LONDON: Jurulatih Portugal, Jorge Jesus, mempersoalkan sampai bila beliau perlu terus menjawab soalan mengenai persaraan Cristiano Ronaldo daripada pasukan kebangsaan.

Kenyataan itu dibuat selepas Portugal tewas 4-1 kepada Denmark, yang turut mengundang kritikan daripada ibu Ronaldo, Cik Dolores Aveiro. 

Cik Aveiro berkata beliau gembira melihat Jesus menerima kekalahan pertamanya sejak mengambil alih tugas selepas Piala Dunia, kerana Ronaldo telah “ditipu” oleh bekas bos Benfica itu.

“Sekarang saya juga perlu menjawab ibu Cristiano Ronaldo?” kata Jesus menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Negara-Negara menentang Wales pada 17 November.

“Saya tidak tahu bila ia akan berhenti. Jika kamu semua yang bertanya soalan, saya perlu menjawabnya. Jika kamu tanya tentang Ronaldo tahun depan, saya akan jawab juga.”

Ronaldo, 41 tahun, mengumumkan persaraan antarabangsanya awal November ini susulan pergaduhan dengan Jesus, yang turut pernah menjadi jurulatihnya di kelab Arab Saudi, Al-Nassr.

Bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu menuduh Jesus mungkir janji selepas beliau diminta memanaskan badan semasa perlawanan menentang Norway pada September tanpa diturunkan sebagai pemain gantian.

Ronaldo meninggalkan kem pasukan dan dikenakan penggantungan 30 hari serta denda.

Beliau memohon maaf dan dijangka kembali ke skuad Portugal, namun sebaliknya menamatkan tirai kerjaya antarabangsa selama 23 tahun.

234 perlawanan dan 146 golnya kedua-duanya adalah rekod dunia dalam bola sepak lelaki.

Namun, kekurangan kelincahannya sering dikenal pasti sebagai salah satu faktor skuad Portugal yang kaya dengan bakat gagal mencapai kejayaan dalam kejohanan utama kebelakangan ini.

Pasukan Jesus memulakan musim dengan sempurna, meraih empat kemenangan berturut-turut sebelum kekalahan mengejutkan kepada pasukan Denmark pada 14 November.

“Selepas perlawanan menentang Denmark, semua orang bertanya kepada saya tentang individu tertentu, bukan tentang pasukan atau kemenangan di sini,” tambah Jesus.

“Kami bermain dengan teruk dan keadaan menjadi lebih sukar selepas mendapat keputusan seperti itu. Namun, kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan seterusnya.” 

Portugal hanya memerlukan satu mata di Cardiff untuk memastikan kedudukan teratas dalam kumpulan A4 Liga Negara-Negara, menentang pasukan Wales yang akan tamat di tangga akhir kumpulan.

“Kamu semua mengkritiknya kerana bermain, dan sebaik sahaja beliau bersara, tiba-tiba semua orang jadi kecoh!” kata bos Wales, Craig Bellamy, kepada media Portugal.

“Beliau adalah salah seorang pemain terbaik yang pernah bermain bola sepak. Kita semua akan merindui beliau.”-  AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti