Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa Luis Diaz dibebaskan pemberontak Colombia

Nov 15, 2023 | 2:39 PM
PENUH EMOSI: Luis Diaz (kiri) mendakap bapanya, Luis Manuel Diaz, yang dibebaskan setelah diculik Tentera Pembebasan Nasional (ELN), untuk mendapatkan wang tebusan.
PENUH EMOSI: Luis Diaz (kiri) mendakap bapanya, Luis Manuel Diaz, yang dibebaskan setelah diculik Tentera Pembebasan Nasional (ELN), untuk mendapatkan wang tebusan. - Foto REUTERS

BARRANQUILLA (Colombia): Bintang bola sepak Colombia, Luis Diaz, telah disatukan semula dengan bapanya, Luis Manuel Diaz, yang dibebaskan selepas diculik dan dijadikan tebusan selama 12 hari.

Penyerang Liverpool itu dan bapanya menangis apabila mereka mendakap satu sama lain buat kali pertama selepas kejadian penculikan itu.

Penculikan Luis Manuel oleh Tentera Pembebasan Nasional (ELN) menimbulkan rasa marah di Colombia dan luar negara.

ELN berkata ia menculik Luis Manuel, yang berusia 58 tahun dan isterinya, bagi mendapatkan wang tebusan.

Kumpulan itu dengan pantas membebaskan isteri beliau, Cilenis Marulanda, sedang polis mula membuat kepungan.

Namun kumpulan bersenjata itu membawa Luis Manuel, yang merupakan seorang jurulatih bola sepak amatur, masuk ke dalam hutan.

Pemimpin ELN menganggap penculikan jurulatih popular itu sebagai satu kesilapan, namun berkata penculikan bagi mendapatkan wang tebusan tidak melanggar gencatan senjata yang ditandatanganinya pada awal 2023.

Kumpulan gerila itu kemudian membebaskan Luis Manuel pada Khamis lalu kepada pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Gereja Katolik.

Lewat hari itu juga Luis Manuel disatukan semula dengan isterinya dan anggota keluarganya yang lain, namun beliau hanya dapat mendakap Luis Diaz baru-baru ini.

Luis Diaz diterbangkan ke Colombia untuk berlatih bersama pasukan negaranya menjelang kelayakan Piala Dunia menentang Brazil pada malam Khamis di Colombia.

Pemain itu terlepas dua perlawanan Liverpool sedang bapanya diculik, namun beliau dimasukkan daripada bangku simpanan semasa perlawanan Liga Perdana England (EPL) Liverpool menentang Luton pada 5 November.

Selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya, sejurus sebelum wisel penamat ditiup, Luis Diaz menarik jersi Liverpoolnya ke atas untuk menunjukkan kemeja-T dengan kata-kata “kebebasan untuk bapa”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg