Dalam dua perlawanan persahabatan pada November 2025, skuad bawah 22 tahun negara dibelasah 0-6 oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan 0-2 di tangan Iraq.
Walaupun tewas, jurulatih skuad tersebut, Firdaus Kassim, berpuas hati melihat peningkatan ketara dalam persembahan anak buahnya.
Berbanding penampilan mereka dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada September lalu, kekuatan fizikal dan semangat juang pemain jelas lebih menyerlah.
Firdaus percaya dengan lebih banyak perlawanan menentang pasukan dari benua itu, secara berperingkat-peringkat, mereka mampu menyaingi pasukan Asean yang lain.
Terutamanya apabila arena bola sepak Sukan SEA dijangka sengit dengan kehadiran pemain muda berbakat dan bertenaga daripada negara serantau.
“Secara fizikal, pemain Timur Tengah ini mereka sungguh besar dan berbanding dengan pemain kita, ia jauh berbeza.
“Tetapi, berbeza dengan prestasi pemain dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC, anak didik saya menunjukkan peningkatan luar biasa dari sudut kekuatan dan cara permainan,” ujar beliau kepada Berita Harian (BH).
Walaupun dianggap sebagai pasukan ‘kurang dipandang’ di Sukan SEA 2025, Firdaus tidak teragak-agak memperkukuh pasukannya itu dengan menentang pasukan Timur Tengah dalam perlawanan persahabatan.
Diundi dalam Kumpulan C bersama pasukan kuat seperti juara bertahan Indonesia, Myanmar dan Filipina, Firdaus yakin bahawa mereka mampu mencetuskan kejutan.
Berlangsung dari 3 hingga 18 Disember, hanya tiga juara kumpulan mara ke pusingan kalah mati, bersama pasukan kedua terbaik.
Sepanjang wawancara, Firdaus tidak meletakkan sebarang matlamat untuk mencapai peringkat separuh akhir, tetapi hanya ingin anak didiknya mempamerkan persembahan konsisten untuk setiap perlawanan, dan yakin bahawa keputusan baik akan menyusul.
“Kami perlu memberi cabaran ketika menentang negara-negara ini, mereka bukanlah lawan yang mudah atau boleh dipandang ringan.
“Daripada prestasi itu, kami harap dapat lihat perkembangan dan kematangan pemain,” katanya.
Semua perhatian kini tertumpu kepada Firdaus sejak beliau dilantik mengambil alih kerusi panas Young Lions pada Jun lalu.
Hampir enam bulan sejak itu, beliau tidak terlepas daripada kritikan atas persembahan pasukannya.
Manakan tidak, dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC, skuad beliau menduduki tangga tercorot selepas tewas ketiga-tiga perlawanan Kumpulan C yang turut dihuni Yemen, Vietnam, dan Bangladesh.
Pada Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 pula, Young Lions juga tewas dalam kelima-lima perlawanan awal mereka, meskipun memiliki beberapa pemain import.
Rekod kurang memuaskan pasukan muda bola sepak negara di Sukan SEA langsung tidak membantu Firdaus.
Selain gagal meraih pingat emas, pasukan bola sepak bawah 22 tahun tidak pernah melepasi peringkat kumpulan sejak 2013.
Ketika itu, pasukan yang dibintangi pemain berpengalaman seperti Hariss Harun, Safuwan Baharudin dan Izwan Mahbud, meraih pingat gangsa apabila menewaskan Malaysia 2-1 untuk tempat ketiga selepas tewas kepada Thailand di peringkat separuh akhir.
Selain itu, kekecewaan daripada temasya 2023 masih segar di ingatan penyokong, apabila skuad muda negara menduduki tangga tercorot dalam kumpulan lima pasukan dan dibelasah 0-7 oleh Malaysia dalam perlawanan terakhir.
Akur dengan tekanan yang diberikan, Firdaus menegaskan bahawa mereka akan menumpukan perhatian kepada perkara yang mampu mereka kawal.
Ini bermula dengan menguruskan tekanan dan tidak membenarkan ia memberi kesan kepada pasukan.
“Setakat ini, saya lihat para pemain memberikan respons yang sangat baik terhadap segala ‘suara’ dari luar.
“Ini perkara biasa dalam bola sepak – penyokong ada harapan, semua mahu kami berjaya tetapi kami patut melihatnya dari sudut positif,” tambahnya.
Pemilihan skuad Firdaus bukan sahaja tertumpu pada temasya kali ini, malah Sukan SEA 2029 yang akan diadakan di sini.
Pasukannya mempunyai purata umur termuda iaitu 20 tahun, termasuk lima pemain berusia 17 tahun dan ke bawah.
Ini termasuk Harith Danish, Andy Reefqy, Luth Harith, Nathan Mao dan Rae Peh.
“Saya selalu berkata kepada pasukan, umur bukanlah penghalang.
“Jika anda cukup baik, maka anda layak untuk turut serta, itulah mantera yang sentiasa kami pegang dan kongsikan dengan para pemain,” kata Firdaus.
Beliau menambah bahawa untuk usaha masa depan, mesti ada keseimbangan yang baik antara misi yang berada di hadapan dan perancangan jangka panjang.
“Kita tidak boleh sekadar sertai satu kejohanan dan bermain dengan baik untuk Sukan SEA sekarang sahaja.
“Kita juga perlu memikirkan masa depan bola sepak Singapura, jadi, yang pertama dan paling penting, pemain muda juga perlu berada dalam skuad.
“Mereka perlu berada dalam skuad ini untuk dibimbing terutamanya oleh pemain yang pernah beraksi di Sukan SEA sebelum ini dan dengan gabungan elemen yang berbeza ini, ia hanya akan memberi kesan positif kepada generasi akan datang,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg