singapura dan Australia, jadi ada tempoh di mana badan saya tidak sedia untuk menahan pelbagai tekanan.
“Saya ada rasa sedikit risau… Bagaimana kalau saya tidak dapat kembali seperti dulu?”
Walau bagaimanapun, semangat juang Amir tidak pernah pudar.
Amir mencuri tumpuan dunia atletik pada April 2025 apabila beliau menjadi atlet Singapura pertama yang mencatat masa di bawah 4 minit 20 saat bagi acara satu batu (1.6 kilometer) dengan rekod 4 minit 19.55 saat.
Catatan sensasi itu memecahkan rekod 4 minit 30 saat milik jaguh maraton Soh Rui Yong yang dicatatkan pada 2024 dengan perbezaan besar 11 saat.
Sejak kebangkitan itu, prestasinya terus melonjak sehingga beliau terpilih mewakili Singapura dalam skuad olahraga seramai 39 atlet di Sukan SEA pada Disember 2025.
Amir yang akan beraksi buat julung-julung kalinya di temasya itu bagi acara 1500 meter pada 11 Disember, berkata ketabahan dan semangat juang itu diasah sejak beliau mula berlari untuk pasukan merentas desa di peringkat sekolah menengah. Beliau kini berusia 23 tahun.
Berada di sekeliling rakan sekolah yang mewakili negara di pentas Sukan SEA seawal usia 17 tahun juga membakar semangatnya untuk bekerja keras.
Amir berkata: “Hampir sedekad berlari, saya belajar menerima kegagalan dan yakin peluang saya akan tiba dengan masa dan kerja keras.
“Kini giliran saya pula tiba untuk beraksi di Sukan SEA buat pertama kali… Saya tak sangka dapat merasai pengalaman ini.”
Beliau merupakan pelajar tahun kedua yang mengambil dua bidang pengajian serentak, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Senaman, serta Ijazah Sarjana Sains Prestasi Manusia di Universiti Western Australia di Perth.
Namun, usaha untuk berlatih di samping berusaha mendapatkan kelayakan bertanding dari luar negara telah memberi pelbagai halangan yang menguji ketabahan mental dan fizikalnya.
Dalam mengejar matlamatnya, Amir mendapati bahawa cabaran terbesar bukan terletak pada aspek latihan fizikal, tetapi pada pengurusan tekanan emosi dan psikologi.
“Berlari adalah aspek yang paling ‘mudah’, yang paling mencabar sebenarnya ialah mengawal tekanan daripada aspek kehidupan lain... terutamanya kerana saya bersendirian di negara orang,” ujar beliau.
Meskipun berdepan dengan kesukaran ini, Amir kekal tabah dan cekal. Sumber kekuatan utamanya sentiasa datang daripada sokongan padu keluarganya.
Walaupun terpisah oleh lautan dan benua, ikatan dan dorongan daripada mereka sentiasa menjadi pegangan kuat yang memacunya untuk terus melangkah.
“Ibu bapa saya selalu nasihatkan saya untuk berdoa dan sabar bila berdepan cabaran sebegini,” kongsi Amir dengan nada penuh penghargaan. Saya bersyukur mereka sentiasa hadir dalam sepanjang kehidupan saya walaupun sangat jauh.”
Kata-kata semangat dan nilai-nilai keagamaan yang ditanam oleh keluarganya menjadi penawar kepada kerinduan dan tekanan yang ditanggung.
Salah satu pencapaian penting dalam perjalanan sukannya berlaku pada Mac 2025 di Perth. Amir berkongsi pengalamannya berlumba di acara itu, yang diadakan bertujuan untuk menentukan kelayakan beliau ke kejohanan utama.
Dalam perlumbaan 1500 meter, beliau berjaya mencatatkan sejarah apabila menjadi pelari pertama yang menamatkan jarak itu dalam masa di bawah empat minit – satu penanda aras yang penting dalam kerjaya olahraganya.
Persembahan cemerlang itu amat menakjubkan, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku dalam keadaan yang kurang mengizinkan.
Amir mempamerkan kehebatan itu walaupun beliau berdepan dengan masalah kesihatan ringan dan perlu menyesuaikan diri dengan minggu pertama bulan Ramadan, yang memerlukan beliau berlumba dalam keadaan berpuasa.
Namun, bagi seorang atlet yang sentiasa menetapkan prestasi yang tinggi untuk dirinya, kegembiraan itu sedikit tercalar. Amir berasa sedikit ‘kecewa’ apabila masa perlumbaannya semasa acara itu sekadar terpaut hanya seperempat saat daripada masa kelayakan rasmi untuk acaranya bagi Sukan SEA.
“Saya menyasarkan kelayakan yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya, menggariskan tahap keazaman yang dimilikinya. “Tetapi saya tetap bersyukur dengan pencapaian saya,” kata Amir.
Menjelang Sukan SEA, Amir mengenepikan segala isu peribadi dan kini memberikan tumpuan penuh kepada persiapannya.
Ketika ditemu bual, Amir sedang menjalani kem latihan di altitud tinggi secara bersendirian di Kunming, China, dengan sokongan Olahraga Singapura (SA).
Sebagai pelajar sains sukan, Amir menjelaskan bahawa paras oksigen yang lebih rendah di kawasan altitud tinggi Kunming akan melatih tubuhnya untuk menyerap oksigen dengan lebih berkesan
“Apabila saya kembali ke persekitaran paras laut, seperti di Thailand, saya akan dapat berlari lebih pantas,” tambah Amir.
Beliau berpotensi memotong sehingga empat saat daripada masa pelariannya – perbezaan yang mampu memberinya peluang meraih pingat di Sukan SEA.
Walaupun Amir lagi berusaha keras untuk menghasilkan persembahan terbaik di Bangkok pada 11 Disember, beliau menganggap Sukan SEA kali ini sebagai batu loncatan untuk temasya yang akan diadakan di Singapura pada 2029.
Amir berkata: “Saya mengakui adalah lebih mencabar untuk meraihkan pingat pada temasya ini. Saya perlu membiasakan diri dengan rentak pertandingan sebesar ini dan barisan atlet serantau kami juga bukan calang-calang.
“Lantas, matlamat jangka masa panjang saya ialah untuk memenangi pingat di Malaysia pada 2027 dan menjuarai acara saya di Singapura pada 2029.”
“
“Ibu bapa saya selalu nasihatkan saya untuk berdoa dan sabar bila berdepan cabaran sebegini (berjauhan di Australia). Saya bersyukur mereka sentiasa hadir dalam sepanjang kehidupan saya walaupun sangat jauh.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg