JEDDAH: Barcelona menewaskan Real Madrid 5-2 dalam perlawanan peringkat akhir Piala Super Sepanyol yang menghiburkan.
Kemenangan itu, yang diperoleh di Arab Saudi pada 12 Januari, merupakan trofi pertama Barcelona di bawah bimbingan Hansi Flick.
Kylian Mbappe meletakkan Madrid di hadapan tetapi Barcelona, yang menguasai perlawanan, membalas dengan menjaringkan lima gol sebelum penjaga gol mereka, Wojciech Szczesny dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Selepas jaringan pembuka tirai Mbappe, Lamine Yamal menyamakan kedudukan dan Robert Lewandowski kemudian meletakkan Barcelona di hadapan melalui jaringan penalti.
Raphinha menjaringkan dua gol dan Alejandro Balde menambah kepada kelebihan Barcelona.
Rodrygo Goes berjaya mendapatkan satu lagi gol untuk Madrid melalui tendangan percuma tetapi mereka tidak berjaya memanfaatkan kelebihan seorang pemain bagi mengelak kekalahan teruk oleh Barcelona.
“Ia memuaskan, kerana sudah satu musim berlalu sejak kami mendapatkan trofi. Ia istimewa, dan tambahan pula ia diperoleh dengan mengalahkan Real Madrid,” kata pemain pertahanan Barcelona, Jules Kounde.
“Saya amat bangga dan bahagia. Sejurus selepas (Wojciech Szczesny) dilayangkan kad merah, kami bersatu dan akui bahawa kami terpaksa bertahan, dan tidak ingin melepaskan kelebihan untuk memenangi perlawanan ini,” tambah beliau.
Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, berkata kelemahan pasukannya bertahan merupakan punca utama mereka kalah teruk.
“Kami tidak bertahan dengan baik dan itu menyebabkan kami tewas – mereka menjaringkan gol dengan cukup mudah,” kata Ancelotti kepada media.
“Kami sedih, sama seperti kesemua penyokong kami. Ia mengecewakan... kami perlu lihat ke hadapan, tidak ada perkara lain yang boleh kami lakukan,” jelas beliau.
Kededua pasukan memutuskan untuk mengekalkan kesebelasan sama ketika bermain di peringkat separuh akhir.
Barcelona memulakan perlawanan dengan agresif, tetapi Real Madrid yang mendahului perlawanan pada minit kelima melalui jaringan hebat Mbappe hasil serangan balas Real.
Penyerang Perancis itu dapat melepasi perangkap ofsaid apabila Vinicius Junior berjaya merampas bola, dan Mbappe menerima bola tersebut dan berjaya menjaringkan gol melepasi Szczesny.
Ia memerlukan jaringan hebat daripada pemain berusia 17 tahun, Lamine Yamal, untuk menyamakan kedudukan perlawanan.
Penyerang Sepanyol itu memasuki kotak penalti Real dari sayap kanan, dan menjaringkan gol dengan tenang.
Gaya beliau menjaringkan gol tersebut mirip gaya bekas pemain Barca hebat, Lionel Messi.
Barcelona terus melakukan serangan dan akhirnya ia membuahkan hasil selepas Lewandowski menjaringkan sepakan penalti yang diberi selepas Gavi dikasari oleh Eduardo Camavinga.
Tidak lama kemudian, Raphinha menjaringkan gol ketiga Barcelona hasil hantaran Kounde, dan Raphinha juga menjaringkan gol keempat Barca sebelum separuh masa pertama berakhir.
Yamal dan Raphinha menghasilkan gerakan hebat dan Raphinha menghantarkan bola kepada Balde untuk menjaringkan gol kelima Barca.
Barca terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Szczesny dilayangkan kad merah selepas semakan VAR menunjukkan beliau mengasari Mbappe di luar kotak penalti.
Rodrygo, yang melihat percubaannya sebelum ini terkena palang gol Barca, berjaya menjaringkan gol daripada tendangan percuma yang melepasi pengganti Szczesny, Inaki Pena.
Persembahan hebat Barcelona tetap menjadi antara topik perbualan hangat selepas perlawanan ini.
Dengan kemenangan ini Barca mencatatkan rekod memenangi jumlah trofi Piala Super Sepanyol terbanyak, dengan memenanginya sebanyak 15 kali. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg