Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barca lonjak ke tempat kedua selepas benam Atletico

Mar 18, 2024 | 11:52 AM
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, terlepas peluang menjaringkan lebih banyak gol. Namun beliau berjaya dapatkan satu gol dan dua ‘assist’ dalam kemenangan liga atas Atletico Madrid.
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, terlepas peluang menjaringkan lebih banyak gol. Namun beliau berjaya dapatkan satu gol dan dua ‘assist’ dalam kemenangan liga atas Atletico Madrid. - Foto REUTERS

MADRID: Barcelona berjaya mendapatkan kemenangan hebat 3-0 ke atas Atletico Madrid pada 18 Mac selepas jaringan Joao Felix, Robert Lewandowski dan Fermin Lopez membantu pasukan itu melonjak ke tempat kedua LaLiga.

Atletico menguasai permulaan perlawanan, tetapi Barcelona berjaya mendahului perlawanan melalui jaringan jarak dekat Felix pada minit ke-38 melalui hantaran Lewandowski.

Lewandowski menggandakan kelebihan Barcelona pada minit ke-47, selepas Raphinha berjaya mendapatkan bola semula daripada Rodrigo de Paul untuk membantu Lewandowski mendapatkan gol liga ke-13 beliau musim ini.

Rentak perlawanan Barcelona tidak terjejas walaupun pengurus mereka, Xavi Hernandez, dilayangkan kad merah dalam separuh masa pertama.

Lopez kemudian melengkapkan kemenangan Barcelona dengan jaringannya pada minit ke-65 melalui hantaran Lewandowski, yang berjaya mendapatkan dua ‘assist’.

“Ini mungkin perlawanan kami yang paling lengkap. Ini merupakan perlawanan yang seakan-akan perlawanan menentang Napoli,” kata Xavi, merujuk kepada kemenangan mereka atas Napoli dalam Liga Juara-Juara sebelum ini.

“Kami adalah Barca, tiada siapa yang mengambil mudah di sini. Kami akan cuba memperbaiki dan bersaing untuk dua piala terpenting (LaLiga dan Liga Juara-Juara).

“Saya sangat bersemangat dan saya inginkan pasukan saya untuk menang. Bagi saya, tidak perlu saya dilayangkan kad merah dan ia tidak adil, tetapi kami harus menerimanya,” tambah Xavi.

Barcelona kini berada di atas Girona, yang dikalahkan 1-0 oleh Getafe pada 17 Mac, dari segi kedudukan LaLiga dengan memperoleh 64 mata.

Namun Barcelona masih lapan mata di belakang pendahulu Real Madrid.

“Kami akan kekal percaya hingga ke penghujung musim. Berusaha untuk rapatkan jurang dan bertarung untuk menang LaLiga,” kata Lopez.

“Xavi beritahu saya untuk bermain dengan tenang. Kami berada dalam rentak perlawanan yang baik sekarang dan kami ingin kekalkannya sepanjang mungkin,” tambah beliau.

Atletico terpaksa bermain dengan 10 pemain dalam masa tambahan setelah Nahuel Molina dilayangkan kad merah.

Atletico mengalami kekalahan pertama mereka di tempat sendiri musim ini.

Kekalahan ini meletakkan mereka di tempat kelima dengan 55 mata, satu mata di belakang Athletic Bilbao di tempat kelayakan terakhir Liga Juara-Juara.

“Mereka bermain dengan lebih baik. Jaringan kedua mereka membuatnya sukar bagi kami bangkit semula. Tahniah kepada mereka (Barca) kerana bermain dengan baik,” kata pengurus Atletico, Diego Simeone. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg